Thursday, February 26, 2015

Dengki..

MASYARAKAT kita amat mudah sekali terjebak dengan pelbagai bentuk konflik. Sering kali konflik yang tercetus melarat-larat pula kepada pertelingkahan emosi hingga terputusnya ikatan ukhuwah dan terlerainya kasih sayang yang selama ini menjadi asas kekuatan umat Islam. Perselisihan yang berakar-umbi kepada konflik juga selalunya disulami dengan perlakuan ekstrem dan songsang yang sebenarnya bertentangan dengan prinsip dan nilai yang digariskan syariat.

Jika diamati secara objektif, kita akan dapati bahawa kebanyakan konflik yang melanda umat bermula dengan sikap hasad dengki yang dibiarkan menyubur dalam sanubari masyarakat. Perasaan hasad dengki ini jugalah yang mendorong umat untuk melakukan perbuatan terkutuk seperti adu-domba, fitnah-memfitnah dan berburuk sangka antara satu sama lain yang akhirnya mencetuskan konflik getir di kalangan anggota masyarakat.

Rasulullah s.a.w. sendiri memperakui betapa elemen hasad dengki dan segala perbuatan yang boleh menjejaskan hubungan kemanusiaan mestilah dihindari sekiranya kita benar-benar ingin menzahirkan ketaatan seutuhnya kepada Allah. Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. menegaskan:

Jangan kamu dengki-mendengki, jangan tipu-menipu, jangan benci-membenci, jangan musuh-memusuhi, jangan sesetengah kamu berjual-beli atas jual-beli setengah yang lain, dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah).


Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin menggariskan bahawa sifat hasad dengki sebenarnya lahir apabila timbulnya rasa kurang senang dalam jiwa seseorang terhadap nikmat yang dikecap oleh orang lain. Perasaan cemburu ini lantas menjurus manusia kepada perlakuan keji dan mungkar lain lantaran begitu berharap agar nikmat yang dikecap orang lain tercabut daripada mereka.

Yang pasti, manusia yang diselaputi dan dirasuk dengan perasaan hasad dengki sanggup melakukan apa sahaja termasuklah mengadu-domba dan menyebar fitnah hanya kerana tidak mahu melihat orang lain lebih senang daripadanya atau memperoleh sesuatu yang tidak mampu dikecapinya.

Fenomena hasad dengki seperti ini hakikatnya cukup mengakar dalam masyarakat Melayu Islam di semua peringkat ketika ini. Dalam dunia politik umpamanya fenomena cantas-mencantas dan adu-domba bagaikan asam garam yang begitu sukar untuk dibendung. Begitu juga dalam bidang perniagaan, sikap tidak suka melihat orang lain menikmati kejayaan setanding atau melebihi diri sering kali menjurus manusia kepada budaya pertandingan yang saling jatuh-menjatuh antara satu sama lain.

Suasana ini berlaku kerana umat sedang mengalami kecelaruan dan kedangkalan pemikiran mengenai konsep rezeki Allah yang dikurniakan ke atas hamba-Nya yang bertakwa dan ikhlas berusaha. Usaha yang dimaksudkan pastilah tidak memerlukan seseorang menjatuhkan orang lain demi mengejar apa yang dicita. Ini kerana Islam melarang pengikutnya memandang kenikmatan yang diperoleh orang lain dengan pandangan seorang musuh yang hatinya dipenuhi kebencian, kemarahan dan ketamakan untuk memiliki.

Sebaliknya asas aqidah yang meletakkan kepercayaan mutlak bahawa Allahlah Yang Maha Pemberi Rezeki (Ar-Razzaq) menumbuhkan sikap yang lebih jernih bahawa setiap rezeki kurniaan Allah sudah pun ditentukan-Nya berdasarkan potensi jasmani, rohani dan kepintaran setiap individu. Ini bermakna tidak ada apa-apa yang mampu menghalang seseorang memperoleh rezeki yang ditetapkan Allah kepadanya walau pelbagai usaha dilakukan manusia untuk menafikannya.

Sejak zaman Nabi s.a.w. lagi wujud golongan seperti ini yang sentiasa berangan-angan ingin memiliki segala kurnian Allah yang dianugerahkan kepada orang lain sehingga tumbuhnya perasaan hasad dengki bahkan melarat-larat sampai kepada perilaku fitnah, adu-domba dan jatuh-menjatuh antara satu sama lain. Maka Allah pun menurunkan ayat berikut:

Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi para wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah akan sebahagian kurnia-Nya. (An-Nisa:32)

Demikianlah peringatan tegas dan jelas yang diberikan Allah agar umat sentiasa berpegang kepada keyakinan aqidah yang teguh bahawa rezeki itu hanya datang daripada Allah semata-mata. Dengan menjiwai prinsip inilah, umat akan dihindari daripada perasaan hasad dengki yang membinasakan. Sebaliknya tumbuh menyubur perasaan qanaah atau rasa berpuas hati dengan apa sahaja rezeki kurniaan Allah kepada kita.



Sunday, February 1, 2015

TERKINI : RON95 RM1.70, RON97 RM2 seliter

Kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON95 diturunkan sebanyak 21 sen seliter kepada RM1.70 seliter mulai 1 Februari 2015 mengikut kaedah pengapungan terkawal.

Harga runcit petrol RON97 pula diturunkan sebanyak 11 sen seliter kepada RM2 seliter.

Diesel pula diturunkan sebanyak 23 sen seliter kepada RM1.70 seliter.

// Bila lagi harga barang nak turun?