Tuesday, July 21, 2015

PANDUAN AM KEPADA GURU


1.0 ARAHAN AM KEPADA GURU 


1.1 Guru hendaklah membaca, memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Etika Kementerian Pelajaran, Tonggak 12 dan PRIME 

1.2 Guru hendaklan bersama-sama memahami, berkongsi dan menghayati Visi dan Misi Sekolah. 

1.3 Bekerja sebagai satu pasukan untuk mencapai Visi, Misi, Matlamat dan Objektif Sekolah. 

1.4 Semua guru dikehendaki hadir lebih awal, sekurang-kurangnya 5 minit sebelum waktu permulaan sekolah. Guru dikehendaki melakukan ”thumb print” sebaik sahaja tiba ke sekolah setiap hari persekolahan. Guru juga dikehendaki melakukan ”thumb print ” sewaktu balik atau semasa meninggalkan kawasan sekolah bagi sesuatu urusan. Ia akan disemak oleh Pihak Pengurusan sebaik sahaja loceng pertama dibunyikan. 

1.5 Guru-guru yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana sakit atau sebagainya hendaklah memberitahu pihak sekolah lebih awal dengan apa cara sekalipun atau sebelum bermulanya waktu pertama untuk tujuan menempatkan Guru Ganti, bukan mendiamkan diri dan menyerahkan `Cuti Sakit’ pada hari berikutnya. 

1.6 Guru yang datang lewat ke sekolah atau tidak datang langsung bolehlah dianggap sebagai telah mengabaikan tugas dan tanggungjawab serta telah melanggar Etika Perkhidmatan Perguruan dan tindakan tatatertib boleh diambil ke atasnya. 

1.7 Guru-guru dikehendaki memakai pakaian yang sesuai dengan profesion perguruan. (Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2001 - Garis Panduan Guru Ketika Bertugas Di Sekolah). 

1.8 Semua guru dikehendaki memberi kerjasama menjayakan aktiviti-aktiviti rasmi yang dianjurkan oleh sekolah. 

1.9 Guru-guru mesti berada di sekolah sepanjang hari persekolahan. Guru-guru yang hendak keluar dari kawasan sekolah perlu mendapat kebenaran Pengetua. Catatkan butiran dalam Buku Keluar-Masuk dan dapatkan Slip Kebenaran Khas Pengetua sebelum meninggalkan kawasan sekolah. Guru-guru perlu menyerahkan Slip Kebenaran tersebut kepada pihak pengawal keselamatan dan catatkan didalam buku keluar masuk pengawal keselamatan. 

 1.10 Merokok adalah dilarang di kawasan sekolah. Sila rujuk dan patuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/1997 

1.11 Guru-guru tidak dibenarkan membuat sebarang hubungan dengan pihak luar secara lisan atau tulisan tanpa mendapat kelulusan Pengetua terlebih dahulu. Urusan dengan pihak luar mestilah melalui Pengetua. 

1.12 Guru-guru dilarang melayan atau membuat sebarang urusan dengan penjual / pembekal / kontraktor. Guru-guru juga tidak dibenarkan meminta tajaan dari pihak penjual / pembekal / kontraktor tanpa kebenaran Pengetua. 

1.13 Semua guru adalah Guru Disiplin dan perlu mengambil tindakan segera terhadap pelajar-pelajar yang didapati melanggar peraturan di dalam dan di luar sekolah. 

1.14 Pada akhir semester / cuti penggal, semua tugas dan tanggungjawab hendaklah disempurnakan. Semua kunci bilik khas / kunci sekolah hendaklah dipulangkan ke pejabat. Sebelum bercuti atau berpindah sekolah, semua urusan yang berkaitan hendaklah diselesaikan terlebih dahulu. 

1.15 Guru-guru yang bertanggungjawab dalam pengurusan stok dan inventori hendaklah sentiasa mengemaskini stok di bawah jagaannya. Verifikasi stok hendaklah dijalankan sepertimana yang dijadualkan. 

1.16 Semua guru dikehendaki mematuhi Pekeliling Kementerian Pendidikan 256 bila melengkapkan Buku Persediaan Mengajar. 

1.17 Guru-guru tidak dibenarkan mengadakan apa-apa upacara atau majlis tanpa mendapat kebenaran daripada Pengetua terlebih dahulu. 

1.18 Semua aktiviti sekolah yang melibatkan pelajar keluar dari kawasan sekolah, hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada ibubapa/penjaga. 

1.19 Guru mestilah mempunyai sikap proaktif, daya kreativiti dan berinovasi secara menyeluruh dalam semua aspek. 

1.20 Semua guru kelas dikehendaki mengambil kehadiran/kedatangan pelajarnya pada setiap hari persekolahan sebelum waktu kedua. Buku jadual kedatangan hendaklah sentiasa berada di pejabat pentadbiran sekolah. Guru kelas hendaklah menghubungi ibu/bapa pelajar yang tidak hadir secepat mungkin. 

1.21 Guru kelas dikehendaki sentiasa mengemaskini segala butiran yang terdapat dalam buku jadual kedatangan pelajar. Penyelaras Tingkatan akan membuat semakan dari masa ke semasa. 

1.22 Perhimpunan pagi harian dan perhimpunan mingguan adalah upacara rasmi sekolah. Semua guru adalah diwajibkan hadir di tempat yang disediakan. Telefon bimbit hendaklah “dimatikan” 

1.23 Guru bertugas mingguan hendaklah mencatatkan segala aktiviti atau peristiwa yang berlaku sepanjang minggu di dalam Buku Laporan Bertugas. Buku tersebut hendaklah ditulis dan disimpan di pejabat sekolah setiap hari bagi tujuan pemantauan oleh pihak pengurusan sekolah. 

1.24 Semua guru diharapkan dapat mematuhi segala arahan / peraturan bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan selesa. Adalah diharapkan semua guru dapat melahirkan budaya kerja cemerlang bagi meningkatkan prestasi diri, sekolah, masyarakat dan negara. 

1.25 Guru-guru perlu memastikan kebersihan kelas terlebih dahulu sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran. 

1.26 Guru-guru tidak dibenarkan berurusan dengan individu-individu, kumpulan atau syarikat-syarikat tertentu tanpa kebenaran daripada Pengetua PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
 
1.27 Guru-guru yang mengajar dikehendaki hadir tepat pada waktunya dan kalau boleh lebih awal apabila pertukaran waktu berlaku. Keadaan ini membolehkan kelas berkenaan terus terkawal. Guru-guru tidak dibenarkan mengarah pelajar-pelajar keluar untuk sesuatu tujuan yang bukan berkaitan dengan pelajaran pada waktu pengajaran dan pembelajaran

1.28 Kelas mesti berada dalam suasana yang tenteram, baik dan terkawal sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula dan terus berkeadaan demikian sehingga tamat. Bertindak dengan segera ke atas pelajar-pelajar yang tidak memberi perhatian penuh, membuat bising, mengganggu pelajar lain dan merosakkan harta benda sekolah. Sikap membiarkan sahaja atau tidak ambil tahu adalah dianggap sebagai mengabaikan tanggungjawab dan menjadi satu kesalahan tatatertib. 

1.29 Guru-guru hendaklah bersikap adil kepada semua pelajar pada setiap masa dan ketika. Sikap pilih kasih, membenci atau mendiskriminasi pelajar-pelajar adalah tidak diterima di sekolah ini dan bertentangan pula dengan Falsafah Pendidikan Negara. 

1.30 Jangan sekali-kali meninggalkan kelas, makmal atau bengkel tanpa diawasi. sekiranya tidak dapat dielakkan, minta kerjasama guru di kelas sebelah atau guru-guru lain. Guru-guru bengkel hendaklah sentiasa berhati-hati mengawasi pelajar-pelajar yang sedang bekerja. Pastikan semua pelajar memakai pakaian bengkel dan sentiasa mematuhi langkah-langkah keselamatan semasa berada di bengkel dan makmal. 

1.31 Apabila loceng waktu akhir dibunyikan, guru-guru yang berada dalam kelas, makmal dan bengkel hendaklah mengarahkan pelajar-pelajar membersihkan kelas dan beratur sebelum membenarkan mereka bergerak balik. Jangan tamatkan kelas lebih awal daripada sepatutnya atau membenarkan pelajar keluar sebelum loceng akhir dibunyikan. 

1.32 Memenuhi segala kehendak Dasar Pendidikan Negara dan menggunakan sepenuhnya kemahiran dan pengalaman yang diperolehi semasa mengikuti latihan penguruan adalah menjadi tugas dan tanggungjawab setiap guru. Ini bermakna setiap pengajaran hendaklah dirancang supaya dapat memenuhi aspirasi pelajar-pelajar dan bukan dibuat sambil lewa tanpa persediaan. 

1.33 Semua latihan dan gerak kerja bertulis yang diberi mestilah diperiksa dan diulas. Buku Latihan, Buku Nota dan Buku Amali hendaklah dihantar ke pejabat secara bergilir-gilir mengikut jadual untuk semakan Pengetua. 



PERATURAN KHUSUS DAN HURAIAN 1.0 PAKAIAN GURU-GURU DI SEKOLAH – SPI Bil. 6/1985 

Pakaian yang bersesuaian melambangkan budi bahasa yang baik. Untuk meneruskan tradisi pakaian yang sopan dan memenuhi etika pakaian, sekurang-kurangnya perkara yang berikut hendaklah diambil perhatian oleh semua guru di sekolah : 

i) Mini skirt, pakaian yang terlampau mendedahkan bahagian tertentu, seluar pendek, seluar jeans yang ketat dan pakaian yang bahagian hadapan terbuka jauh ke bawah tidaklah diterima. 
ii) Perhiasan muka atau make-up yang melampau adalah tidak sesuai. 
iii) Baju-baju Hawai dan baju T yang beragam warna tidak sesuai. 
iv) Guru perlu memakai tanda nama setiap hari. 
v) Guru lelaki dikehendaki memakai tali leher / ‘blazer’ pada waktu perhimpunan setiap minggu dan untuk upacara rasmi sekolah (digalakkan untuk setiap hari). vi) Pakaian bengkel tidak dibenarkan kecuali semasa amali.
 vii) Semua guru dikehendaki memakai baju batik buatan Malaysia pada setiap hari Khamis. 


2.0 ACARA / MAJLIS RASMI SEKOLAH / MESYUARAT / KURSUS DALAMAN 

2.1 Semua guru dikehendaki hadir dalam semua acara / majlis rasmi sekolah dan juga kursus dalaman. 

2.2 Guru yang tidak hadir perlu mengemukakan surat pemberitahuan ketidakhadiran kepada Pengetua. Satu salinan akan di simpan dalam fail peribadi guru berkenaan. 


3.0 PERINTAH AM Bab D, 1993 Seksyen 19 

3.1 Seorang pegawai tidak boleh, samada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain . 

a) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan berhubungan dengan apa-apa dasar, program atau keputusan Kerajaan di atas apa-apa isu; 
b) memberi apa-apa maklumat fakta berhubung dengan jabatannya ; atau 
c) memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa insiden atau laporan berhubung dengan jabatannya, dan dia juga boleh mengedar / menyebar apa-apa pernyataan, maklumat atau penjelasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu, sama ada secara am atau khusus daripada Menteri yang bertanggungjawab bagi Kementerian atau jabatan di mana dia sedang berkhidmat. 

3.2 Selain daripada kebenaran Ketua Jabatan, seorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain, membuat apa-apa pernyataan awam yang memudharatkan mana-mana dasar, program atau keputusan Kerajaan atau yang boleh memalukan Kerajaan, atau membuat apa-apa ulasan mengenai kebaikan atau kelemahan mana-mana dasar, program atau keputusan Kerajaan atau mengedar/menyebar apa-apa pernyataan sedemikian, sama ada yang dibuat olehnya atau oleh mana-mana orang lain. 

3.3 Peraturan 4.2 tidaklah terpakai bagi apa-apa pernyataan awam yang dibuat atau yang diedarkan/sebarkan jika kandungan pernyataan itu telah diluluskan oleh Menteri. 

3.4 Bagi maksud peraturan ini, “Pernyataan Awam” termasuklah apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada akhbar atau kepada orang ramai atau semasa memberi syarahan awam atau ucapan awam atau mana-mana penyiaran melalui bunyi atau penglihatan atau kedua-duanya. 

3.5 Melainkan kebenaran ketua Jabatan, seseorang pegawai tidak boleh membincang dengan terbuka kepada awam apa-apa langkah rasmi yang diambil oleh pegawainya dengan lisan atau bertulis. 



4.0 BUKU KEDATANGAN PELAJAR ( Attendance Registers ) 

 4.1 Buku ini adalah satu dokumen rasmi yang penting dan haruslah bebas daripada sebarang kesalahan. Sebarang kesilapan catatan dalam buku ini hendaklah dipotong dan ditandatangani oleh guru berkenaan. Guru dilarang menggunakan pemadam (liquid paper) bagi membetulkan sebarang kesilapan.. 

 4.2 Guru kelas bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesahihan maklumat di Buku Kedatangan. Butir-butir pelajar dan keterangan yang lain hendaklah dilengkapkan seperti:

 a) nama pelajar yang lengkap 
 b) no. pendaftaran pelajar 
 c) nama penjaga. pekerjaan, alamat dan no. telefon penjaga yang lengkap 
 d) analisis dan statistik pada setiap bulan 
 e) dan lain-lain yang diperlukan 

4.3 Kedatangan pelajar hendaklah diambil pada pagi setiap hari. Pelajar tidak dibenarkan mengambilnya bagi pihak guru. 

4.4 Buku ini hendaklah diserahkan kepada pejabat setiap hari sebelum pukul 10.00 pagi. Guru dilarang membawa buku balik ke rumah atau menyimpan di dalam bilik guru / bilik khas tanpa kebenaran Pengetua.

4.5 Bagi mengawal kedatangan pelajar. Guru kelas hendaklah mencatatkan kenyataan berikut di tempat yang sesuai di papan putih kelas. a) Tarikh b) Bilangan pelajar dalam kelas c) Bilangan pelajar yang hadir 

4.6 Segala maklumat dalam buku ini hendaklah lengkap dan ditutup pada setiap bulan oleh guru tingkatan dan guru juga perlu mengisi maklumat untuk bulan tersebut, bukannya pelajar. 

4.7 Menanda kedatangan dan mengisi butir-butir pelajar dalam buku ini adalah tanggungjawab guru tingkatan dan bukannya ketua kelas atau pun pelajar. Ketua kelas atau pelajar dilarang menanda kehadiran pelajar dalam buku kehadiran pelajar. 


5.0 WAKTU BERTUGAS DAN TIDAK HADIR KE SEKOLAH 

 5.1 Semua hari berikut dikira sebagai hari bertugas kepada guru-guru : 

i) Semua hari persekolahan termasuk persekolahan ganti kecuali dengan cuti yang sah. 
ii) Hari acara dan aktiviti rasmi sekolah. 
iii) Bila diarahkan hadir oleh Pengetua termasuk dalam cuti penggal persekolahan dengan syarat jumlah hari yang diminta hadir itu tidak melebihi sepertiga daripada jumlah hari cuti persekolahan. iv) Bila diminta hadir ke majlis-majlis tertentu oleh PPD / JPN / BPTV 

5.2 Jadual waktu belajar mesti dipatuhi seperti yang ditetapkan. 

5.3 Guru dikehendaki berada di sekolah 5 minit awal sebelum sesi persekolahan bermula. 

5.4 Guru hendaklah “thumb print” semasa sampai dan sewaktu pulang. 

5.5 Guru yang tidak hadir ke sekolah hendaklah memberitahu Pengetua secepat mungkin dan sebaik-baiknya sebelum waktu pertama bermula supaya urusan untuk menggantikan tugas guru itu dapat disediakan supaya kegiatan sekolah tidak terganggu. Surat doktor hendaklah diserahkan ke pejabat dengan segera. 

5.6 Semua urusan peribadi guru hendaklah dibuat di luar waktu persekolahan kecuali kes-kes kecemasan. 

 5.7 Guru-guru tidak dibenarkan menjalankan sebarang urusan perniagaan sewaktu persekolahan. 

5.8 Guru-guru tidak dibenarkan berurusan dengan individu-individu, kumpulan atau syarikat-syarikat tertentu tanpa kebenaran daripada Pengetua. 


6.0 TIDAK HADIR BERTUGAS/BERKURSUS/MENJALANKAN TUGAS RASMI DI LUAR 

6.1 Guru yang tidak dapat hadir untuk bekerja dikehendaki memberitahu Pengetua dalam kaedah berikut:- 
i) ketidakhadiran pada tarikh atau tarikh-tarikh diketahui terlebih dahulu, samada sebab-sebab persendirian atau pihak yang diluluskan, hendaklah dimaklumkan dengan segera sebelum hari yang terlibat itu. 
ii) ketidakhadiran cara tergempar, sekalipun mendapat Cuti Sakit hendaklah diberitahu seberapa segera pada hari itu juga dengan apa-apa cara yang sesuai. 

6.2 Guru yang tidak hadir bekerja bukan disebabkan Cuti Sakit atau diarahkan menghadiri sesuatu mesyuarat, kursus dan sebagainya oleh pihak yang diluluskan, diminta memohon cuti dengan Borang Cuti yang disediakan. 

6.3 Permohonan cuti hendaklah disempurnakan sebelum cuti diambil. Pengecualian boleh dibenarkan atas sebab-sebab tergempar sahaja di mana Borang Cuti boleh diuruskan kemudian pada hari pertama bertugas semula. 

6.4 Guru yang tidak hadir bekerja kerana sakit dan mendapat Sijil Sakit hendaklah dihabiskan cutinya di hospital atau di rumah, melainkan jika ditetapkan oleh Pegawai Perubatan sebaliknya (Perintah Am Bab C). 

6.5 Guru-guru yang akan menghadiri mesyuarat, kursus, taklimat, mengawas peperiksaan dan tugas rasmi di luar sekolah pada waktu persekolahan dikehendaki mengisi borang tugasan luar sekolah dan menyerahkannya kepada GPK 1. 

6.6 Guru yang mengetahui ketidakhadiran ke sekolah lebih awal dikehendaki meninggalkan kerja bertulis untuk pelajar melalui Guru Penolong Kanan. 

6.7 Guru yang diberi cuti sakit kerana mendapat rawatan doktor perlu berehat. Oleh itu, guru tidak patut berada di tempat-tempat lain kecuali di rumah. 

6.8 Guru-guru yang memohon Cuti Rehat Khas perlu mengemukakan borang permohonan sekurang-kurangnya lima hari sebelum bercuti untuk mendapatkan kelulusan. Cuti Rehat Khas bukanlah mutlak tetapi keistimewaan. 


7.0 KELUAR WAKTU BERTUGAS 

7.1 Guru tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah dalam waktu persekolahan kecuali jika ada sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan atau arahan daripada Kementerian Pendidikan, JPN / PPD dan meminta kebenaran terlebih dahulu daripada Pengetua. 

7.2 Seseorang guru yang hendak meninggalkan kawasan sekolah dalam waktu persekolahan samada untuk sesuatu tempoh tertentu atau tidak akan kembali lagi ke sekolah pada hari berkenaan hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran Pengetua sebelum berbuat demikian. Kebenaran untuk maksud atau tujuan seperti itu hanya akan diberi atas sebab-sebab yang amat mustahak dan tidak dapat dielakkan sahaja. 

7.3 Seseorang guru yang hendak keluar dari kawasan sekolah semasa waktu persekolahan samada atas urusan persendirian mahupun rasmi, setelah menerima kebenaran dan diluluskan oleh Pengetua dikehendaki menyempurnakan butir-butir di dalam BUKU KELUAR DALAM WAKTU BEKERJA dan menyerahkan slip tersebut kepada pengawal keselamatan bertugas sebelum meninggalkan sekolah. 

7.4 Sebelum meninggalkan sekolah, guru dikehendaki meninggalkan kerja bertulis untuk pelajar melalui Guru Penolong Kanan. 

7.5 Semua urusan peribadi guru hendaklah dibuat di luar waktu persekolahan kecuali dalam keadaan kecemasan. 


8.0 UJIAN BULANAN DAN PEPERIKSAAN 

8.1 Sila lihat jadual ujian / peperiksaan sebagai panduan. Ujian setara perlu diberi pada tarikh yang ditetapkan dalam Takwim Sekolah. 

8.2 Tujuan ujian diadakan adalah untuk mengetahui pencapaian pelajar dalam mata pelajarannya dan keputusan ujian ini haruslah menjadi panduan kepada guru untuk mengatur pelajaran selanjutnya kepada kelas / pelajar masing-masing. Analisa apa yang telah diajar untuk menilai keberkesanan pengajaran guru. 

8.3 Guru hendaklah membantu dan mengatasi kelemahan pelajar dalam mata pelajarannya dan sebarang usaha hendaklah diikhtiarkan bagi mengatasi kelemahan itu. Kelas tambahan khas perlu diadakan. 

8.4 Guru mata pelajaran dikehendaki menyediakan soalan ujian yang bermutu berdasarkan JPU dan memeriksa kertas jawapan pelajar bagi kelas yang diajar. Panitia-panitia mata pelajaran akan menentukan penyediaan soalan. Ketua Bidang / Ketua Panitia akan menyemak dan mengesahkan soalan yang disediakan sebelum soalan-soalan diperbanyakkan. 

8.5 Guru mata pelajaran hendaklah berhati-hati apabila menyediakan soalan-soalan ujian supaya soalan itu benar-benar menguji kebolehan pelajar. 

8.6 Setiap kertas soalan ujian / peperiksaan hendaklah disemak dan ditandatangan oleh Ketua Bidang / Ketua Panitia. 

8.7 Keputusan ujian hendaklah dicatat dalam ruang tertentu di dalam buku rekod mengajar. 

8.8 Setiap keputusan ujian hendaklah diserahkan satu salinan kepda Pengetua, Penolong Kanan Akademik dan Unit Peperiksaan. 

8.9 Guru mata pelajaran hendaklah membuat post-mortem setiap ujian/peperiksaan untuk mengetahui kelemahan yang dihadapi oleh pelajar dan guru. 

8.10 Guru perlulah mahir dengan peraturan Peperiksaan SPM terutama perkara-perkara bersabit dengan syarat pemberian sijil supaya pengetahuan ini dapat disampaikan kepada pelajar. Jika ada keraguan, guru hendaklah bertanya kepada Guru Penyelia Peperiksaan / Setiausaha Peperiksaan. 

8.11 Pelajar yang tidak hadir untuk ujian / peperiksaan tanpa sebab yang dibenarkan oleh pentadbir sekolah, ditanda TH dan diberi markah 0. 


9.0 SUKATAN PELAJARAN DAN RANCANGAN PELAJARAN 

9.1 Setiap guru di sekolah mestilah mempunyai sukatan pelajaran yang sah yang dikeluarkan oleh Pendaftar (atau sebarang pegawai yang diwakili oleh Pengarah Pendidikan Negeri) bagi mata pelajaran yang mana yang beliau bertanggungjawab. 

9.2 Sukatan pelajaran yang sah hendaklah diikuti dengan serapi-rapinya oleh semua guru. 

9.3 Guru hendaklah mahir dengan syarat terkini mengenai peraturan peperiksaan, sukatan pelajaran dan sebagainya bagi mencapai matlamat pengajaran yang maksimum. Guru-guru yang mempunyai sebarang keraguan hendaklah mendapat nasihat daripada Guru Kanan Mata Pelajaran masing-masing.  

9.4 Rancangan kerja hendaklah dibahagikan dalam 2 penggal dan disediakan secara mingguan untuk sepanjang tempoh sesi persekolahan. 

9.5 Sukatan pelajaran perlu disertakan dalam Buku Rekod Mengajar. 

9.6 Rancangan kerja bagi setiap mata pelajaran yang diajar hendaklah ditunjukkan di ruang tertentu dalam Buku Rekod Mengajar. 

9.7 Guru Kanan Mata Pelajaran dengan kerjasama guru-guru lain yang mengajar mata pelajaran berkenaan akan menyusun rancangan pelajaran ini bagi semua tingkatan/kursus. 


10.0 BUKU REKOD DAN CATATAN PERSEDIAAN MENGAJAR 

10.1 Setiap guru di sekolah diwajibkan mempunyai Buku Rancangan Kerja Harian (Buku Rekod Mengajar) yang selaras dengan kehendak Kementerian Pelajaran dan buku ini dijaga dengan baik serta diserahkan kepada Pengetua setiap minggu untuk pemeriksaan dan ditandatangani oleh Pengetua atau wakilnya pada hari Jumaat. 

10.2 Setiap guru bertanggungjawab terhadap keselamatan buku rekod mengajar. Semua butiran hendaklah disempurnakan dengan teliti, kemas dan lengkap. 

 10.3 Buku Rekod Mengajar adalah hak milik sekolah dan hendaklah diserahkan ke pejabat pada akhir tahun persekolahan atau apabila guru berkenaan berhenti bertugas di sekolah ini. 

10.4 Guru hendaklah membaca Pekeliling KP. 256 di muka hadapan Buku Rekod Mengajar yang diberi keterangan dan panduan mengenai tujuan buku tersebut. 

10.5 Guru diingatkan supaya membuat persediaan mengajar dengan lancar supaya pelajaran dapat disampaikan kepada pelajar dengan berkesan. 

10.6 Buku Rekod Mengajar hendaklah diserahkan ke bilik Pengetua pada setiap hari Jumaat sebelum pukul 12.20 tengah hari. Rancangan kerja hari Isnin minggu berikutnya hendaklah ditulis pada hari Jumaat minggu sebelumnya. 

10.7 Perkara-perkara dalam rancangan kerja mingguan yang tidak dapat disempurnakan dalam minggu tersebut hendaklah dicatat dalam ruang harian. 

10.8 Buku Rekod Mengajar hendaklah selalu dijaga dengan baik dan bersih. Semua kertas kenyataan lain hendaklah dikepilkan dengan kemas atau disimpan berasingan. 

10.9 Rancangan dan huraian kerja hendaklah ditulis selengkapnya supaya jelas pelajaran yang hendak disampaikan kepada pelajar. Elakkan daripada menulis rancangan kerja yang terlalu ringkas dan sukar difahami. 

 10.10 Guru yang bercuti, buku rekodnya hendaklah diserahkan kepada Guru Penolong Kanan untuk urusan guru pengganti. 

 10.11 Setiap akhir tahun persekolahan Buku Rekod Mengajar hendaklah diserahkan ke pejabat sekolah. 


11.0 GERAK KERJA LUAR / KOKURIKULUM 

11.1 Kokurikulum sekolah adalah sebahagian daripada kurikulum sekolah. Ianya wajib bagi semua guru dan pelajar. Guru dikehendaki mencatat kehadiran di dalam Buku Kehadiran Kokurikulum apabila menghadiri GKK. 

 11.2 Sila rujuk tugas-tugas guru dalam Buku Panduan dan Tugas Guru 2007 dalam Gerak Kerja Kokurikulum. 

11.3 Guru hendaklah bersama-sama mengatur silibus/ rancangan bagi persatuan / kelab permainan masing-masing dan rancangan ini hendaklah melibatkan semua pelajar. 

11.4 Kokurikulum Gerak Kerja Luar ini memberi bimbingan dan latihan kepada pelajar-pelajar dalam bidang kepimpinan, tatatertib memegang tanggungjawab, taat setia kepada sekolah dan negara serta galakan dalam bidang pengajian tertentu seperti mengadakan ceramah, bahas, lawatan, membuat projek tertentu dan sebagainya. Perkara ini memerlukan kebijaksanaan dan inisiatif guru-guru berkaitan ( berhasrat untuk mewujudkan ‘ School With Character’ ). 

11.5 Semua aktiviti yang dijalankan pada setiap perjumpaan hendaklah direkodkan dan dihantar kepada Guru Penolong Kanan Kokurikulum untuk semakan. 

11.6 Guru yang terlibat hendaklah hadir semasa GKK. Perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kepada pelajar semasa GKK apabila ketidakhadiran guru merupakan kes yang berat. 


12.0 TATATERTIB 

12.1 Menjaga dan mengekalkan tatatertib yang tinggi di kalangan pelajar semasa di dalam atau di luar kelas adalah tanggungjawab semua guru. 

12.2 Guru janganlah takut memberi teguran, nasihat atau mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelajar yang melanggar peraturan sekolah. 

12.3 Guru hendaklah melaporkan kepada Penolong Kanan HEM, pelajar-pelajar yang kerap kali tidak mengikut arahan, tidak membuat kerja yang diberikan dan cuai dalam pelajarannya. 


13.0 LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN 

13.1 Guru Kanan Mata Pelajaran bagi mata pelajaran Sains dan PJK serta Ketua Bengkel dengan kerjasama guru-guru lain yang mengajar mata pelajaran berkenaan hendaklah mempamerkan di bilik / tempat yang sesuai tentang langkah-langkah keselamatan yang mesti dipatuhi oleh semua pelajar. 

13.2 Guru hendaklah mengawasi pelajar semasa : 

13.2.1 Mengambil peralatan sukan dan permainan 
13.2.2 Melatih sukan dan permainan di padang 
13.2.3 Menjalankan kerja-kerja amali / pratikal 
13.2.4 Kerja-kerja lain yang mana pengawasan rapi diperlukan 
13.2.5 Peraturan dan langkah-langkah keselamatan hendaklan dipamerkan di pintu masuk bengkel, makmal dan seumpamanya. 
13.2.6 Faktor keselamatan mesti diutamakan oleh setiap guru sepanjang berada di sekolah. 


14.0 KEHADIRAN KE KELAS 

14.1 Guru dikehendaki mematuhi Jadual Waktu Pengajaran yang ditetapkan dan hadir ke kelas serta mengajar tanpa berlengah-lengah. Kelewatan hadir ke kelas lebih dari 5 minit boleh dibenarkan untuk maksud perjalanan sekiranya sebelum ini seseorang guru terlibat dengan pengajaran di kelas lain. 

14.2 Guru tidak dibenarkan meninggalkan kelas lebih awal sebelum loceng berbunyi. 

14.3 Guru tidak dibenarkan meninggalkan kelas untuk sesuatu tempoh tertentu dalam masa pengajarannya walaupun pelajar-pelajarnya telah diarahkan membuat kerja bagi mata pelajarannya. 

14.4 Guru dikehendaki menggunakan waktu sepenuhnya sewaktu di dalam bilik darjah untuk menyampaikan pengajaran dan mengendalikan gerak kerja pengajaran dan pembelajaran. Setiap guru hendaklah melibatkan diri bersama-sama pelajar sehingga ke akhir waktu pelajarannya. 


15.0 JADUAL WAKTU DAN PENGAJARAN DI KELAS 

15.1 Guru tingkatan hendaklah menyediakan satu salinan Jadual Waktu untuk dipamerkan dalam kelas. 

15.2 Semua guru dikehendaki menyerahkan satu salinan Jadual Waktu kepada Penolong Kanan Akademik untuk fail sekolah dan rujukan. 

15.3 Guru tidak dibenarkan mengubah Jadual Waktu yang telah ditetapkan tanpa kebenaran. 

15.4 Memulakan pengajaran mengikut masa seperti di dalam Jadual Waktu. 

15.5 Pengajaran hendaklah berdasarkan persediaan yang ditulis. 

15.6 Bahan-bahan atau alatan bantuan mengajar (ABM) hendaklah sentiasa digunakan semasa pengajaran. 

15.7 Semasa berada di kelas fokus adalah kepada aktiviti P & P. 

15.8 Pengajaran di dalam kelas hendaklah berfokus dan mengaplikasikan kemahiran KBKK dengan berkesan. 

15.9 Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan sempurna adalah mengikut peruntukan masa yang ditetapkan. 


16.0 BUKU REKOD MENGAJAR 

16.1 Ia adalah DOKUMEN RASMI dan hendaklah sentiasa lengkap, kemaskini dan dijaga dengan baik. 

16.2 Catatan di dalamnya hendaklah dibuat lebih awal dari waktu pengajaran. 

16.3 Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, guru-guru yang tidak menulis Buku Rekod Mengajar boleh didenda hingga RM5000.00. 

16.4 Setiap guru hendaklah menyempurnakan Buku Persediaan Mengajar dan buku tersebut hendaklah ada bersama guru semasa mengajar. 

16.5 Buku Persediaan Mengajar hendaklah diserahkan kepada Pengetua pada setiap hari Jumaat atau hari sebelum sekiranya hari Jumaat diisytiharkan sebagai hari kelepasan am pada waktu akhir persekolahan sebelum balik. Rancangan Pelajaran harian serta butir-butir pengajaran untuk hari pertama minggu berikutnya hendaklah disempurnakan sebelum penyerahan itu. 

16.6 Buku Persediaan Mengajar yang telah lengkap dengan Rancangan Pengajaran Tahunan hendaklah dihantar buat pertama kalinya pada MINGGU PERTAMA BULAN JANUARI atau mengikut arahan dari pihak pentadbir. 

16.7 Jika seseorang guru bercuti/kursus, buku tersebut hendaklah diserahkan kepada Penolong Kanan Akademik. 

16.8 Buku Rekod Mengajar hendaklah diserahkan ke pejabat pada hari terakhir tahun persekolahan. 

16.9 Semua maklumat hendaklah lengkap berdasarkan Pekeliling Ikhtisas Bil 3/99. 

16.10 Maklumat markah pelajar hendaklah diisi dengan lengkap. 


17.0 TUGAS GURU DALAM KELAS 

17.1 Elakkan diri daripada duduk ketika mengajar. Waktu pelajar menjalankan urusan kerja bertulis guru seharusnya berjalan di sekeliling kelas atau mengawasi dan memberi bantuan secara individu kepada pelajar-pelajar yang lemah yang memerlukan bantuan rapi. Guru Sains atau Guru Bengkel yang mengajar di makmal atau bengkel janganlah meninggalkan makmal atau bengkel ketika pelajaran atau kelas sedang dijalankan. 

17.2 Guru Masa Ganti ( Relief Period ) hendaklah memulakan pengajaran sebaik-baik sahaja berada di dalam kelas. Apabila seseorang guru dijadualkan mengambil alih guru yang tidak hadir ke sekolah atau sesuatu sebab lain, guru itu hendaklah melaporkan diri di kelas yang dijadualkan dan menyampaikan pengajaran dan bukan waktu bebas. 

17.3 Memeriksa Buku Latihan, Buku Nota, Kertas Jawapan Peperiksaan / Ujian jangandilakukan di dalam kelas kecuali bertujuan untuk memberi pertolongan kepada pelajar-pelajar. Pemeriksaan buku-buku itu hendaklah dilakukan di dalam bilik guru / ketika waktu tiada kelas. Kertas jawapan peperiksaan SPM tidak dibenarkan diperiksa dalam waktu masa sekolah. 

17.4 Kerja Bertulis – Guru hendaklah selalu memberi kerja-kerja bertulis kepada pelajar-pelajar, sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kerja bertulis yang secukupnya patut diberi dalam mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Teknologi, Sejarah, Agama Islam dan Sains. Soalan-soalan yang memerlukan jawapan yang lebih panjang patut diberi bagi mata pelajaran ini. 

17.5 Pemeriksaan - Merupakan tanggungjawab guru untuk memeriksa semua kerja bertulis dan tugasan yang diberi kepada pelajar-pelajar. Guru juga hendaklah menandatangani semua ringkasan atau nota yang diberi kepada pelajar-pelajar. 

17.6 Mengulangkaji – Aktiviti ulangkaji pelajaran sebelum bermulanya sesuatu peperiksaan hendaklah dirancang dengan rapi dan dicatat dalam Buku Rekod Mengajar. Guru tidak digalakkan untuk membenarkan pelajar mengadakan ‘self study’ dalam kelas. Mengulangkaji adalah satu aspek penting untuk menyediakan diri pelajar bagi menghadapi peperiksaan. Dengan itu ia perlu untuk menyediakan diri pelajar bagi menghadapi peperiksaan dan perlu dirancang serta disampaikan dengan bersistematik. Komik dan majalah hiburan yang lain serta sebarang permainan seperti catur dan sebagainya dilarang. 

17.7 Membaca Buku Teks – Membaca buku-buku teks bukanlah satu proses pengajaran yang baik. Guru jangan membiasakan pelajar membaca daripada buku teks ketika mengajar kecuali mata pelajaran bacaan. Pemberian nota hendaklah dikekalkan pada peringkat minima sahaja. Gunakanlah kaedah lain seperti peta minda @ nota ringkas yang lebih berkesan. 

17.8 Langkah Keselamatan – Kemasukan orang luar ke kawasan sekolah patutlah diawasi dengan rapi oleh semua guru. Pelawat-pelawat dilarang masuk ke kelas kecuali pelawat yang hadir bersama Pengetua atau Penolong Kanan. Minta pelawat pergi ke pejabat dan berurusan di pejabat sekolah. 

17.9 Kelas Bersurai – Guru yang mengajar pada waktu akhir bertanggungjawab untuk menyuraikan pelajar-pelajar dengan teratur dan tertib tepat pada waktunya. Jangan lepaskan pelajar sebelum loceng berbunyi. 

17.10 Denda – Guru-guru dilarang mengenakan sebarang denda berat ( Corporal Punishment ) ke atas pelajar-pelajar. Seseorang pelajar yang memerlukan tindakan tatatertib hendaklah dibawa ke pengetahuan Pengetua / Guru Disiplin. 


18.0 GURU BERTUGAS HARIAN / MINGGUAN (Sila rujuk jadual tugas guru harian /mingguan) 

18.1 Setiap hari sekolah ada sekumpulan guru yang bertugas. Senarai guru bertugas terdapat dalam buku panduan dan tugas guru. Ketua kumpulan dikehendaki mencatat nama guru bertugas di papan putih di hadapan pejabat Penolong Kanan HEM. 

18.2 Ketua guru bertugas hendaklah mengadakan perbincangan bagi menentukan tugas ahli kumpulannya. 

18.3 Memastikan pelajar berada pada tapak perhimpunan tepat pada masanya. 

18.4 Membantu guru disiplin untuk memastikan wujudnya disiplin yang baik di kalangan pelajar. 

18.4.1 Memastikan peraturan sekolah dipatuhi 
18.4.2 Pelajar-pelajar mematuhi peraturan di kantin 
18.4.3 Pelajar-pelajar tiba di sekolah pada waktunya 
18.4.4 Tiada pelajar yang merayau tanpa tujuan 

18.5 Mengurus masalah pelajar yang sakit dan merekodkannya ke dalam buku Laporan Bertugas. 

18.6 Melakukan “Spot Check” sekurang-kurangnya dua kelas setiap minggu. 

18.7 Berada di tempat perhimpunan pelajar bagi mengawasi dan memantau pelajar agar tidak membuat bisang semasa perhimpuan berjalan. 


19.0 PERHIMPUNAN RASMI DAN HARIAN 

19.1 Perhimpunan Rasmi Mingguan 

19.1.1 Perhimpunan Rasmi Mingguan akan diadakan pada setiap hari Isnin bermula jam 7.20 pagi. 

19.1.2 Semua guru diwajibkan hadir dan berada di atas pentas kecuali beberapa orang guru disiplin dan guru bertugas mingguan untuk mengawal pelajar. Kehadiran guru akan diambil. 

19.1.3 Semua guru lelaki hendaklah memakai tali leher dan baju kemeja berlenggan panjang ( pemakaian kot/blazer adalah digalakkan ) 

19.1.4 Sila padamkan telefon bimbit. 

19.1.5 Sila beri tumpuan sepenuhnya semasa perhimpunan dan jangan berbual-bual. 


20.0 MELAKUKAN KERJA LUAR 

20.1 Penjawat Awam dibolehkan melakukan kerja luar dengan mematuhi Perintah Am Bab D seperti berikut: 

20.1.1 Memohon kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatan 

20.1.2 Dibenarkan dengan syarat : 

20.1.2.1 Tidak dilakukan semasa waktu bekerja/pejabat 
20.1.2.2 Tidak menjejaskan tugas sebagai penjawat awam 
20.1.2.3 Tidak dengan apa-apa cara berkecenderungan bercanggah dengan kepentingan jabatan 

20.2 Berhubung dengan menjalankan tuisyen di rumah, guru-guru diingatkan bahawa tindakan tersebut adalah melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) subseksyen 79 (1) dan subseksyen 132 (g) di mana boleh didenda tidak melebehi RM 50,000 (Ringgit Malaysia : Lima Puluh Ribu) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. 


21.0 KEAHLIAN KELAB GURU DAN STAF 21.1 Semua guru dan staf secara automatik menjadi ahli Kelab Guru dan Staf. 

21.2 Semua guru dan staf dikehendaki bersama-sama menyokong dan memberi kerjasama yang padu kepada semua aktiviti kelab. 


22.0 KES PONTENG SEKOLAH 

22.1 Guru Tingkatan dan Guru Mata Pelajaran hendaklah menentukan semua pelajar (kecuali yang sakit dan yang mendapat kebenaran khas) berada dalam kelas pada waktu belajar. Pelajar-pelajar yang ponteng sekolah hendaklah dilaporkan kepada Penolong Kanan HEM / Guru Disiplin. 

22.2 Semua guru hendaklah memberikan kerjasama kepada guru tingkatan dalam menangani perkara di atas. 

22.3 Pelajar-pelajar yang tidak hadir ke sekolah tanpa surat doktor / surat daripada penjaga hendaklah dimaklumkan kepada penjaga. 

22.4 Jika pelajar-pelajar tidak hadir ke sekolah satu atau dua hari, guru tingkatan hendaklah mengambil tahu sebab tidak hadir ke sekolah. Jika sebab yang diberi oleh pelajar itu menimbulkan keraguan, laporkan perkara ini guru disiplin untuk direkodkan. 

22.5 Apabila pelajar-pelajar mengikuti mata pelajaran Amali, Sains, Lukisan, PJ dan Perpustakaan, guru berkenaan hendaklah memastikan pelajar-pelajar berjalan dengan tertib semasa menuju ke tempat itu. 

22.6 Setiap guru mata pelajaran yang masuk ke kelas hendaklah menentukan yang tiada seorang pelajar pun yang meninggalkan kelas. Pelajar yang meninggalkan kelas / masuk lewat hendaklah dilaporkan kepada Guru Disiplin. 

22.7 Guru mata pelajaran yang masuk ke kelas boleh menghantar pelajar yang sakit ke hospital / balik ke rumah jika perlu. Bagi pelajar perempuan, seorang teman harus ikut bersama. Pengetua / PK HEM harus diberitahu tentang pelajar yang dihantar balik. 


23.0 ARAHAN DAN PEKELILING 

23.1 Setiap arahan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Pengetua hendaklah dibaca dengan teliti dan dipatuhi serta ditandatangani selepas membacanya. 

23.2 Sekiranya arahan dan pekeliling itu diberi terus, guru hendaklah menyimpannya di dalam fail khas. 


24.0 KUNCI 

24.1 Semua kunci mesti disimpan di pejabat. Guru yang mengambil kunci hendaklah merekodkannya ke dalam Buku Rekod Pergerakan Kunci di pejabat. 

24.2 Guru-guru yang hendak menyimpan kunci bilik-bilik khas mesti mendapat kebenaran daripada Pengetua dan mendaftarkan nama di dalam buku khas di pejabat sekolah. 


25.0 TELEFON 

25.1 Penggunaan telefon sekolah hanyalah untuk urusan rasmi sahaja. Guru atau staf sekolah tidak dibenarkan menggunakan telefon sekolah untuk urusan peribadi. 

25.2 Guru dilarang menggunakan telefon bimbit semasa P&P di dalam bililik darjah dan semasa Mesyuarat. 


26.0 BUKU STOK / INVENTORI 

26.1 Ketua Panitia, Ketua Bengkel dan Ketua Unit bertanggungjawab menguruskan buku stok/inventori dan memastikan maklumat dalam buku stok atau inventori adalah tepat, lengkap dan sentiasa dikemaskini, (setiap pembelian dan keluar masuk barang hendaklah direkodkan dengan serta merta). 

26.2 Guru Kanan Mata Pelajaran, Ketua Pembantu Tadbir dan Juruteknik akan menyemak buku stok/inventori ini dari masa ke semasa dan dihantar ke pejabat pada hujung tahun untuk disahkan oleh Pengetua. 


27.0 URUSAN DENGAN BPTV / JPN / PPD 

27.1 Guru dan staf sokongan tidak digalakkan pergi ke Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk urusan peribadi kecuali jika diarahkan berbuat demikian. 


28.0 TUGAS GURU 

28.1 Tugas guru diberikan dalam bidang kurikulum, kokurikulum, HEM dan juga pentadbiran. Tugas tersebut hendaklah dilaksanakan dengan dedikasi dan bertanggunjawab. 

28.2 Sekiranya guru dikehendaki menghadiri mesyuarat, di BPTV, JPN, PPD atau sekolah lain hendaklah dipatuhi. Guru yang ditugaskan tidak boleh mengarahkan guru lain melaksanakannya tanpa pengetahuan Pengetua. 

28.3 Guru yang mewakili sekolah dalam mana-mana mesyuarat atau taklimat di luar, minit curai hendaklah dikemukakan kepada Pengetua dengan menggunakan borang khas yang boleh diperolehi di pejabat sekolah. 

28.4 Guru yang mewakili sekolah ke sesuatu kursus, seminar atau seupamanya, apabila balik ke sekolah, hendaklah menjalankan ”In House Training ” kepada guru dan memaklumkan kepada Pengetua / GPK tarikh dan masa pelaksanaannya. 

28.5 Guru yang melaksanakan tugas rasmi di luar, hendaklah menyediakan bahan tugasan bertulis untuk pelajar dan memaklumkannya kepada Guru Kanan Mata Pelajaran masing-masing. 


29.0 JADUAL WAKTU MENGAJAR 

29.1 Guru hendaklah mematuhi jadual waktu yang disediakan. 

29.2 Guru tidak dibenarkan mengubahkan jadual waktu yang telah ditetapkan tanpa kebenaran. 

29.3 Guru Tingkatan hendaklah menyediakan satu salinan jadual waktu untuk dipamerkan di dalam kelas masing-masing. 


30.0 KEBERSIHAN 

30.1 Semua guru bertanggungjawab menjaga kebersihan sekolah. Jadual giliran bertugas pelajar hendaklah disediakan oleh guru tingkatan untuk kelas masing-masing. Alat-alat membersihkan kelas hendaklah digunakan dengan cermat dan disimpan dengan baik. 

30.2 Guru Kanan Mata Pelajaran / Ketua Panitia dan mana-mana guru yang mempunyai bilik khas / tempat khas (bengkel, bilik kaunseling, makmal sains dan lain-lain) bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan keceriaan bilik masing-masing. 

30.3 Semua guru, staf sokongan dan pelajar bersama-sama bertanggungjawab terhadap kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah. 


31.0 BILIK GURU 

31.1 Guru hendaklah berada di bilik guru / bilik guru bengkel semasa tidak mengajar di kelas. Masa tersebut hendaklah dianggap ’non-teaching period’ dan bukannya ’ free period ’. Masa tersebut sepatutnya digunakan untuk perkara-perkara berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran atau berkaitan dengan tugasan sekolah sahaja. Sebarang aktiviti berunsur perniagaan peribadi tidak dibenarkan dijalankan di bilik guru. 

31.2 Guru yang berada di bilik guru hendaklah sama-sama bertanggungjawab memastikan suasana yang harmoni dan tidak mengganggu ketenteraman guru lain. 

31.3 Guru tidak digalakkan membenarkan pelajar berada di bilik guru. 

31.4 Kebersihan dan keselamatan bilik guru adalah menjadi tanggungjawab semua guru termasuk keselamatan harta benda yang terdapat di dalam bilik guru. 

31.5 Guru yang terakhir meninggalkan bilik guru hendaklah memastikan semua komputer, lampu dan ‘air-cond’ telah ditutup. 32.0 CUTI Mengikut Surat Pekeliling Kementerian KP (PP) 0046.SJ/a (30) bertarikh 24 Disember 1993, guru berkelayakan mendapatkan cuti penggal sekolah untuk menggantikan cuti rehat. Tetapi guru boleh dipanggil bertugas oleh Pengetua tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah cuti sesuatu tahun untuk menjalankan tugas-tugas selain daripada tugas mengajar biasa. 


32.1 CUTI REHAT KHAS (CRK) 

32.1.1 Cuti Sambilan tidak lebih daripada tujuh (7) hari yang diberi kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di perenggan 8, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 1977 diganti dengan Cuti Rehat Khas sebanyak tujuh (7) hari dalam satu tahun kalender; dan 

32.1.2 Cuti Rehat Khas yang tidak dapat dihabiskan tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya tetapi dibenarkan untuk dikumpul bagi tujuan Pemberian Wang Tunai Gantian Rehat bagi pegawai yang layak. 

32.1.3 Cuti ini layak kepada semua guru termasuk Guru Sandaran Terlatih dan Guru Kontrak. 

32.1.4 Kelulusan diberikan oleh Pengetua dengan syarat tidak menjejaskan keberkesanan pengurusan pengajaran dan pembelajaran. 

32.1.5 Bilangan hari CRK yang layak diambil adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan yang melayakkan dalam tahun berkenaan (Rujuk Perintah Am 1 (Bab C ) 


32.2 CUTI SAKIT 

32.2.1 Sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta melebihi dua hari berturut-turut hendaklah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan. 

32.2.2 Cuti sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta tidak boleh melebihi 14 hari dalam setahun. 

32.2.3 Cuti sakit yang melebihi 90 hari setahun sama ada berterusan atau putus-putus akan dilaporkan ke JPN dan Kementerian Pelajaran 


32.3 CUTI KELUAR NEGARA 

32.3.1 Semua guru yang bercuti keluar negara mestilah mendapat kelulusan. Sila isikan borang permohonan yang ada di pejabat sekolah selewat-lewatnya 4 minggu sebelum tarikh bercuti 


32.4 CUTI KHAS ISTERI BERSALIN 

32.4.1 Diberikan selama tujuh (7) hari sebagai cuti tanpa rekod kepada anggota perkhidmatan awam lelaki. Pengiraannya termasuk semua hari rehat dan kelepasan am. Kemudahan ini dihadkan kepada lima (5) kali dan tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan 


32.5 CUTI TANPA REKOD 

32.5.1 Cuti tanpa rekod yang dibenarkan adalah cuti ganti kerana bekerja lebih masa, cuti latihan pasukan sukarela, menghadiri latihan atau khemah tahunan pertubuhan/persatuan, latihan syarikat kerjasama, menduduki peperiksaan , mesyuarat persatuan ikhtisas, mengambil bahagian dalam sukan atau tugas khas perubatan. 


32.6 CUTI URUSAN KEMATIAN KELUARGA TERDEKAT 

32.6.1 Diberikan kepada pegawai yang kematian ahli keluarga terdekat selama tiga hari sebagai cuti tanpa rekod. Ahli keluarga yang diambil kira ialah: suami atau isteri, anak-anak, ibu dan bapa kandung. Pengiraan cuti termasuk hari rehat dan kelepasan am. Kelulusannya tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan. 

KREDIT pada fadzilmahasiswa.blogspot.com