Wednesday, May 26, 2010

Proton Gen2 2010





Proton memperkenalkan Gen2 dengan penampilan baru. Edisi kali ini lebih kemas dengan penampilan warna dan rekabentuk diperbaharui seperti rim sukan, bumbung hitam, kemasan dalaman ( steering audio switch, lether seat ) . Di datangkan dengan dua warna iaitu putih dan merah api. Edisi M line hanya untuk gear auto manakala H line untuk gear manual dan auto.

Proton Gen2 High-Line AT – RM 60,488
Proton Gen2 High-Line MT – RM 57,488
Proton Gen2 Medium-Line AT – RM 54,988

Tuesday, May 25, 2010

45,000 kakitangan awam tipu sijil cuti sakit

Sumber: B Harian

2010/05/25

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam mendedahkan kira-kira 45,000 atau tiga peratus daripada 1.5 juta kakitangan awam menggunakan sijil cuti sakit palsu untuk ponteng kerja.

Presidennya, Omar Osman, berkata ada juga segelintir kakitangan awam mengambil cuti sakit kerana melakukan kerja sampingan. "Kita tidak menghalang mencari pendapatan tambahan, tetapi biarlah kerja sampingan itu tidak mengganggu tugas hingga menjejaskan produktiviti," katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan di sini, semalam. Sehubungan itu, beliau mahu perbuatan itu dipantau bagi mengelak ia bertambah kronik.

Omar berkata, berdasarkan Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kakitangan yang didapati menggunakan sijil cuti sakit palsu, boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti turun pangkat atau dibuang kerja.

"Kita menyarankan Panel dan Pegawai Perubatan supaya memberi sijil cuti sakit kepada mereka yang betul-betul memerlukannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana jabatan mengenai peratus kakitangan yang menggunakan sijil cuti sakit palsu.
“Kita ada menghantar surat kepada jabatan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang menggunakan sijil cuti sakit palsu," katanya kepada Berita Harian.

Monday, May 24, 2010

Cuepacs Mahu 2 Bulan Bonus

Sumber
Utusan Malaysia
23/5/2010



PULAU PINANG 22 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mempertimbangkan semula permintaannya untuk mendapatkan bonus dua bulan gaji dan memanjangkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari.
Presidennya, Omar Osman berkata, permintaan tersebut seharusnya diberikan perhatian berikutan keadaan ekonomi yang semakin pulih dan untuk mengurangkan beban kira-kira 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

Jelas beliau, kedua-dua tuntutan tersebut terkandung di dalam kertas cadangan kesatuan yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tahun lalu tetapi tidak dapat dipertimbangkan berikutan krisis ekonomi.
"Kita sedar, tuntutan berkenaan tidak ditolak kerajaan tetapi tidak dapat dipenuhi apabila negara dilanda krisis ekonomi pada tahun lalu.

"Ceupacs amat memahami keadaan yang berlaku dan setuju ia ditangguh buat sementara tetapi tahun ini ekonomi negara semakin pulih dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan 10.1 peratus untuk suku pertama.
"Jadi, amat wajar kedua-dua cadangan ini terutama pemberian bonus disemak semula. Kita harap ia akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2011 di Parlimen Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat kepada kira-kira 200 ahli Kesatuan Pembantu Tadbir Kesihatan Pulau Pinang di sini hari ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan ekonomi negara mencatat prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 10.1 peratus dalam suku pertama tahun ini, berbanding 4.4 peratus bagi suku keempat tahun lalu.Peningkatan itu adalah yang tertinggi sejak suku pertama 2000, iaitu ketika KDNK mencatat pertumbuhan 11.7 peratus.

Omar berkata, tuntutan tersebut adalah wajar untuk menambah kuasa beli, selain meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, produktif dan cemerlang."Untuk tujuan tersebut, saya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk yang terbaru pada 5 April lalu bagi memastikan cadangan berkenaan dikaji semula dan dipertimbangkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Omar berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta kerajaan memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari.
Katanya, cadangan Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu perlu dilaksanakan segera berdasarkan tekanan dan bebanan hidup yang terpaksa dipikul oleh pekerja wanita ketika ini.

Jelas beliau, tempoh cuti bersalin yang tidak mencukupi selain cuti rehat yang sudah dikurangkan kepada 25 hari antara faktor yang menyukarkan pekerja wanita meluangkan masa bersama keluarga selain mencari kemudahan menjaga anak."Kami merasakan sudah tiba masa kerajaan memenuhi tuntutan supaya cuti itu ditambah. Jika tidak 90 hari, sekurang-kurangnya 80 hari kerana ia amat munasabah.

"Walaupun ada pekeliling menyatakan setiap agensi perlu menyediakan kemudahan menjaga anak, namun hanya 10 peratus agensi kerajaan yang melaksanakannya.
"Perkara ini memberikan tekanan kepada golongan pekerja bawahan yang kurang mampu," katanya.

Monday, May 17, 2010

Hadiah Untuk Guru

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 guru, termasuk pengetua dan guru penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) serta guru besar dijangka menikmati kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain yang akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena Hari Guru peringkat kebangsaan yang disambut di Kuantan, hari ini.

Selain itu, pelbagai insentif lain juga dijangka diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran termasuk langkah mengurangkan beban kerja yang selama ini ‘menghantui’ golongan ini. Sumber berkata, kenaikan pangkat yang membabitkan kategori DGA32 hingga DGA54 turut merangkumi pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, pejabat pelajaran daerah dan pensyarah Institut Pendidikan Guru.Katanya, ketika ini guru besar bukan siswazah di sekolah kurang murid kebanyakannya memegang gred DGA32 manakala guru besar di sekolah gred A, DGA34.

“Bagi sekolah menengah, kebanyakan guru penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) berada dalam gred DGA44 berbeza dengan PK Pentadbiran dalam gred DG48. Mungkin ada penyeragaman pangkat di antara mereka,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.Sumber itu berkata, Muhyiddin juga dijangka mengumumkan satu tawaran baru iaitu ganjaran kewangan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing. Selain itu katanya, ganjaran juga dijangka diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah.

Bagaimanapun katanya, Muhyiddin akan memberikan penjelasan terperinci mengenai perkara berkenaan ketika mengumumkannya.Sumber itu juga berkata, ganjaran yang diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru pula lebih kepada pencapaian dan prestasi yang dicapai sekolah mengikut ketetapan kementerian.Mengenai beban tugas guru yang diberikan perhatian serius oleh Muhyiddin, beberapa tindakan juga dijangka diambil.

Antara bebanan yang dijangka dikurangkan ialah tugas perkeranian yang sebelum ini menjadi bebanan guru sehingga mengganggu tugas hakiki mereka iaitu pengajaran dan pembelajaran di kelas.Selain itu, katanya, kursus yang akan dihadiri guru juga akan diselaraskan supaya tidak berlaku pertindihan. Ini bagi mengelak guru yang sama mengikuti pelbagai jenis kursus yang dianjurkan.Sumber itu berkata, pembahagian tugas di sekolah juga akan diberi perhatian dengan mengagihkan tugas secara adil bagi mengelakkan bebanan tugas tertumpu kepada guru tertentu saja.Katanya, Muhyiddin juga dijangka mengumumkan ganjaran untuk mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman yang bakal dinikmati semua guru selain mengambil kira tempoh perkhidmatan mereka di kawasan berkenaan.

“Ini bermakna guru yang lama berkhidmat di kawasan pedalaman kemungkinan berpeluang untuk mengajar di kawasan bandar begitu juga sebaliknya,” katanya.Sumber juga berkata, pengumuman Muhyiddin itu adalah antara 10 perkara yang dibincangkan kesatuan guru dengan Kementerian Pelajaran. Namun, atas dasar penjimatan, beberapa tuntutan tidak dapat dilaksanakan tahun ini. Katanya, kementerian tidak mungkin menaikkan elaun wilayah walaupun beberapa tuntutan mengenai perkara itu sudah dibangkitkan kesatuan guru beberapa kali.Sebelum ini, Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan satu dasar baru yang lebih komprehensif untuk guru sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.

Dasar itu, katanya akan mengandungi skim lebih baik untuk pengetua dan guru besar dari segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain.Ketika ini, ada 400,000 guru di seluruh negara, termasuk pengetua, guru besar, penolong kanan serta pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan pejabat pelajaran daerah.

Sunday, May 16, 2010

China Juara Piala Thomas

China mempertahankan kejuaraan badminton Piala Thomas selepas menundukkan Indonesia 3-0 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pasukan China terlalu kuat dan kukuh untuk ditewaskan. Mereka telah menunjukkan kehebatan selaku juara dunia. Pasukan Malaysia kena mencari bakat baru jika ingin merampas Piala Thomas. Itu sahaja jawapannya.

Buat masa kini, China terlalu kuat. Masa hadapan tidak pasti. Bangkit Malaysia.

Selamat Hari Guru

Tanggal 16 Mei 2010 adalah Hari Guru. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bergelar guru. Ingat..tanggungjawab kita mendidik satu tugas yang berat dan mencabar dewasa ini.

Tema Hari Guru : Guru Pembina Negara Bangsa

Saya sertakan artikel daripada Tn Hj. Wan Ahmad Salahuddin untuk renungan kita bersama.


ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Sempena hari guru yang akan disambut pada 16 Mei 2010 ini saya ingin berkongsi sedikit bahan renungan sebagai panduan kita bersama.

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang. “Mengapa?” balas saya. “Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.” Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?” Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan. “Oh ramai encik…” “Bagaimana dengan anak-anak kakak?” Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?” “Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?” Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!” Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik. “Maksud encik?” “Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.” “Tidak pernah saya terfikir begitu encik…” “Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.” “Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?” “Maksud kakak?” “Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja,
sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.
Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!” Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.” “Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’“Pasti ada! Insya-Allah.”“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.” “Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya.

Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.” “Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!” “Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.” “Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.” “Maksud encik?” “Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan
kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”Giliran saya pula tersenyum.“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.

Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back…Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga.

Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar. “Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?” “Bekerjalah dengan gigih.

Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…” “Maksud encik?”
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”“Kenapa?”“Kita akan sakit jiwa!” “Kenapa?” “Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran. “Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Wallahu’alam….. sekadar ingin berkongsi dengan semua warga pendidikan yang diadaptasi daripada sahabat dari Pulau Mutiara.

Saturday, May 15, 2010

Korea Selatan - Johan Piala Uber 2010


Korea Selatan merampas Piala Uber daripada juara bertahan, China selepas menang 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Putra.

Roboh juga Tembok Besar China.