Monday, November 8, 2010

Abdul Ghafar Mahmud dilantik KP Pelajaran baru


Pengarah Institut Aminuddin Baki Datuk Abdul Ghafar Mahmud dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru bagi menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib.

Abdul Ghafar, 56, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.

Beliau memulakan perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989), Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran (2007) dan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran pada 2008.

Saturday, November 6, 2010

Tarikh lihat anak bulan Aidiladha petang 6 November

KUALA LUMPUR: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia menetapkan tarikh melihat anak bulan Zulhijjah pada 6 Nov ini, bersamaan 29 Zulkaedah. Perkara itu dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.
Majlis Raja-Raja juga turut mempersetujui cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Sementara itu, 30 lokasi di seluruh negara ditetapkan untuk melihat anak bulan Zulhijjah, iaitu:


1. Pontian Kecil, Johor.
2. Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.
3. Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
4. Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor.
5. Pulau Angsa, daerah Kuala Selangor, Selangor.
6. Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor.
7. Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, selangor Darul Ehsan
8. Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak.
9. Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
10. Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah.
11. Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah.
12. Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah.
13. Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu.
14. Bukit Kemuning, Kemaman, Terengganu.
15. Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.
16. Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.
17. Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan.
18. Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, daerah Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan.
19. Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu, Kelantan.
20. Tanjong Lubang, Miri, Sarawak.
21. Teluk Bandung, Kuching, Sarawak.
22. Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.
23. Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah.
24. Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang.
25. Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang.
26. Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang.
27. Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.
28. Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
29. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya.
30. Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah akan membuat perisytiharan mengenai tarikh Hari Raya Qurban, menerusi radio dan televisyen pada malam itu juga.-Bernama

Friday, November 5, 2010

Keputusan UPSR 2010 11 Nov

PUTRAJAYA 4 Nov. - Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 akan diumumkan pada 11 November ini, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran hari ini.

Menurut kenyataan itu, calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi hari berkenaan.

"Satu majlis pengumuman analisis keputusan UPSR 2010 akan diadakan pada hari Khamis berkenaan pada pukul 9 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya," kata kenyataan itu di sini.

Pada tahun ini, 494,493 calon telah menduduki UPSR di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, calon sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan adalah 486,321 orang atau 98.3 peratus manakala baki 8,172 (1.7 peratus) adalah calon sekolah swasta.


Sumber : Utusan

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM


TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM akan bersara pada 6 November setelah 34 tahun berada dalam bidang pendidikan. Beliau akan terus berkhidmat sebagai Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) selepas meninggalkan Putrajaya.

Dalam nada sedih berbaur gembira, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) itu memberitahu Utusan Malaysia bahawa beliau akan meneruskan kelangsungan darah pendidik yang mengakar umbi dalam dirinya melalui YGMB.

Ketika ditanya, bagaimanakah beliau mahu dikenang setelah melangkah keluar dari bilik KPPM, Alimuddin berkata, biarlah dia dikenali sebagai KPPM yang berjiwa guru biasa kerana banyak usaha beliau tertumpu kepada usaha memartabatkan profesion perguruan melalui beberapa dasar kerajaan sama ada secara langsung atau tidak.

Kerjaya Alimuddin bermula pada 1976 sebagai guru siswazah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak, diikuti sembilan sekolah lain termasuk Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum menjadi Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Swasta, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Ketua Jemaah Nazir dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah).

Beliau memegang jawatan profesional tertinggi bidang perguruan sebagai KPPM bermula 16 Julai 2007 sehingga sekarang.


Harapan Tan Sri kepada guru :

Saya harap guru jangan menconteng arang kepada profesion perguruan. Jaga nama baik profesion itu. Ada guru yang melanggar tata susila profesion itu, antaranya penyelewengan wang, gangguan seksual, terlibat dengan najis dadah dan juga perbuatan jenayah.

Saya sangat memberi perhatian, dan selalu saya tekankan, tidak sepatutnya guru melakukan perbuatan ini. Biarlah kita sentiasa disanjung oleh masyarakat.

Wednesday, November 3, 2010

Proton tawar kereta hibrid bawah RM100,000

Penasihat Proton Holdings Bhd, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Proton sedang meninjau untuk menawarkan kereta hibrid pertamanya pada harga kompetitif di bawah RM100,000.

Dijangka dilancarkan secara komersial tahun depan, Proton dikatakan membangunkan enjin hibrid serta enjin elektrik dengan syarikat British Frazer-Nash Research, LG dari Korea Selatan dan anak syarikatnya yang berpangkalan di Britain.

Tuesday, November 2, 2010

Amaran hujan lebat di Pantai Timur dan utara Semenanjung


KUALA LUMPUR 1 Nov. - Jabatan Meterologi Malaysia meningkatkan Amaran Peringkat Merah berikutan hujan lebat di beberapa kawasan di utara dan pantai timur Semenanjung sejak beberapa hari lepas.

Kawasan terbabit adalah daerah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Jeli di Kelantan, manakala di Kedah melibatkan daerah Kubang Pasu dan Padang Terap serta di keseluruhan Perlis.

Jabatan itu, menerusi laman webnya, turut mengeluarkan Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir Peringkat Kuning di beberapa daerah termasuk Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Yan, Sik dan Baling di Kedah, serta Daerah Besut, Setiu dan Kuala Terengganu di Terengganu juga ditingkatkan kepada Amaran Hujan Lebat Peringkat Jingga.

Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir Peringkat Kuning diberikan di beberapa kawasan di Kedah termasuk daerah Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu serta keseluruhan Pulau Pinang.

Hujan dijangka berlanjutan di kesemua daerah sehingga Rabu ini yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

Sumber: Utusan

Monday, November 1, 2010