Monday, May 9, 2011

Cuaca panas dijangka berakhir minggu depan

Suhu panas yang melanda Semenanjung Malaysia ketika ini hanya bersifat sementara dan dijangka berakhir dalam masa seminggu lagi, kata Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Liong.

Beliau berkata, keadaan panas ketika ini sehingga menjangkau suhu 36.2 darjah Celcius adalah disebabkan Ribut Tropika Aere yang dikesan di utara Filipina, meniup angin dari arah Barat Daya ke negara ini.

"Ini menyebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering," katanya.

Sumber: B Harian

360 darjah ganti PTK

Mulai 1 Julai depan prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.


Konsep baru yang nama khususnya sedang dikenal pasti, akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada 1 Januari lalu, selepas digunakan selama lapan tahun sejak 1 November 2002.


Sumber: B Harian

Sunday, May 8, 2011

Saturday, May 7, 2011

(Semakan) Keputusan UPU 2011

Semakan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA 2011 telahpun dibuka. Berikut adalah butiran penting mengenai semakan keputusan permohonan ke IPTA sesi 2011 bagi lepasan SPM dan STPM.

Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf : Minggu ke 2 Julai 2011
Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf : 6 Mei 2011

Semakan keputusan kemasukan ke IPTA sesi 2011 boleh dibuat di http://upu.mohe.gov.my

Keputusan boleh disemak dalam 12 tengah hari 6 mei 2011

Thursday, May 5, 2011

Mana resolusi ringankan beban guru?

Sumber: B Harian


APABILA memperkatakan mengenai isu beban kerja berlebihan yang dihadapi guru sekolah boleh diibaratkan seperti air pasang. Ada naik dan ada surutnya. Isu ini akan timbul sekejap dan bermacam perdebatan akan dapat kita baca dan ikuti, baik di dada akhbar atau sumber media massa yang lain. Kemudian secara perlahan-lahan ia akan senyap dan lenyap kembali.

Guru pun mungkin sudah tidak berminat lagi untuk menyuarakan perasaan mereka berkaitan hal ini malah, terpaksa menerima hakikat bahawa tiada apa yang akan berubah dalam isu ini.

Justeru, apakah hasil daripada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengkaji beban kerja guru yang dikatakan kian bertambah ini? Sudah hampir setahun jawatankuasa ini ditubuhkan, tetapi apakah hasil serta tindakan susulan daripada kajian itu.
Apa yang nyata, guru terus dibebankan waktu mengajar yang terlampau banyak dan ditambah pula terpaksa memikul tugas yang di luar bidang hakiki mereka. Ada guru dipertanggungjawabkan ini untuk mengajar sehingga 28 waktu seminggu. Itupun selepas terpaksa berjumpa dan merayu dengan pihak pentadbir sekolah untuk mengurangkan waktu mengajar yang pada asalnya ditetapkan sebanyak 31 waktu mengajar.

Itu belum lagi ditambah dengan tugas lain seperti guru disiplin, guru kelab dan persatuan serta bermacam lagi tugas ‘perkeranian’ yang terpaksa dihadapi. Jadi apa bezanya keadaan sebelum dan selepas jawatan kuasa itu ditubuhkan?

Walaupun ada pembantu guru yang dihantar untuk membantu dan meringankan beban kerja guru, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Pembantu guru ini diambil kesempatan pula oleh pihak pentadbir sekolah untuk meringankan kerja mereka sendiri. Akhirnya bukan guru yang mendapat manfaat daripada kehadiran pembantu guru ini, tetapi yang untungnya adalah pihak pentadbir sekolah.

Saya berharap agar kerajaan dan Kementerian Pelajaran bersikap lebih telus dan serius untuk menyelesaikan masalah beban kerja guru ini. Bukannya sekadar duduk di pejabat, menerima laporan daripada pegawai mereka dan kemudiannya membuat dasar yang tidak bersandarkan realiti sebenar masalah perguruan di negara ini.

MIENAMI,
Puchong, Selangor

Petrol RON97 naik 20 sen

Harga petrol RON97, yang kadarnya diapungkan sejak tahun lalu, mengalami kenaikan lagi - 20 sen untuk dijual RM2.90 seliter mulai hari ini, demikian menurut Persatuan Pengedar Petrol Malaysia hari ini.


Ia kenaikan kali kedua sepanjang April-Mei tahun ini. Bagaimanapun harga petrol RON95 tidak mengalami sebarang perubahan. Harga petrol RON97 juga mengalami kenaikan 20 sen seliter pada 2 April lalu dan dijual RM2.70 seliter sejak itu.


Kenaikan kali ini adalah peningkatan keempat tahun ini. Ia mengalami kenaikan 10 sen seliter berkuat kuasa 31 Januari lalu. Harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Disember lalu, menjadikan RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari lalu. Seperti sebelum ini kerajaan tidak mengumumkan perubahan harga RON97.


“Harga RON97 diapungkan selepas kerajaan menarik balik subsidi bagi petrol jenis ini,” kata presiden persatuan Datuk Hashim Othman. Hashim berkata harga RON97 kemungkinan akan menurun pada masa depan tetapi ia bergantung pada situasi politik di Asia Barat dan juga bencana alam.

Monday, May 2, 2011

SISTEM GANTI PTK BERMULA 1 JULAI

Kerajaan dijangka melaksanakan sistem penilaian baru terhadap penjawat awam menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa Julai ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, sistem itu akan menilai tahap kompetensi golongan itu berdasarkan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku mereka dalam pekerjaan.

“Pada 2 Mei ini, Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) dan CUEPACS akan membuat persidangan bagi membentangkan beberapa cadangan terhadap penambahbaikan sistem penilaian baru itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Kesatuan Inspektor Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Pemansuhan PTK yang berkuatkuasa 1 Januari lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

Menurut Omar, sistem penilaian baru itu akan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini.