Thursday, May 26, 2011

Jabatan Perkhidmatan Awam JPA Beku Pengambilan Kerja Hingga Ogos

Jabatan Perkhidmatan Awam JPA, mengumumkan pemansuhan semua jawatan kosong berkuat kuasa 1 Jun ini.Berikutan keputusan tersebut semua urusan pengambilan dibekukan bermula 20 Mei hingga 31 Ogos.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Sektor Awam (JKK-MPGSA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Mei lalu.

Menurut beliau, pembekuan merangkumi semua kementerian dan Jabatan Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Persekutuan dan Badan Berkanun Negeri.

Bagaimanapun, kata beliau, jawatan-jawatan pada gred kenaikan pangkat dan jawatan yang sedang dalam proses lantikan oleh pihak berkuasa melantik adalah dikecualikan.

Keputusan (pemansuhan) ini adalah selaras dengan langkah kerajaan untuk merasionalisasi dan mewujudkan perkhidmatan awam yang kejat,katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu pekeliling yang dikeluarkan kepada ketua setiausaha, ketua jabatan persekutuan, setiausaha kerajaan negeri, setiausaha suruhanjaya perkhidmatan, pihak berkuasa berkanun persekutuan/negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Pekeliling itu diperoleh menerusi laman web JPA.

Abu Bakar menasihatkan semua agensi supaya tidak mengemukakan permohonan penstrukturan semula organisasi dan pengukuhan perjawatan dalam tempoh tersebut.

Katanya, jabatan itu juga akan melakukan auditan perjawatan secara komprehensif di setiap agensi kerajaan semasa pelaksanaan keputusan ini.

Sehubungan itu, semua pihak dipohon untuk memastikan pelaksanaan arahan ini dipatuhi dengan memberi kerjasama sepenuhnya kepada jabatan ini semasa pelaksanaan auditan perjawatan itu,jelasnya.

Tambang Pengangkutan Awam Naik Mulai 1 Ogos 2011

Tambang untuk pengangkutan awam bagi bas ekspres, bas berhenti-henti, bas sekolah, teksi dan kereta sewa di seluruh negara dinaikkan berkuatkuasa 1 Ogos. Kita semua kena bersedia menghadapi kemungkinan ini.

Sunday, May 22, 2011

Tanah runtuh: Senarai nama mangsa


Berikut adalah senarai nama 25 mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat Kajang semalam.
Sehingga awal pagi ini 16 mangsa disahkan maut.



Mangsa meninggal dunia



1. Mohd Kamarul Amizan, 11
2. Nurahimi Rosdi, 14
3. Dzahir Haziq M. Muin, 11
4. Ahmad Lokman Hakim, 11
5. Farid Ibrahim, 34
6. Mohd Azrel Azahari, 8
7. Wan Ahmad Hasril Hazim, 19
8. Zahid Assawal Zamri, 19
9. Mohd Mustakim Mamat, 12
10. Mohd Naerzein M. Nor, 8
11. Mohd Aiman Abdullah, 10
12. Shahrul Nurimran Adnan, 9
13. Mohd Zaim Azahawi, 14
14. Mohd Imal Fahad, 9
15. Mohd Riezman Ab Latif, 9
16. Mohd Hazim Sapri, 10


Mangsa dirawat di Hospital Ampang


1. Aizat Khusuiri, 12
2. M. Allaudin Sobri, 14
3. M. Syatiq Ibrahim, 21
4. Khairul Anuar Nasri, 9
5. M. Harris Izuddin Sharul, 11
6. Zulkhairi Aminuddin,
7. Izzuddin Abdullah
8. Izuan Zakaria, 33


Mangsa dirawat di KPJ Kajang


1. Mohd Akmal Mohd Jefri, 10

Friday, May 20, 2011

Harga Produk Tenusu DL Akan Dinaikkan Jun

Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady) akan menaikkan harga produk tenusunya di antara lima sehingga enam peratus secara berperingkat-peringkat menjelang Jun ini ekoran peningkatan harga bahan mentah. Menurut Pengarah Urusan Dutch Lady, Bas van den Berg, peningkatan itu adalah suatu yang tidak dapat dielakkan dengan harga bahan mentah dijangka meningkat sebanyak 29 peratus pada tahun ini berbanding 27 peratus pada tahun lalu.


“Peningkatan kos ini dapat dilihat secara signifikan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti susu, gula, minyak dan tenaga buruh. “Kami di Dutch Lady mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi perkara ini tetapi ia suatu yang tidak dapat dielakkan, oleh itu kami terpaksa meningkatkan harga sebanyak lima hingga enam peratus dalam portfolio produk kami," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan ke-48 Dutch Lady di sini semalam.


Turut hadir ialah Pengerusi Dutch Lady, Datuk Zainal Abidin Putih. Van den Berg menjelaskan, sebagai persediaan ke arah fenomena berkenaan pihaknya telahpun menaikkan harga sebanyak lima peratus bagi beberapa produk susu yang baharu dilancarkan pada awal tahun ini.


“Kami harus mengambil langkah berjimat-cermat dan efisien dengan harga material bahan mentah yang tidak menentu ini,” katanya. Beliau bagaimana pun tidak melihat bahawa peningkatan harga tersebut akan menjejaskan jualan rangkaian produk tenusu Dutch Lady di pasaran....

Monday, May 16, 2011

Berita baik untuk guru: Kaedah baru kenaikan pangkat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru dengan mengkategorikan mereka mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Katanya, empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

"Melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya dalam rakaman video yang ditayangkan pada sambutan Hari Guru Kebangsaan, di sini hari ini.

Perdana Menteri mengumumkan, semua guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Katanya lagi, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang menikmati pergerakan gaji tahunan.

"Untuk ini, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.

Najib juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Katanya, semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 dan ini melibatkan 6,585 jawatan.

"Seterusnya, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan 99 jawatan," katanya.

Saturday, May 14, 2011

Guru syor gaji, elaun kakitangan awam diselaras

Sumber: B Harian

HARI Guru akan disambut dua hari lagi. Sebagai guru, saya terpanggil untuk meluahkan rasa hati berikutan beberapa isu yang hangat diperkatakan dewasa ini membabitkan kakitangan awam termasuk guru iaitu gaji dan elaun.

Berita baik yang ditunggu semua kakitangan awam berikutan tuntutan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi penyelarasan gaji dan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) serta Elaun Tetap Perumahan (ITP) sempena Hari Pekerja 1 Mei lalu ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.

Saya ingin mengutarakan beberapa cadangan kepada kerajaan, CUEPACS dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru.

Pertama, COLA dan ITP diselaraskan kepada semua kakitangan awam tanpa mengira gred gaji.

Kedua, perbezaan gred gaji antara kakitangan awam hanya berdasarkan gaji pokok dan Elaun Tetap Khidmat Awam (ITKA). Pada situasi ini, gaji pokok kakitangan awam pengurusan dan profesional (gred 41 dan ke atas) mesti lebih tinggi daripada lepasan diploma (gred 40 ke bawah).

Ketiga, semua gred gaji dan elaun di setiap kementerian diselaraskan. Sebagai contoh, gred gaji kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Pelajaran bermula daripada gred 1 hingga 40 sedangkan gred gaji bagi kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Kesihatan bermula daripada gred 1 hingga 42.

Begitu juga dengan Elaun Kritikal bagi Kementerian Pelajaran antara lima dan 10 peratus daripada gaji pokok sedangkan bagi kakitangan awam Kementerian Kesihatan mencecah 15 peratus.
Keempat, tempoh kenaikan pangkat kakitangan awam Kementerian Pelajaran amat panjang. Kenaikan daripada gred DG41 ke gred DG44 guru mengambil masa 10 tahun, sedangkan di kementerian lain antara tiga hingga tujuh tahun saja.

Ada yang menyatakan perkara ini berlaku kerana guru terlalu ramai berbanding kakitangan kementerian lain. Ada perbezaan gaji sangat ketara antara kami walaupun tempoh perkhidmatan sama.

Kami berasakan guru antara golongan paling teraniaya antara kementerian dengan 1,001 tugas, serta keputusan Jawatankuasa Mengkaji Beban Tugas Guru yang belum diumumkan walaupun sudah hampir setahun berlalu.

Guru memang tepat diibaratkan seperti lilin yang menerangi kehidupan orang lain. Semoga Hari Guru 2011 ini membawa sinar ‘lilin’ yang bercahaya kepada semua kakitangan awam terutama guru. Selamat Hari Guru.

Monday, May 9, 2011

Cuaca panas dijangka berakhir minggu depan

Suhu panas yang melanda Semenanjung Malaysia ketika ini hanya bersifat sementara dan dijangka berakhir dalam masa seminggu lagi, kata Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Liong.

Beliau berkata, keadaan panas ketika ini sehingga menjangkau suhu 36.2 darjah Celcius adalah disebabkan Ribut Tropika Aere yang dikesan di utara Filipina, meniup angin dari arah Barat Daya ke negara ini.

"Ini menyebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering," katanya.

Sumber: B Harian