Monday, July 4, 2011

Kabinet Tidak Luluskan Permohonan Astro Naikkan Tarif Perkhidmatan

Kabinet hari ini membuat keputusan untuk tidak membenarkan stesen televisyen berbayar Astro menaikkan tarif perkhidmatan mereka selagi tidak mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, isu tarif itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan Kabinet berpendapat Astro tidak sewajarnya menaikkan apa pun tarif berkaitan perkhidmatan mereka pada waktu ini.

“Saya bersetuju untuk SKMM tidak membenarkan kenaikan sebarang tarif Astro kecuali ianya diluluskan oleh SKMM, dan mengikut kadar yang berpatutan, serta mengikut lunas undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di Angkasapuri di sini, hari ini. – BERNAMA

Friday, July 1, 2011

Permohonan Kemasukan Ke UITM Semester 2011 / 2012


Mulai hari ini,1 Julai 2011, UiTM membuka tawaran baru kemasukan ke UiTM sesi 2011/2012 dan permohona boleh dibuat melalui laman UiTM Online.

Ini merupakan berita gembira buat adik-adik lepasan SPM 2010 yang tidak mendapat tempat di universiti, mahupun di politeknik, untuk mencuba sekali lagi memohon dan menyambung pengajian anda di universiti.Tak kira lah dimana anda belajar pun, yang penting ilmu yang anda dapat, boleh anda gunakan untuk menabur bakti kepada keluarga dan juga negara.


Maklumat lanjut boleh didapati di http://istudent.uitm.edu.my/ dan http://www.online.uitm.edu.my/.

Tuesday, June 28, 2011

Ibu bapa murid serang guru dakwa anak mereka ditampar

Akibat salah faham, seorang guru lelaki cedera di pipi kiri setelah ditumbuk oleh bapa seorang murid tahun empat, yang mendakwa guru terbabit telah menampar anak lelakinya dalam satu insiden Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, guru terbabit, Azidi Abdullah, 44, juga nyaris dicederakan dengan sebilah parang yang dibawa oleh isteri lelaki berkenaan.

Menurut mangsa, kejadian berlaku ketika dia baru sampai di sekolah rendah berkenaan, apabila tiba-tiba didatangi bapa murid terbabit yang sedang menunggu di pagar sekolah.

Dakwanya, lelaki tersebut bertindak menumbuk pipi kirinya sebanyak dua kali meskipun cuba ditenangkan.

"Tanpa sempat berbuat apa-apa, saya terus ditumbuk oleh bapa murid itu. Selepas kali pertama ditumbuk, saya meminta dia bertenang tetapi tidak dihiraukan apabila sekali lagi menumbuk bahagian pipi kiri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu, Azidi telah membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas di sini kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

Mengulas tindakan pasangan itu, dia memberitahu, semuanya berpunca akibat salah faham kononnya dia telah menampar anak mereka sehingga murid terbabit cedera beberapa hari lalu.

"Murid terbabit terhantuk di meja dan luka pada Rabu lalu. Ketika bertanyakan hal itu kepada murid terbabit, dia terus menangis dan saya memujuk dengan menyentuh pipinya, bukan menampar," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Monday, June 27, 2011

Mata pelajaran vokasional dimansuhkan mulai tahun depan

Mata pelajaran vokasional (MPV) akan dimansuhkan di semua sekolah harian secara berperingkat mulai tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.

"Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV).

"PAV ini dikhususkan untuk pelajar peringkat Tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat,” katanya.

Sunday, June 26, 2011

Kedai Rakyat 1Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengilhamkan projek Kedai Rakyat 1Malaysia .

Sebanyak 250 barangan generik akan dijual pada harga antara 30 hingga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran barangan berjenama. Najib dijadual melancarkan kedai pertama yang terletak di stesen LRT Kelana Jaya petang ini yang akan dikendalikan oleh Mydin Mohamed Holdings Bhd.

Ia berkonsepkan pasar mini yang menjual pelbagai barangan keperluan asas tanpa jenama, pada harga berpatutan berbanding banyak jenama lain yang terdapat dalam pasaran. Pengarah Urusan Mydin Holdings Ameer Ali Mydin pada taklimat media baru-baru ini berkata barangan generik itu akan diberikan jenama ’1Malaysia’.

“Kami lakukan ini atas dasar tanggungjawab sosial korporat bagi membantu rakyat. Saya jamin kerajaan tidak akan tanggung sebarang kos. Jika ada peluang, kami ingin kembangkan konsep ini ke tempat-tempat lain,” katanya.

Diantara barang dan harga yang boleh dijangkakan oleh pembeli:

* RM20.50 bagi pek biasa lampin pakai buang bayi (berjenama: RM40)

* RM 2.99 bagi setin sardin 420g (berjenama: RM6.10)

* RM6.80 bagi sebotol kordial (berjenama: RM9.90)

* RM2.05 bagi setin krimer (berjenama: RM2.80)

Ameer berkata kekuatan Mydin terletak pada pembelian pukalnya dan disokong oleh kira-kira 500 pengusaha kecil dan sederhana yang membekalkan sebahagian daripada barangan generik itu.



Saturday, June 25, 2011

PTPTN Hentikan Pinjaman 152,000 Pelajar

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memberhentikan pinjaman kepada 152,000 pelajar berikutan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang diperolehi mereka adalah 2.0 ke bawah.

Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata, jumlah pelajar yang ditamatkan pinjaman itu membabitkan pinjaman sebanyak RM632 juta.

“Mereka sebelum ini merupakan pelajar terbaik yang maju dalam pelajaran tetapi atas sebab tertentu pembelajaran mereka semakin merosot dan keputusan peperiksaan semester dua gagal mencapai 2.0 mengikut PNGK.

“Bagaimanapun jika mereka berjaya mendapat keputusan PNGK 2.0 ke atas dalam peperiksaan berikutnya PTPTN akan menyambung semula pinjaman tersebut,” katanya.

“Tindakan menyenaraihitamkan mereka yang liat membayar pinjaman diteruskan dan sehingga kini seramai 132,180 orang berada di bawah senarai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan pembiayaan pinjaman PTPTN kepada seramai 100 pelajar kawasan Parlimen Kuala Krau yang layak memasuki IPTA dan IPTS di Jengka dekat Temerloh hari ini.

Ismail berkata, PTPTN memberi pinjaman sebanyak RM38.69 bilion kepada seramai 1.75 juta pelajar setakat ini.Dalam pada itu katanya, PTPTN melupuskan pinjaman sebanyak RM277.99 juta kepada seramai 9,545 pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama pada tahun lepas.

Perkara ini sebenarnya memang dah lama PTPTN terapkan, dan pada kami, ianya bagus.Kadangkala kami tidak faham mengapa seseorang pelajar yang PNGK mereka dibawah 2.0 marah dengan tindakan sedemikian.Tanggungjawab seorang pelajar adalah untuk belajar bersungguh-sungguh.

PTPTN sendiri menjadikan pinjaman tersebut “biasiswa” sekiranya pelajar mendapat keputusan cemerlang.Tiada isu sebenarnya mengapa pelajar-pelajar sebegini perlu marah akibat tidak mendapat pinjaman.Ini adalah kerana kesalahan mereka sendiri.Hidup di universiti, sangat berbeza dengan realiti sebenar kehidupan di luar yang lebih mencabar.

Berkenaan dengan pelajar yang liat membayar pinjaman,ini juga merupakan satu masalah yang akan mengaitkan pelajar-pelajar yang baru.Mungkin ada yang masih belum mendapat kerja dan sebagainya, itu mungkin menyebabkan mereka tidak dapat membayar pinjaman.

Sunday, June 19, 2011

Pelakon Zami Ismail atau Pak Uda meninggal dunia

Pelakon komedi veteran, Zami Ismail , 67, atau dikenali dengan panggilan Pak Uda kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Pak Uda yang terkenal menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.30 pagi di sisi semua anaknya.

Menurut anaknya yang juga pelawak, Mohd. Soupi atau Opie, bapanya menghidap sakit jantung.

“Jenazah ayah akan dikebumikan di Tapah Road selepas Asar petang ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 5 Mei lalu, Pak Uda dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Ampang setelah mengadu sakit dada dan semput akibat penyakit pneumonia.