Friday, October 23, 2015

Ucapan Penuh Pembentangan Bajet 2016

"MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT"

Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2016 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.


MUKADIMAH

Tuan Yang Dipertua,

1. Saya mulai, dengan menyebut BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A'iamin, Wa bihi Nastai'n.

2. Segala puji-puji bagi Allah Hu Ta'ala, yang telah menjadikan Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi, ... juga,... yang telah mewujudkan keadaan gelap-gulita, ke alam terang benderang.

3. Demikian juga, limpahan salawat, ke atas Nabi Muhammad, Rasul Pilihan,...
Pembuka bagi sesuatu yang terkunci, Penutup bagi yang terdahulu, penolak yang batil, pembela hak dan kebenaran.

Tuan Yang Dipertua,

4. Sejak Mac tahun 2009, saya telah membentangkan lebih 11 dokumen besar berkait ekonomi negara.

5. Termasuklah, Pakej Rangsangan Pertama, Pakej Rangsangan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-lO dan Rancangan Malaysia Ke-ll, seterusnya Bajet 2010, hinggalah pada hari ini, akan dipersembahkan pula Bajet 2016.
6. InsyaAllah, jika diberi izin oleh Tuhan yang Maha Menyimpan segala Tahu dan rahsia setiap sesuatu, kita berdoa serta berharap agar terus berpeluang lagi, dapat membentangkan Bajet-Bajet pada tahun-tahun selanjutnya, ... Amin.

7. Sesungguhnya, Bajet yang diangkat kali ini,... merupakan bagian daripada terjemahan Rancangan Malaysia Ke-ll. Bajet ini adalah yang pertama, dalam rantaian 5 Bajet, sampailah terjulangnya negara tercinta ini kelak, menjadi sebuah watan, High Income Advanced Economy. InsyaAllah.

8. Sebelum itu, sebagai hamba-hambaNya yang beringat lagi bersyukur, marilah bersama, dengan rasa kerendahan hati, mengambil sempena dan iktibar daripada sejarah dan sirah, berasaskan Al-Quran, melalui mafhum pengertian surah An- Nisa' ayat 58, seperti yang ditafsir oleh antaranya Imam Qurtubi, pabila menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah kepada kita, bagi menjaga hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap keperluan rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

9. Lantaran itu, sebelum diteruskan penyampaian ini, walau apa sekalipun diwajahkan di mana-mana, meski apa yang dilaparkan dalam media, berkait letak duduk dan keadaan Malaysia, kanannya, negara ini diambang mullis, berada dalam krisis ekonomi, nilal ringgit terjejas teruk, ekoran persepsi ketidakcekapan tadbir urus kewangan negara, serta pula dipertikai tentang tatacara perbelanjaan Kerajaan yang katanya tidak berhemah. Makanya, berdasarkan ehwal yang dihebah-hebahkan itu, moleklah kiranya saya mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini, untuk memperjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya, serta rakyat Malaysia, yang sedang menonton dan mendengar di luar sana supaya mendapat gambaran yang benar serta tepat.

Tuan Yang Dipertua,

10. Semenjak tabun 2009, janganlah sesekali kita lupa, satu persatu datangnya dugaan terhadap ekonomi negara. Kita telah berdepan dengan pelbagai ketidakkeruan ekonomi global dan pastinya kemelut iktisad domestik.

11. Alhamdulillah, meskipun telah ditantang dengan segala aral dan rintangan itu, Kerajaan terbukti mampu menangani dan mengatasinya dengan begitu berkesan.

Tuan Yang Dipertua,

12. Jika hendak disimpulkan, antaranya terdapat 6 pencapaian utama sebagai penanda kejayaan yang boleh diperbanggakan dalam mengangkat kembali kedudukan ekonomi negara, dari mana ia berada separuh dekad lalu.

Tuan Yang Dipertua,

13. Pencapaian pertama: Jika ditinjau situasi ekonomi semasa Malaysia, ia mampu berkembang sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015, dan dianggarkan mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun, meskipun, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar yang perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.

14. Dalam perkara ini, perlu kita ingat baik-baik, keadaan ekonomi sekarang, bak kata dalam bahasa Inggeris, 'there is no comparison whatsoever', berbanding tahun 1998. Nyatanya, pada ketika itu, telah berlaku krisis kewangan peringkat Asia, sehinggakan ekonomi negara menguncup kepada negatif 7.4 peratus.

15. Sungguhpun begitu, kita sedar, bahawa kita tidak dapat lari dengan mudah atau dalam sekelip mata. la menuntut daripada menghadapi kelembapan ekonomi global, kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa.

16. Justeru, pertumbuhan KDNK negara dijangka dapat berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan ini, akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.

17. Eksport pula, tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus.
Sektor pembinaan berkembang 8.4 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus, manakala pembuatan sebanyak 4.3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

18. Pencapaian Kedua: Secara konsisten kita telah dapat mengurangkan defisit fiskal Kerajaan, daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus yang dijangka pada tahun ini.

Tuan Yang Dipertua,

19. Pencapaian Ketiga: Melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang bermula pada tahun 2010, Kerajaan ini, telah meneruskan mujahadah pembasmian kemiskinan. 

20. Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada kini 0.6 peratus pada tahun 2014. Malah, sebenarnya kemiskinan tegar telah hampir disifarkan.

21. Pencapaian Keempat: Kalau dikaji, statistik pengangguran pada tahun 1999 adalah 3.4 peratus.

22. Dengan kehendak Allah jua, hasil daripada pengurnsan ekonomi negara yang berkesan, kita telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan.

Tuan Yang Dipertua,

23. Pencapaian Kelima: Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih.

24. Akhir sekali, Pencapaian Keenam: Rakyat telah mendapat pelbagai kemudahan seperti BRIM, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC dan Kedai Rakyat 1Malaysia, demi meringankan kos sara hidup rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

25. Pada sudut lain, kemasukan pelaburan asing pula terus kukuh pada 22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini, manakala,indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran 1.675 trilion ringgit menjelang penutup bursa pada 22 Oktober 2015.

26. Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak 418 bilion ringgit pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.

27. Laginya, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal, di antara 2 hingga 3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

28. Ini menunjukkan bahawa realitinya, Malaysia, negara kita yang tercinta  bukanlah negara yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih stabil, masih  kukuh dengan economic fundamental dan terus berdaya saing.

29. Sebelum bingkisan Bajet tahun ini diteruskan, terdapat dua perkara mustahak yang wajar diberi penjelasan. Perkara pertama, adalah Cukai Barangan  dan Perkhidmatan atau GST, yang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutamanya  sejak awal tahn ini.

30. Dalam isu GST, Kerajaan berterima kasih kerana pematuhan dalam pendaftaran dan pengisytiharannya amat tinggi dan membanggakan.

31. Suka saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, setakat ini, jumlah syarikat yang berdaftar dengan GST adalah hampir 400 ribu buah semuanya, dengan  kadar patuh serahan atau submission mencapai lebih 90 peratus.

Tuan Yang Dipertua,


32. Alhamdulillah, sesungguhnya keputusan Kerajaan melaksanakan GST adalah  tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak kepada lebih 50 peratus  daripada paras 100 dolar Amerika sebelum ini.

33. Faktanya, Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS menyumbang sejumlah  dividen kepada Perbendaharaan pada setiap tahun. Jumlah sumbangan dividen ini,  bergantung kepada naik turunnya harga minyak dunia.

34. Misalannya, dalam tempoh setahun di mana harga minyak adalah pada purata  100 dolar Amerika setong, pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 62 bilion ringgit.

35. Akan tetapi, senarionya berbeza, pabila harga minyak telah turun kepada  paras sekitar 50 dolar Amerika setong. Pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 44 bilion ringgit pada 2015.

36. Harga minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan kutipan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bition ringgit, atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit.

37. Jadinya, jika sebelum ini, dalam beberapa pengumuman rasmi, saya, bagi pihak Kerajaan ada menyebut bahawa rakyat usahlah bimbang, kerana hasil kutipan GST dikembalikan semula demi manfaat ramai, malah, dimaklumkan pula bagaimana ia dibelanjakan. lni adalah benar apa yang Kerajaan hasratkan dan tidak ada apa-apa  agenda yang terselindung.

38. Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan realiti  kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi. Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya.

Tuan Yang Dipertua,

39. Sehubungan itu, pada tahun 2016, dalam perkiraan Kerajaan, sekira dan seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan sistem SST seperti yang  sebelumnya, hasil negara akan berkurangan sebanyak 21 bilion ringgit.

40. Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah  sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39 bilion ringgit.

41. Akibatnya, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus, dan bukan  lagi 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016.

42. Andai kata ini berlaku, Kerajaan terpaksa meminjam termasuk untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat. 
Tuan Yang Dipertua,

43. Di atas segalanya, bersyukurlah kita kepada Allah, kerana Kerajaan yang  ada tetap bertegas dengan pendirian, mempunyai dengan izin, political will atau keberanian serta iltizam politik untuk melaksanakan GST...sekalipun, ...sekalipun... keputusan ini ternyata mendapat pelbagai cabaran dan tidak popular.

44. Malah pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan begitu lantang dan keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah memasukkannya pula dalam dokumen bajet mereka.

45. lni jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten.

Tuan Yang Dipertua,

46. Oleh itu, berdiri atas pendirian sedemikian, Kerajaan yang  bertanggungjawab ini, akan terus melakukan keputusan-keputusan yang betul, waima  tidak bersifat populis, demi,... mendahulukan rakyat dan kepentingan negara. 
Tuan Yang Dipertua dan Rakyat Malaysia sekalian,

47. Oleh yang demikian, ternyatalah, GST ini sebetulnya merupakan satu sistem percukaian yang efisien. Maka sebab itulah, telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara.

48. Tampaknya juga, meskipun keadaan kewangan negara terkekang, kita terus mendengar denyut nadi dan rintihan rakyat.

49. Kerana itu, setelah menerima maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat, termasuklah pihak NGO, dengan ini, sukalah saya mengumumkan bahawa, Kerajaan bersedia, melepaskan lagi pendapatan cukai GST terhadap, beberapa barangan asas kehidupan seharian rakyat.

50. Tujuh langkah penambahbaikan layanan GST, berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016, adalah seperti berikut:

51. Pertama, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat  Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, E, C dan D, serta tambahan sebanyak  95 jenama ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.

52. Kedua: pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut: 
Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik; Dhal, atau kata orang utara kacang 'parpu', berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih; Akar teratai atau lotus root dan sengkuang air atau water chestnut;Biji sawi;Gula merah; dan Untuk orang Sarawak,...mee kolok kering

53. Ketiga: Bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari  Skim Kadar Rata di bawah GST, Kerajaan mencadangkan supaya, threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit;

54. Dengan penurunan threshold, ia bererti, lebih ramai petani kecil boleh  mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan 2 peratus ke atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya.

55. Keempat: Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa pula akan  dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang;

56. Kelima: Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula  barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan  atau pameran;

57. Keenam: Kini, bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST diberikan  kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi  tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung; serta

58. Ketujuhnya: Pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan  peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang  menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan  2006.

Tuan Yang Dipertua,

59. Kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya  daripada golongan belia, bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi prabayar  atau prepaid card.

60. Berhubung ini, para pengguna warga Malaysia, akan mendapat kembali rebat  bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini, adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.

61. Seterusnya, bagi memantapkan struktur cukai supaya lebih kompetitif dan  progresif, banjaran pendapatan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan  daripada 25 peratus, kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara 600  ribu ringgit dan 1 juta ringgit.

62. Sementara itu, mereka yang berpendapatan melebihi 1 juta ringgit, kadar  cukai akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

PERUNTUKAN BAJET 2016

63. Bajet 2016 memperuntukkan 267.2 bilion ringgit berbanding 260.7 bilion ringgit peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, 215.2 bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 52 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.

64. Di bawab peruntukan mengurus, 70.5 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 36.3 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala sebanyak 106.6 bilion ringgit adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 761 juta ringgit dan 1 bilion ringgit kepada perbelanjaan lain.

65. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 30.1 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 13.1 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat.

66. Manakala, sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 5.2 bilion  ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am ialtu sebanyak 1.6  bilion ringgit. dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.

67. Bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak  225.7 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 3.2 bilion ringgit berbanding 2015.

68. Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan, defisit  fiskal Kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016.

69. Bajet ini dan bajet-bajet seterusnya akan berteraskan keseimbangan diantara Capital Economy dan People Economy. Disamping itu, kita perlu mencapai  pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable dan membina sebuah negara yang kompetitif, progresif, bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu.

Tuan Yang Dipertua,

70. Lantaran demikian, saya pohon membentangkan sebuah Bajet yang bertemakan "Mensejahtera Kehidupan Rakyat" bertunjangkan 5 Keutamaan.


Tuan Yang Dipertua,

71. KEUTAMAAN PERTAMA: MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI NEGARA.

72. Langkah satu: Aktiviti pelaburan domestik akan terus dirancakkan dengan  jangkaan sumbangan kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi 2016. lni akan dipacu oleh  pelaburan swasta yang meningkat sebanyak 218.6 bilion ringgit serta disokong  oleh pelaburan awam sebanyak 112.2 bilion ringgit.

73. Dalam langkah ini, terdapat sembilan projek dan inisiatif yang akan dilaksanakan:

Pertama: Membangun Malaysian Vision Valley meliputi keluasan tanah seluas 108,000 hektar dari Nilai ke Port Dickson seperti yang telah dibentangkan pada RMK-ll, dengan unjuran pelaburan permulaan 5 bilion ringgit pada tahun 2016;

Kedua: Melaksana Cyber City Centre di Cyberjaya' dengan nilai pembangunan  hampir 11 bilion ringgit dalam tempoh 5 tahun;

Ketiga: Membangun Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA di kawasan seluas 1,300 ekar dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 7 bilion ringgit;

Keempat: Pelaburan 6.7 bilion ringgit oleh Khazanah Nasional Berhad, dalam 9 projek domestik berimpak tinggi seperti dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan, pelancongan, perisian dan infrastruktur komunikasi;

Kelima: Khazanah Nasional juga memperuntukkan 500 juta ringgit untuk modal teroka dan dana ekuiti persendirian termasuk dana teroka modal pelancongan sebanyak 50 juta ringgit;

Keenam: Pelaburan seterusnya dianggarkan 19 bilion ringgit untuk tahun 2016, bagi Projek RAPID Complex di Pengerang, Johor;

Ketujuh: Untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta, antara projek yang sedang dilaksanakan adalah pembangunan Rubber City di Kedah dengan peruntukan 320 juta ringgit, Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak sebanyak 142 juta ringgit dan Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan, Sabah sebanyak 20 juta ringgit; dan

Kelapan: Tumpuan turut diberi kepada pembangunan industri Kimia, Elektronik dan Elektrikal, Mesin dan Peralatan, Aeroangkasa, Peranti Perubatan dan Perkhidmatan. Untuk itu, 730 juta ringgit disediakan kepada dana-dana di bawah MIDA, dan

Kesembilan: Bagi terus menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat sedia ada dalam sektor pengilangan dan pertanian terpilih yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula atau Reinvestment Allowance, insentif baharu Elaun Pelaburan Semula Khas akan diberikan. Kadar tuntutan adalah 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak dan dibenarkan ditolak daripada 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.

75.Langkah 2: Dalam mempergiatkan pasaran modal pula, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuk potongan cukai diberi ke atas kos penerbitan sukuk Sustainable and Responsible Investments dan Pengecualian duti setem sebanyak 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah.

76.Langkah 3: Sememangnya, PKS memainkan peranan penting dalam membangunkan rantaian nilai perniagaan. Ia dijangka menyumbang kepada 41 peratus KDNK menjelang 2020. Untuk itu, lima tindakan berikut akan diambil:

Pertama:Tambahan satu bilion ringgit bagi Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah sehingga 31 Disember 2017, dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan;

Kedua:107 juta ringgit untuk Pelan Induk PKS bagi pemberian dana di pelbagai peringkat perniagaan;

Ketiga:60 juta ringgit untuk Skim Anjakan Usahawan dan Skim Peningkatan Kapasiti serta Keupayaan PKS;
Keempat:Menubuhkan dana pinjaman mudah SME Technology Transformation Fund sejumlah 200 juta ringgit, di bawah SME Bank pada kadar faedah empat peratus; dan

Kelima:18 juta ringgit untuk memperluas Projek Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR, dan Projek Automative Workshop Modernisation atau ATOM.

77.Langkah 4: Seperti yang kita tahu, infrastruktur merupakan pemangkin kepada keseluruhan pembangunan ekonomi dan sosial negara.

78.Terkini, ingin saya maklumkan, bahawa, Malaysia menduduki tangga ke25 di antara 160 negara yang disenaraikan dalam Laporan Indeks Pencapaian Logistik Bank Dunia 2014.

79.Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur logistik, termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan rel, serta lebuhraya pada 2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi  Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Central Spine Road.

80.Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota pula, 900 juta ringgit diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak, yang akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.

81.Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai Masjid Tanah ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di Melaka.

82.Seterusnya, sebanyak 42 juta ringgit disediakan bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran landasan di lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.

Tuan Yang Dipertua,

83.Demi keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem Pengangkutan Awam yang efisien sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan dengan peruntukan yang besar kerana kita mahu memudahkan kehidupan rakyat di kawasan bandar.

84.Izinkan saya memberi sedikit status terkini, tentang antara projek terbesar dalam sejarah negara, iaitu projek pengangkutan awam bersepadu MRT-LRT.

85.Bagi projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer, akan boleh kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 kilometer pula, akan boleh dinaiki pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai 10 bilion ringgit.

86.Projek MRT jajaran Sungai Buloh Semantan pula, juga dapat digunakan pada tahun 2016, pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2 Semantan Kajang dijangka siap pertengahan 2017. Projek ini, dengan jarak 51 kilometer sedang dilaksanakan dengan kos 32 bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

87.Hasil daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain seperti berikut:

Pertama:Projek MRT II dari Sungai Buloh Serdang- Putrajaya dengan jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 28 bilion ringgit. Kerja pembinaan direncana bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022;

Kedua:Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 10 bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap pada 2020. Disamping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High Speed Rail dengan Kerajaan Singapura; dan

Ketiga:Bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada kos melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir 1 bilion ringgit akan dilaksanakan.

Tuan Yang Dipertua,

88.Untuk menambahbaik infrastruktur telekomunikasi pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan 1.2 bilion ringgit, antara lain, untuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar 4 kali ganda dari sehingga 5 Megabit sesaat, kepada 20 Megabit sesaat,. National Fiber Backbone Infrastructure, Jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut.

89.Selain itu, 250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional bagi meningkatkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah kepada kandungan TV serta transaksi data interaktif.

Tuan Yang Dipertua,

90.Memang dari dahulu lagi, semenjak merdeka, kesejahteraan penduduk luar bandar, menjadi keutamaan kita. Mana mungkin kita meminggirkan mereka. Liputan jalan luar bandar telah meningkat daripada 46 ribu pada 2009 kepada 51 ribu kilometer, 98 peratus kawasan luar bandar telah mendapat bekalan elektrik, dan hampir 95 peratus mendapat bekalan air.

91.Kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan luar bandar seperti berikut:

Pertama:1.4 bilion ringgit bagi membina serta menaik taraf jalan luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara. Selain itu, 200 juta ringgit lagi disediakan bagi menaik taraf jalan di kawasan penempatan FELDA;

Kedua:878 juta ringgit untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, yang membabitkan 10 ribu buah rumah. 568 juta ringgit bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar untuk 3 ribu buah rumah;

Ketiga: 60 juta ringgit untuk Program Ameniti Sosial, terutamanya projek perparitan bagi mencegah berlakunya banjir. Tumpuan diberikan kepada negeri-negeri yang terlibat banjir seperti Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak;

Keempat:Sebagai pemangkin keusahawanan di kawasan luar bandar dan komuniti desa, 70 juta ringgit untuk meneruskan Program Rural Business Challenge dan Program Desa Lestari; serta

Kelima:67 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Kenderaan Bas MARA, untuk pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomik di luar bandar.

Tuan Yang Dipertua,

92.Langkah Kelima: Sektor pelancongan merupakan sektor yang paling berpotensi untuk menjana ekonomi negara dalam keadaan kini. Untuk 2016, Kerajaan mensasarkan 30.5 juta pelancong yang dijangka menyumbang sebanyak 103 bilion ringgit kepada ekonomi negara. 1.2 bilion ringgit pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan untuk tujuan ini.

Tuan Yang Dipertua,

93.Tambahan lagi, permohonan visa secara atas talian atau online application, akan dilaksanakan bermula dengan negara China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada.

94.Di samping itu, untuk memudahkan pelancong dan pelawat untuk berkunjung ke Malaysia, Kerajaan akan melaksanakan e-Visa menjelang pertengahan 2016.

95.Seterusnya, bagi mengambil peluang atas kedudukan Ringgit, kini, dan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, pengecualian cukai pendapatan sedia ada sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun diberikan kepada pengusaha pelancongan dilanjutkan mulai tahun taksiran 2016 sehingga tahun taksiran 2018.

Tuan Yang Dipertua,

96.Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian, adalah sumber makanan negara dan merupakan tempat pergantungan pendapatan bagi petani, pesawah dan nelayan.

97.Sehubungan ini, 5.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara program yang akan dilaksanakan:

Pertama:450 juta ringgit bagi pelbagai program berimpak tinggi seperti program penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta geran pemadanan dan penyelidikan produk herba dan penternakan ikan dalam sangkar;

Kedua:180 juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur saliran dan pengairan di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu;

Ketiga:190 juta ringgit kepada FAMA, bagi tujuan Program Penurunan Harga, dengan menambah 50 buah lagi Pasar Tani dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia atau ABR1M yang baru. 40 peratus daripada barang jualan ABR1M, adalah barang-barang basah seperti ikan dan sayur yang harganya, dianggarkan 5 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran; dan

Keempat:90 juta ringgit diperuntukkan untuk Program Pembangunan Agropreneur Muda dalam bentuk geran in-kind, Dana Pembiayaan Usahawan, penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan; serta pelaksanaan Projek Ladang Pengganda untuk penternakan lembu dan ladang ayam kampung.

98.Dalam mengolah dasar sesuai dengan keadaan ekonomi terkini, Kerajaan mencadangkan galakan cukai bagi aktiviti pengeluaran bahan makanan dilanjutkan sehingga 2020. Insentif yang disediakan adalah seperti berikut:

Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan projek pengeluaran bahan makanan, akan diberi potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan yang dibuat;

Kedua: Syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan pula diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun; dan

Ketiga: Syarikat sedia ada yang menjalankan projek pembesaran pula, juga diberikan insentif yang sama untuk tempoh 5 tahun.

99.Skop insentif juga akan diperluas kepada ternakan rusa, tanaman cendawan, kelapa, rumpai laut, lebah madu dan kelulut serta tanaman makanan ternakan seperti ubi keledek dan ubi kayu.

Tuan Yang Dipertua,

100.Sehubungan dengan tindakan-tindakan tadi, Kerajaan akan melipat-gandakan sokongan untuk memperkukuhkan eksport negara.

101. Dengan itu, 235 juta ringgit diperuntukkan kepada MATRADE, untuk Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan Dana Promosi Eksport.

102.MATRADE dan SME Corp juga akan meningkatkan keupayaan PKS dan syarikat peringkat pertengahan atau mid-tier, untuk mengeksport barangan dan perkhidmatan ke luar negara.

103.Seterusnya, bagi mempelbagaikan penggunaan matawang asing untuk urusan perdagangan pula, Bank Negara Malaysia menyediakan kemudahan credit swap Ringgit-Renminbi kepada bank tempatan.

104.Pada masa ini, PKS boleh menuntut pengecualian cukai pendapatan sebanyak 10 atau 15 peratus daripada nilai peningkatan eksport. Untuk terus meningkatkan eksport, PKS diberi kelonggaran mematuhi syarat nilai tambah iaitu 30 peratus kepada 20 peratus, dan 50 peratus kepada 40 peratus bagi produk perkilangan.
Kelonggaran ini akan diberikan bagi tahun taksiran 2016 hingga 2018.

105.Bagi menggalakkan perkhidmatan penilaian dan pematuhan piawaian antarabangsa dilakukan di dalam negara, Kerajaan akan memberi galakan untuk penubuhan Independent Conformity Assessment Bodies atau ICAB.

Tuan Yang Dipertua,

106.Setakat hari ini, Malaysia telah menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas atau FTA iaitu 6 secara serantau melalui ASEAN dan 7 secara dua hala.

107.Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan adalah sekitar 150 peratus melebihi KDNK, Kerajaan telah menerima secara prinsipnya, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP.
Walaubagaimanapun, pertimbangan secara muktamad akan dibuat di Parlimen kelak.

Tuan Yang Dipertua,

108.KEUTAMAAN KEDUA: MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, INOVASI DAN TEKNOLOGI HIJAU.

Lonjakan inovasi dan kreativiti adalah kritikal untuk meningkatkan produktiviti kita. Penggunaan teknologi hijau akan turut membantu melestarikan sumber-sumber asli negara.

109.Oleh yang demikian, Kerajaan mensasarkan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.7 peratus setahun melalui:

110.Langkah Satu: Bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi yang kompetitif di rantau ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

111.Lantaran, 2016 akan diisytiharkan sebagai Tahun Pengkomersilan Malaysia, dalam melonjakkan hasil produk R and D oleh institusi penyelidikan tempatan. Maka, inisiatif- inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama:PKS yang membuat perbelanjaan untuk projek R and D sehingga 50 ribu ringgit bagi setiap tahun taksiran, layak menuntut potongan cukai dua kali secara automatik. Kemudahan ini diberikan bagi tahun taksiran 2016 sehingga 2018;

Kedua:100 juta ringgit kepada Agensi Inovasi Malaysia;

Ketiga:200 juta ringgit di bawah Skim Dana Lonjakan Teknologi dan Inovasi oleh Malaysia Debt Ventures Bhd;

Keempat:35 juta ringgit kepada MaGIC, sebagai Peneraju Hab Keusahawanan dan Inovasi Serantau, termasuk 10 juta ringgit sebagai dana permulaan untuk Corporate Entrepreneurs Responsibility Fund;

Kelima:30 juta ringgit untuk pelbagai program keusahawanan generasi muda seperti Global Entrepreneurship Community, BAHTERA, GREAT, 1MET, National Innovation Competition serta Projek Perintis Coding di sekolah; dan

Keenam: Bagi menggiatkan aktiviti demand driven innovation, pada tahun 2016, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk Public-Private Research Network.

Tuan Yang Dipertua,

112.Langkah Dua: Bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan, Kerajaan akan menggalakkan lagi penggunaan teknologi Industrialised Building System atau IBS. Sehubungan itu, Kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat menggunapakai teknologi IBS.

113.Bagi tujuan ini, dana khas IBS Promotion Fund sebanyak 500 juta ringgit disediakan melalui SME Bank, sebagai pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah.

114.Langkah Tiga: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan melaksanakan pelbagai usaha teknologi hijau termasuk penyediaan bekalan air bersih, melalui pembinaan loji rawatan air, dengan peruntukan 877 juta ringgit.
515 juta ringgit pula, diperuntukkan bagi meningkatkan mutu bekalan elektrik di Sabah.

115.Kerajaan turut mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sehingga 40 peratus KDNK pada tahun 2020, melalui:

Pertama: Pelaksanaan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik termasuk proses audit tenaga dengan peruntukan 45 juta ringgit;

Kedua:Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA melaksanakan Skim Pemeteran Tenaga Bersih, dengan kuota 100 MW setahun, dalam menggalakkan penggunaan solar photovoltaic; dan

Ketiga: Melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sehingga 31 Disember 2017, dengan dana sebanyak 1.2 bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

116.KEUTAMAAN KETIGA: MEMPERSIAGA MODAL INSAN.

Perkara ini amat kritikal untuk masa depan negara. Justeru Kerajaan akan mengambil langkah-langkah seperti:

117.Langkah 1: Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebanyak 41.3 bilion ringgit akan diperuntukkan pada 2016.

118.Antara lain, Kerajaan akan membina:30 sekolah rendah;27 sekolah menengah;4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh, Tanah Merah, Kelantan, Bagan
Datoh, Perak; dan 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah,Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang.

119.Untuk peringkat kelas prasekolah pula, 44.6 juta ringgit diperuntukkan untuk pelbagai program di 9,113 buah kelas seluruh Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

120.Untuk meningkatkan Penguasaaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, 135 juta ringgit diperuntukkan bagi program Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.

121.Oleh kerana, Bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan global semasa, maka dua lagi inisiatif, iaitu Dual Language Programme dan Highly Immersive Programme akan dilaksanakan secara optional dengan kos 38.5 juta ringgit. Dalam hal ini, 300 buah sekolah telah dikenal pasti sebagai projek perintis.

122.Bagi meringankan tanggungan ibubapa untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak, bantuan 100 ringgit akan diteruskan. Mulai Januari 2016, ia hanya dikhususkan kepada pelajar sekolah dari kalangan isi rumah berpendapatan 3 ribu ringgit ke bawah. Ini memanfaatkan 3.5 juta pelajar dengan peruntukan 350 juta ringgit.

123.Selain itu, program rancangan makanan tambahan yang melibatkan 550 ribu pelajar dari keluarga miskin yang tersenarai dalam eKasih akan ditambah baik.

124.Program ini, yang sebelumnya hanya tertakluk kepada makanan waktu rehat, akan diperluaskan dengan kos tambahan 173 juta ringgit untuk sarapan pagi. Kos keseluruhan program ini sebanyak 423 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

125.Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan juga terus menyediakan peruntukan untuk membangunkan dan menyelenggara Fasiliti Pendidikan untuk Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil; Sekolah Mubaligh; Sekolah Berasrama Penuh; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; MRSM; Sekolah Pondok yang berdaftar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau Conforming School yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan. Peruntukan bagi tujuan ini, keseluruhannya berjumlah 500 juta ringgit.

126.Langkah Dua: Pembiayaan biasiswa diteruskan dengan agihan, antaranya seperti berikut:

1.65 bilion ringgit melalui Jabatan Perkhidmatan Awam;
288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan;
250 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan Tinggi; dan
258 juta ringgit melalui Kementerian Kesihatan.

127.Selanjutnya, dalam menggalakkan lagi pendidikan tinggi, sukacita saya umumkan, had maksima pelepasan cukai ke atas yuran pengajian pendidikan tinggi bagi pembayar cukai individu, dinaikkan kepada 7 ribu ringgit daripada 5 ribu ringgit setahun.

128.Ini dilengkapkan lagi dengan penerusan Program Baucar Buku 1Malaysia yang bernilai 250 ringgit, bagi 1.2 juta pelajar. Untuk mengelakkan salah guna baucar ini, kaedah penebusan akan diperkemaskan hanya di kedai-kedai buku yang diiktiraf.

Tuan Yang Dipertua,

129.Langkah Tiga: Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pekerja, kita mensasarkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu, adalah pekerja berkemahiran TVET menjelang 2020. Sejumlah 4.8 bilion ringgit diperuntukkan kepada 545 Institusi TVET di bawah Bajet ini.

130.Dalam usaha ini juga, MITI akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kemahiran Industri bagi menyelaras program TVET dengan kerjasama pihak industri.


131.Selain daripada itu, lebih 330 ribu pelatih akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini melalui antaranya program-program berikut:
Pertama:585 juta ringgit untuk peralatan latihan TVET di Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, GiatMARA dan Kolej Vokasional;
Kedua:350 juta ringgit untuk membiayai program di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran; dan
Ketiga:80 juta ringgit untuk penubuhan Akademi Pelancongan di Kolej Komuniti Kota Kinabalu, Kolej Vokasional Sandakan serta Institut Latihan Perindustrian Serian, Sarawak.

Tuan Yang Dipertua,

132.Langkah Empat pula, berkenaan Memperkasa Belia, Komuniti dan NGO. Bagi langkah ini, Bajet 2016 memperuntukkan 930 juta ringgit kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi inisiatif berikut:

Pertama:280 juta ringgit untuk latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara;

Kedua:50 juta ringgit untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan;

Ketiga:145 juta ringgit untuk mempersiapkan atlet negara untuk menghadapi cabaran Sukan SEA ke 29, dan Sukan Para ASEAN ke 9 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur;

Keempat:75 juta ringgit untuk terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Pembangunan Podium Sukan Elit;

Kelima:22 juta ringgit untuk membina 2 Kompleks Sukan di Bagan Datoh dan Kuantan; dan

Keenam:360 juta ringgit untuk menambahbaik Program Latihan Khidmat Negara bagi 20 ribu pelatih. Ia melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal.

133.Akhir sekali, 160 juta ringgit disediakan untuk NGO-NGO, bagi melaksanakan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kesihatan dan keselamatan.

Tuan Yang Dipertua,

134.Langkah Lima, memfokus kepada Kualiti Tenaga Kerja.Bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, program seperti berikut akan dilaksanakan:

Pertama:Memperuntukkan 30 peratus daripada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia, sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan program latihan mengikut keperluan industri setempat di Sabah dan Sarawak, serta Outplacement Centre bagi melatih semula pekerja yang telah diberhentikan; dan

Kedua:Melatih 15 ribu peserta melalui program Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M dengan kos 250 juta ringgit yang akan dibiayai sepenuhnya oleh GLC.

Tuan Yang Dipertua,

135.Untuk Menambahbaik Pengurusan Tenaga Kerja Asing pula, sebanyak 77 juta ringgit akan diperuntukkan oleh PSMB bagi menjalankan program seperti Train  and  Replace dalam bidang terpilih seperti hospitaliti, perkapalan dan pengangkutan.

Tuan Yang Dipertua,

136.Kerajaan terus komited dengan hasrat untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor awam dan swasta. Ini termasuklah di peringkat Lembaga Pengarah; dan Kerajaan akan sentiasa memantau pencapaian dasar ini.

Tuan Yang Dipertua,


137.KEUTAMAAN KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA.
Perlu saya tegaskan, bahawa pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional dan ini tentunya, merangkumi pembangunan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

138.Sebanyak 150 juta ringgit disalurkan kepada TERAJU untuk pelaksanaan pelbagai program termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi

139.150 juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk melaksanakan program Peneraju Tunas, Peneraju Profesional serta Peneraju Skil dan Iltizam.

140.Manakala, kepada MARA pula, diperuntukkan 3.7 bilion ringgit, termasuk menaja pengajian 72 ribu pelajar Bumiputera di peringkat pendidikan tinggi.

141.Bagi memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera, peruntukan akan diberikan seperti berikut:

Pertama:400 juta ringgit kepada Dana Ekuiti Nasional Berhad atau EKUINAS;

Kedua:250 juta ringgit kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad;

Ketiga:150 juta ringgit kepada Pelaburan Hartanah Berhad; dan

Keempat :100 juta ringgit sebagai pinjaman kepada UDA Holdings untuk tujuan pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur.

Tuan Yang Dipertua,

142.Manakala, untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama:Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090 km, dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran kos sebanyak 16.1 bilion ringgit.
Di Sabah pula, fasa 1 lebuhraya ini, akan mula dibina pada 2016 meliputi 706 kilometer, bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran kos 12.8 bilion ringgit. Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi, Lebuhraya Pan Borneo ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol;

Kedua: Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan. Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST;

Ketiga:Sebagai satu program baru, 70 juta ringgit disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah panjang dengan had pinjaman 50 ribu ringgit untuk setiap unit di rumah panjang;

Keempat:70 juta ringgit sebagai subsidi baja padi huma disediakan untuk meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, yang meliputi kawasan seluas 65 ribu hektar di Sarawak, dan 11 ribu hektar di Sabah;

Kelima: 260 juta ringgit disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih di seluruh negara;

Keenam: 115 juta ringgit disediakan khusus bagi Program Khas Bumiputera Sabah dan Sarawak, seperti untuk projek native customary rights, yang merangkumi prosedur-prosedur pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, serta melibatkan kos membina native courts, atau mahkamah-mahkamah adat. Bagi projek native customary rights, 20 juta daripada jumlah tersebut untuk pemetaan tanah di Sabah, dan 30 juta ringgit pula, untuk tujuan yang sama di Sarawak; dan

Ketujuh:Meningkatkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pendalaman Sabah dan Sarawak, termasuk pembelian bot dan kenderaan baru.

Tuan Yang Dipertua,

143.KEUTAMAAN KELIMA: MERINGANKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT.
Hal ini, adalah amat dekat di hati saya dan Kerajaan. Makanya, pelbagai inisiatif akan dilakukan melalui:

144.Langkah Satu: Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah B40, di mana:

Pertama:TEKUN akan menyediakan 600 juta ringgit yang meliputi 500 juta ringgit untuk usahawan Bumiputera, dan 100 juta ringgit untuk 10 ribu usahawan India, melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Selain itu, 50 juta ringgit disediakan oleh SME Bank untuk membantu usahawan kecil India;

Kedua:Tambahan 200 juta ringgit kepada dana sedia ada untuk Amanah Ikhtiar Malaysia, bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada isi rumah B40;

Ketiga:100 juta ringgit disediakan di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang melibatkan kerjasama NGO dengan Institut Latihan Kemahiran Swasta;

Keempat:Tambahan 90 juta ringgit sebagai pinjaman mikro kredit kepada penjaja dan peniaga-peniaga kecil kaum Cina yang termasuk 50 juta ringgit untuk KOJADI.
Seterusnya, 40 juta ringgit bagi melaksanakan projek infrastruktur dan program pinjaman mudah kepada penduduk kampung-kampung baru Cina bagi pembayaran premium tanah dan membaik pulih rumah;

Kelima:50 juta ringgit kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, untuk Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan. Melalui kedua-dua program ini, peserta akan mendapat manfaat latihan kemahiran dan juga bantuan berbentuk aset serta bahan mentah; dan

Keenam:Menyediakan 100 juta ringgit kepada Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan NGO bagi meningkatkan kemahiran B40 untuk mereka mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan.

Tuan Yang Dipertua,

145.Sejak dulu lagi, Kerajaan ini sungguh prihatin terhadap kebajikan dan kemajuan masyarakat Orang Asli. Untuk ini, sebanyak 300 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan:

Pertama:Pembangunan Perkampungan Bersepadu antaranya di Sungai Siput, Perak yang merangkumi pembinaan jalan perhubungan, penyediaan bekalan elektrik dan air terawat dengan peruntukan 80 juta ringgit;

Kedua:Bantuan makanan tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah sebanyak 45 juta ringgit; dan

Ketiga:Projek pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman kontan, menerusi Projek Pembangunan Ekonomi Orang Asli sebanyak 25 juta ringgit.

146.Untuk golongan B40 lagi, program eRezeki dan eUsahawan akan diperluaskan ke seluruh negara, untuk menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan mereka. Kerajaan mensasarkan 100 ribu dari kalangan B40 mendapat manfaat dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit, yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

147.Untuk Golongan Pesawah, Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pula, Bajet kali ini menyediakan 852 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan pendapatan dan produktiviti.

148.Kerajaan bercadang menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah atau IPG. Untuk ini, sukacita saya umumkan, paras pengaktifan IPG dinaikkan daripada 4 ringgit 60 sen, kepada 5 ringgit 50 sen sekilogram, bagi getah SMR20 Freight On Board.
Bagi getah skrap atau cuplumps di peringkat ladang pula, dinaikkan daripada 1 ringgit 75 sen, kepada 2 ringgit 20 sen sekilogram.

149.Sebagai ilustrasi, berdasarkan purata pengeluaran 250 kilogram sebulan bagi setiap hektar, pemilik kebun seluas 2 hektar dijangka mampu meraih pendapatan seribu ringgit sebulan. Ini adalah pada harga pasaran getah skrap 2 ringgit sekilogram.

150.Kini, dengan bayaran tambahan IPG sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram, pendapatan keseluruhan pemilik kebun tersebut akan meningkat kepada 1,100 ringgit sebulan.

151. Dengan penambahbaikan IPG ini juga Tuan Yang Dipertua, jikalau senario tadi hanya merujuk kepada seorang pemilik kebun, secara keseluruhannya pula, melalui Bajet ini seramai 300 ribu pekebun getah akan menerima manfaat tambahan daripada Kerajaan. Jumlah peruntukan yang dianggarkan adalah sebanyak 200 juta ringgit.

152.Selanjutnya, bagi menggalakkan petani meningkatkan mutu padi dan hasil tuaian mereka, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif Pemutuan Sebenar Padi dan menambahbaik Skim Subsidi Harga Padi, mulai 1 Januari 2016.

153.Pemutuan Sebenar Padi adalah berasaskan penyeragaman harga padi pada paras 1,200 ringgit setiap tan metrik. Sebagai pelengkap kepada inisiatif ini, Kerajaan juga meningkatkan kadar SSHP dari 248 ringgit 10 sen, kepada 300 ringgit bagi setiap tan metrik.

154.Maksudnya, sekiranya seseorang petani itu menghasilkan 6 tan metrik padi, yang menepati kualiti pemutuan 20 peratus pemotongan, beliau layak mendapat bayaran hasil jualan sebanyak 5,760 ringgit.

155.Bukan itu sahaja, petani tersebut juga akan menerima penambahan menerusi peningkatan kadar SSHP, menjadikan jumlah pendapatannya meningkat daripada 1,190 ringgit kepada 1,440 ringgit.

156.Maka, secara keseluruhannya, setelah ini, petani tersebut akan mendapat 7,200 ringgit, pada setiap kali penuaian. Suka saya menyatakan di sini, seramai 155 ribu pesawah akan menikmati penambahbaikan skim ini.

157.Langkah Dua: Seperti kita tahu, isu pemilikan rumah adalah isu yang sering dibangkitkan semenjak beberapa tahun ini. Pelaksanaannya memerlukan penglibatan pelbagai agensi.

Tuan Yang Dipertua,

158.Bajet 2016, meneruskan pelbagai program pemilikan rumah bagi segenap lapisan pendapatan seperti berikut:

Pertama:Membina 175 ribu unit rumah oleh PR1MA, yang dijual 20 peratus di bawah harga pasaran, dengan peruntukan 1.6 bilion ringgit. Sebanyak 10 ribu unit dijangka siap tahun hadapan;

Kedua:Membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, dengan pemberian subsidi 20 ribu ringgit bagi seunit rumah dengan peruntukan 200 juta ringgit;

Ketiga:Membina 100 ribu unit rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M, menjelang tahun 2018, dengan harga di antara 90 hingga 300 ribu ringgit.
Bantuan Dana Mudahcara sehingga 25 peratus daripada kos pembangunan disediakan;

Keempat:Membina 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 unit rumah teres di bawah Program Perumahan Rakyat oleh KPKT dengan peruntukan 863 juta ringgit;

Kelima:Menyediakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah KPKT, sebagai sumbangan kepada pembeli rumah pertama untuk rumah mampu milik bagi tujuan bayaran deposit. Untuk ini, 200 juta ringgit diperuntukan;

Keenam:Membina 5 ribu unit rumah PR1MA dan PPA1M di 10 lokasi sekitar stesen dan koridor LRT serta monorel, antaranya di Pandan Jaya, Sentul dan Titiwangsa;

Ketujuh:Memperuntukkan 60 juta ringgit kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli khusus untuk pembinaan rumah masyarakat Orang Asli;

Kelapan:Membina rumah untuk generasi kedua peneroka, iaitu 20 ribu unit rumah oleh FELDA, 2 ribu unit rumah oleh FELCRA dan 2 ribu unit rumah oleh RISDA.
Bagi rumah FELDA, harga maksima kini diturunkan kepada 70 ribu ringgit berbanding 90 ribu ringgit sebelum ini;

Kesembilan:Membina 800 unit rumah mampu milik oleh GLC berhampiran stesen MRT dalam Kawasan Pusat Bandar Kwasa Damansara oleh Kwasa Land milik KWSP, dan 4,600 unit rumah mampu milik oleh Sime Darby Property; dan

Kesepuluh:Memperuntukkan 40 juta ringgit di bawah KPKT, bagi pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.
Selain itu, pengecualian duti setem diberikan ke atas surat cara pembiayaan pinjaman kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai.

Tuan Yang Dipertua,

159.Seterusnya, bagi menyediakan persekitaran penduduk yang selesa, langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama:150 juta ringgit bagi membina dan membaik pulih 11 ribu rumah daif di kawasan luar bandar oleh KKLW; dan

Kedua:155 juta ringgit bagi penyelenggaraan perumahan awam kos rendah, dan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia oleh KPKT. Antara lain, tabung ini membolehkan pembiayaan 100 peratus untuk pembaikan lif, railing, serta pendawaian semula.

Tuan Yang Dipertua,

160.Langkah Tiga: Sememangnya, negara mana yang tidak mahu kualiti perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia. Inilah yang sentiasa diperjuangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu, kini dan selamanya.
Antara projek yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama:Membina 5 hospital baru di Pasir Gudang, Kemaman, Pendang, Maran dan di Cyberjaya;

Kedua:Memulakan operasi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur, yang bernilai 848 juta ringgit pada Oktober 2016;

Ketiga: Projek Pembangunan Semula Hospital Kajang;

Keempat: 260 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf klinik desa, klinik kesihatan dan klinik pergigian, berserta kuarters di seluruh negara;

Kelima: 52 juta ringgit bagi operasi 328 klinik 1Malaysia sedia ada, dan pembukaan 33 klinik 1Malaysia baharu;

Keenam:72 juta ringgit untuk bantuan perubatan, termasuk hemodialisis, yang memanfaatkan hampir 10 ribu pesakit kurang berkemampuan; dan

Ketujuh:4.6 bilion ringgit untuk bekalan ubat, consumables, vaksin dan reagents kepada semua hospital dan klinik Kerajaan.

161.Bermula 1 Januari 2016 juga, Kerajaan akan mengenakan caj penuh rawatan kepada pesakit bukan warganegara Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

162.Langkah Empat: Kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaringan perlindungan sosial dengan peruntukan hampir 2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk membantu golongan OKU, warga emas dan keluarga miskin. Untuk tujuan ini, antara program yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama:445 juta ringgit bagi meneruskan pemberian 350 ringgit sebulan kepada OKU bekerja dan 200 ringgit sebulan kepada OKU yang tidak bekerja serta untuk penjagaan OKU terlantar sebanyak 300 ringgit sebulan. Kesemuanya ini, akan memanfaatkan hampir 150 ribu OKU;

Kedua:100 juta ringgit disediakan termasuk untuk menambah 20 lagi buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti; dan

Ketiga:Bantuan 662 juta ringgit untuk anak daripada keluarga miskin berjumlah 100 hingga 450 ringgit sebulan, serta warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan.

Tuan Yang Dipertua,

163.Dalam setahun yang lepas, negara telah dilanda dua bencana yang besar, iaitu banjir besar pada penghujung 2014, dan gempa bumi di Ranau, Sabah. Musibah dan tragedi ini, jika tidak diambil langkah yang proaktif, boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit dan lebih penting lagi, kehilangan nyawa dan anggota.

164.Maka, bagi memperkukuh pengurusan bencana alam, 180 juta ringgit disediakan termasuk untuk penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah JPM.

165.Seterusnya, 730 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara. Manakala, 60 juta ringgit untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara serta membangunkan Sub-Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional di Sabah.

Tuan Yang Dipertua,
Ahli-Ahli Dewan yang mulia serta Rakyat Malaysia Sekalian,

166.Jelasnya, apa yang pentadbiran Kerajaan sedia ada selama ini, sedang lakukan dan laksanakan, dengan sehabis baik ini,Sebetulnya, merupakan tali-temali, sambung menyambung dasar serta perancangan pimpinan negara, sejak dekad-berdekad.

167.Lantas, ingin saya ulangi,.. Bajet ini,satu antara langkah dalam rantaian langkah-langkah besar terakhir,yang hanya tinggal sedikit masa lagi sebelum mentari sebagai negara maju, menzahirkan cahayanya.

168.Pucuk pangkalnya, sebagaimana baik pun perancangan yang dibuat, sedemikian apapun rencana yang disusun, hukum hakam dan resmi bernegara, seperti tercatat dalam tawarikh kehidupan, membuktikan bahawa, hatta sebuah tamadun pun akan gagal jikamana kerukunan, kestabilan dan kebersatuan negara tidak diperkekalkan.

Tuan Yang Dipertua,

169.Oleh sebab itulah, tatkala membicarakan tentang ketenteraman tanahair, tiada kalimah sebagai ibarat, tiada kata sebagai umpama, yang dapat menunjukkan betapa kita berterima kasih dan menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan, mahupun para perajurit dalam menjamin keamanan pertiwi.

170.Oleh yang demikian, Kerajaan komited untuk melaksanakan pelan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia atau ATM secara berperingkat.

171.Sehubungan itu, sebanyak 17.3 bilion ringgit disediakan untuk Kementerian Pertahanan. Antaranya, bagi perolehan 6 buah Littoral Combatant Ship, sistem persenjataan Very Short Range Air Defence, kereta berperisai dan pesawat Airbus A-400M.

172.Tambahan lagi, ATM akan diperlengkapkan dengan teknologi terkini, termasuk penggunaan Unmanned Airborne System untuk meningkatkan keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance.

173.Sejumlah 523 juta ringgit pula, diperuntukkan untuk pembangunan kem tentera darat ESSCOM di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

174.Seterusnya, bagi mengenang jasa dan khidmat bakti wira-wira kita, sebanyak, 160 juta ringgit diperuntuk bagi membina 4 ribu unit lagi kuarters anggota Angkatan Tentera Malaysia.

175.Tidak cukup sekadar itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sedang merancang untuk membina tambahan 2 ribu unit lagi rumah mampu milik, kepada anggotanya bermula tahun hadapan.

176.Di samping itu, Kerajaan bersetuju supaya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, diperuntukkan sejumlah 864 juta ringgit, bertujuan antaranya, perolehan Offshore Patrol Vessel dan kapal peronda.

177.Manakala, bagi mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam dalam negeri, untuk terus mengurangkan kadar jenayah, sejumlah 13.1 bilion ringgit disediakan. Inisiatif-inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama:155 juta ringgit untuk pembinaan 2 buah Ibu Pejabat Polis Daerah atau IPD baharu, iaitu di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, serta 10 buah IPD dan 5 buah balai polis yang masih dalam pembinaan;

Kedua:Merancang untuk membina 2 ribu unit lagi rumah mampu milik bagi anggota Polis Diraja Malaysia atau PDRM, antaranya di Rawang dan kawasan-kawasan yang sedang dikenalpasti;

Ketiga:36 juta ringgit untuk membina pejabat, kuarters dan menaiktaraf depoh tahanan imigresen;

Keempat:50 juta ringgit bagi mempertingkatkan langkah keselamatan penjara; dan

Kelima:20 juta ringgit untuk Program Bandar Selamat di 60 kawasan hitam, antaranya melalui pengasingan laluan pejalan kaki dan pencahayaan di kawasan tersebut.
Sukacita saya mengumumkan, penambahan 500 unit Rondaan Bermotosikal PDRM lagi, dan 500 unit lagi kereta peronda, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 35 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

178.Bagi menguatkan lagi usaha integriti dan mengurangkan ketirisan serta rasuah, SPRM akan terus dimantapkan dengan program-program serta latihan yang relevan. Dengan ini, bilangan pegawai SPRM akan turut ditambah mengikut keperluan.

179.Merujuk kepada falsafah Rancangan Malaysia Kesebelas lagi, Tuan Yang Dipertua, sepertimana yang telah saya nyatakan di awal ucapan tadi, tentang rupawajah dan warna-warna kemajuan negara serta sahsiah rakyat yang kita dambakan, ketikamana memasuki gelanggang negara maju kelak, dalam apa jua yang direncanakan, seperti dokumen Bajet ini, perihal kebajikan dan kepentingan rakyat, menjadi keutamaan.

180.Sepertimana ramai makrufi, Malaysia kontemporari ini, sudah pun dikenali sebagai sebuah negara Islam yang progresif lagi dinamik, sehingga disegani di seantero dunia. Sejak tahun-tahun kebelakangan, Kerajaan sedang menuju maksud dalam usaha menepati kerangka Maqasid Syariah dan pengertian wasatiyyah.
181.Walau apapun, untuk memenuhi tuntutan maqasid syariah, bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi, berkait ciri kemajmukan rakyat di negara ini.

182.Sememangnya pun, tanpa disedari, sejak meraih kemerdekaan, kita telah mengamalkan objektif tersebut dengan prinsip kesederhanaan yang begitu tersendiri.

183.Berdiri di atas asas ini, kita telah berjaya membina sebuah negara yang makmur, aman dan sentosa.

184.Di sudut ini, tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran negara adalah para kakitangan awam.

185.Oleh itu, marilah kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada lebih 1.6 juta mereka yang berjasa ini.

186.Pucuk dicita ulam pun mendatang, saat dinanti kini menjelang. Bagi Menghargai Perkhidmatan Awam, atas segala sumbangan dan khidmat bakti kepada negara, Kerajaan bersetuju:

Pertama :Memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan memanfaatkan 1.6 juta warganya dengan peruntukan 1.1 bilion ringgit;

Kedua :Menambah baik sebanyak 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406 ribu penjawat awam;

Ketiga :Menetapkan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada 1,200 ringgit sebulan yang akan memanfaatkan 60 ribu penjawat awam;

Keempat :Menetapkan kadar pencen minimum sebanyak 950 ringgit sebulan, yang akan melibatkan hampir 50 ribu pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan

Kelima : Melantik secara tetap pegawai lantikan Contract of Service yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun. Ini akan memanfaatkan lebih 10 ribu pegawai kontrak.

187.Pelaksanaan kesemua langkah ini Tuan Yang Dipertua, akan berkuatkuasa pada 1 haribulan Julai 2016 dengan peruntukan sebanyak 1.4 bilion ringgit.

Friday, October 16, 2015

TAHNIAH : SMK PENGKALAN BERJAYA MENDAPAT ANUGERAH BAYARAN INSENTIF TAWARAN BARU 2014

 Tn Hj Mohd Jasmi b Alias, AMP(Pengetua Cemerlang SMK Pengkalan) 
menerima Anugerah  Tawaran Baru daripada Menteri Pendidikan

Thursday, October 15, 2015

Cara Menghadapi Manusia Yang Iri Hati Dengan Kita

1. Menjaga Sikap Dan Ucapan

Kita perlu bermuhasabah diri kita yang menyebabkan kenapa sahabat atau orang disekeliling kita merasa iri hati kepada kita. Kadangkala kita tidak menyedari bahawa ucapan atau sikap yang kita tunjukkan membuat orang lain sakit hati, sedih atau marah.

2. Mengelakkan Diri

Apabila kita menghadapi situasi di mana kita berhadapan dengan sahabat atau orang yang iri hati dan terpancing emosinya, sebaiknya kita menghindar diri buat sementara waktu.
Jangan mendekati orang tersebut dan carilah tempat yang membuat kita selesa.
Sebagai seorang muslim, kita digalakkan untuk segera berwuduk kerana dengan berwuduk akan dapat menenangkan fikiran kita.

3. Berbincang Dari Hati ke Hati

Ajak orang tersebut bercakap dari hati ke hati. Tanyakan apa yang membuatkan dia terasa hati, dan jangan lupa untuk memohon maaf apabila kita salah dalam sikap dan ucapan kita.
Kerana manusia tidak lepas daripada melakukan kesalahan.

4. Mengelakkan Iri Hati Dengan Berdoa

Apabila kita telah melakukan kesemua tips diatas tadi, tetapi belum juga berhasil, maka langkah terakhir kita adalah berdoa kepada Allah, menyerahkan semuanya kepada Allah.
Memohon agar sahabat, jiran tetangga dan orang yang merasa iri hati kepada kita dilembutkan hatinya dan dihilangkan penyakit hatinya kerana sifat iri itu merupakan penyakit hati.

Merawat Penyakit Hati

1. Tidak Banyak Bercakap

Terlalu banyak bicara boleh membuat hati kita menjadi keras. Berbicaralah perkara yang tidak penting secukupnya dan hindari menjadi orang yang cakap besar, suka bergosip dan lain-lain.

2. Jaga Emosi dan Nafsu

Emosi dapat membuat hidup menjadi tidak tenang. Oleh  itu sebaik-baiknya kita perlu menjaga emosi kita agar tidak menjurus kepada penyakit hati. 
Beberapa contoh nafsu yang harus kita tundukkan antara lain seperti nafsu harta, nafsu seks, nafsu makan, nafsu pangkat, nafsu marah dan sebagainya. 
Salah satu cara untuk melatih emosi dan nafsu kita adalah dengan melakukan ibadah puasa, baik puasa sunat mahupun puasa Ramadhan.

3. Selalu Mengingati Allah SWT

Rajin bersolat baik solat wajib 5 waktu, solat tahajud, solat dhuha dan lain-lain. Selain itu zikir, doa dan  membaca al-Qur’an juga dapat menghindarkan kita dari penyakit hati.

4. Jangan Bergaul Dengan Orang Ada Penyakit Hati

Dengan berkawan dengan orang-orang yang penuh dengan penyakit hati,  kerana akan menjangkiti kita dengan penyakit – penyakit  itu sehingga kita akan semakin jauh dari Allah s.w.t.
 Hatilah tempat ketundukan, kepatuhan dan ketaatan. Dan hatilah tempat taqwa bertapak dan bernaung. 

Tuesday, July 21, 2015

PANDUAN AM KEPADA GURU


1.0 ARAHAN AM KEPADA GURU 


1.1 Guru hendaklah membaca, memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Etika Kementerian Pelajaran, Tonggak 12 dan PRIME 

1.2 Guru hendaklan bersama-sama memahami, berkongsi dan menghayati Visi dan Misi Sekolah. 

1.3 Bekerja sebagai satu pasukan untuk mencapai Visi, Misi, Matlamat dan Objektif Sekolah. 

1.4 Semua guru dikehendaki hadir lebih awal, sekurang-kurangnya 5 minit sebelum waktu permulaan sekolah. Guru dikehendaki melakukan ”thumb print” sebaik sahaja tiba ke sekolah setiap hari persekolahan. Guru juga dikehendaki melakukan ”thumb print ” sewaktu balik atau semasa meninggalkan kawasan sekolah bagi sesuatu urusan. Ia akan disemak oleh Pihak Pengurusan sebaik sahaja loceng pertama dibunyikan. 

1.5 Guru-guru yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana sakit atau sebagainya hendaklah memberitahu pihak sekolah lebih awal dengan apa cara sekalipun atau sebelum bermulanya waktu pertama untuk tujuan menempatkan Guru Ganti, bukan mendiamkan diri dan menyerahkan `Cuti Sakit’ pada hari berikutnya. 

1.6 Guru yang datang lewat ke sekolah atau tidak datang langsung bolehlah dianggap sebagai telah mengabaikan tugas dan tanggungjawab serta telah melanggar Etika Perkhidmatan Perguruan dan tindakan tatatertib boleh diambil ke atasnya. 

1.7 Guru-guru dikehendaki memakai pakaian yang sesuai dengan profesion perguruan. (Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2001 - Garis Panduan Guru Ketika Bertugas Di Sekolah). 

1.8 Semua guru dikehendaki memberi kerjasama menjayakan aktiviti-aktiviti rasmi yang dianjurkan oleh sekolah. 

1.9 Guru-guru mesti berada di sekolah sepanjang hari persekolahan. Guru-guru yang hendak keluar dari kawasan sekolah perlu mendapat kebenaran Pengetua. Catatkan butiran dalam Buku Keluar-Masuk dan dapatkan Slip Kebenaran Khas Pengetua sebelum meninggalkan kawasan sekolah. Guru-guru perlu menyerahkan Slip Kebenaran tersebut kepada pihak pengawal keselamatan dan catatkan didalam buku keluar masuk pengawal keselamatan. 

 1.10 Merokok adalah dilarang di kawasan sekolah. Sila rujuk dan patuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/1997 

1.11 Guru-guru tidak dibenarkan membuat sebarang hubungan dengan pihak luar secara lisan atau tulisan tanpa mendapat kelulusan Pengetua terlebih dahulu. Urusan dengan pihak luar mestilah melalui Pengetua. 

1.12 Guru-guru dilarang melayan atau membuat sebarang urusan dengan penjual / pembekal / kontraktor. Guru-guru juga tidak dibenarkan meminta tajaan dari pihak penjual / pembekal / kontraktor tanpa kebenaran Pengetua. 

1.13 Semua guru adalah Guru Disiplin dan perlu mengambil tindakan segera terhadap pelajar-pelajar yang didapati melanggar peraturan di dalam dan di luar sekolah. 

1.14 Pada akhir semester / cuti penggal, semua tugas dan tanggungjawab hendaklah disempurnakan. Semua kunci bilik khas / kunci sekolah hendaklah dipulangkan ke pejabat. Sebelum bercuti atau berpindah sekolah, semua urusan yang berkaitan hendaklah diselesaikan terlebih dahulu. 

1.15 Guru-guru yang bertanggungjawab dalam pengurusan stok dan inventori hendaklah sentiasa mengemaskini stok di bawah jagaannya. Verifikasi stok hendaklah dijalankan sepertimana yang dijadualkan. 

1.16 Semua guru dikehendaki mematuhi Pekeliling Kementerian Pendidikan 256 bila melengkapkan Buku Persediaan Mengajar. 

1.17 Guru-guru tidak dibenarkan mengadakan apa-apa upacara atau majlis tanpa mendapat kebenaran daripada Pengetua terlebih dahulu. 

1.18 Semua aktiviti sekolah yang melibatkan pelajar keluar dari kawasan sekolah, hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada ibubapa/penjaga. 

1.19 Guru mestilah mempunyai sikap proaktif, daya kreativiti dan berinovasi secara menyeluruh dalam semua aspek. 

1.20 Semua guru kelas dikehendaki mengambil kehadiran/kedatangan pelajarnya pada setiap hari persekolahan sebelum waktu kedua. Buku jadual kedatangan hendaklah sentiasa berada di pejabat pentadbiran sekolah. Guru kelas hendaklah menghubungi ibu/bapa pelajar yang tidak hadir secepat mungkin. 

1.21 Guru kelas dikehendaki sentiasa mengemaskini segala butiran yang terdapat dalam buku jadual kedatangan pelajar. Penyelaras Tingkatan akan membuat semakan dari masa ke semasa. 

1.22 Perhimpunan pagi harian dan perhimpunan mingguan adalah upacara rasmi sekolah. Semua guru adalah diwajibkan hadir di tempat yang disediakan. Telefon bimbit hendaklah “dimatikan” 

1.23 Guru bertugas mingguan hendaklah mencatatkan segala aktiviti atau peristiwa yang berlaku sepanjang minggu di dalam Buku Laporan Bertugas. Buku tersebut hendaklah ditulis dan disimpan di pejabat sekolah setiap hari bagi tujuan pemantauan oleh pihak pengurusan sekolah. 

1.24 Semua guru diharapkan dapat mematuhi segala arahan / peraturan bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan selesa. Adalah diharapkan semua guru dapat melahirkan budaya kerja cemerlang bagi meningkatkan prestasi diri, sekolah, masyarakat dan negara. 

1.25 Guru-guru perlu memastikan kebersihan kelas terlebih dahulu sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran. 

1.26 Guru-guru tidak dibenarkan berurusan dengan individu-individu, kumpulan atau syarikat-syarikat tertentu tanpa kebenaran daripada Pengetua PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
 
1.27 Guru-guru yang mengajar dikehendaki hadir tepat pada waktunya dan kalau boleh lebih awal apabila pertukaran waktu berlaku. Keadaan ini membolehkan kelas berkenaan terus terkawal. Guru-guru tidak dibenarkan mengarah pelajar-pelajar keluar untuk sesuatu tujuan yang bukan berkaitan dengan pelajaran pada waktu pengajaran dan pembelajaran

1.28 Kelas mesti berada dalam suasana yang tenteram, baik dan terkawal sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula dan terus berkeadaan demikian sehingga tamat. Bertindak dengan segera ke atas pelajar-pelajar yang tidak memberi perhatian penuh, membuat bising, mengganggu pelajar lain dan merosakkan harta benda sekolah. Sikap membiarkan sahaja atau tidak ambil tahu adalah dianggap sebagai mengabaikan tanggungjawab dan menjadi satu kesalahan tatatertib. 

1.29 Guru-guru hendaklah bersikap adil kepada semua pelajar pada setiap masa dan ketika. Sikap pilih kasih, membenci atau mendiskriminasi pelajar-pelajar adalah tidak diterima di sekolah ini dan bertentangan pula dengan Falsafah Pendidikan Negara. 

1.30 Jangan sekali-kali meninggalkan kelas, makmal atau bengkel tanpa diawasi. sekiranya tidak dapat dielakkan, minta kerjasama guru di kelas sebelah atau guru-guru lain. Guru-guru bengkel hendaklah sentiasa berhati-hati mengawasi pelajar-pelajar yang sedang bekerja. Pastikan semua pelajar memakai pakaian bengkel dan sentiasa mematuhi langkah-langkah keselamatan semasa berada di bengkel dan makmal. 

1.31 Apabila loceng waktu akhir dibunyikan, guru-guru yang berada dalam kelas, makmal dan bengkel hendaklah mengarahkan pelajar-pelajar membersihkan kelas dan beratur sebelum membenarkan mereka bergerak balik. Jangan tamatkan kelas lebih awal daripada sepatutnya atau membenarkan pelajar keluar sebelum loceng akhir dibunyikan. 

1.32 Memenuhi segala kehendak Dasar Pendidikan Negara dan menggunakan sepenuhnya kemahiran dan pengalaman yang diperolehi semasa mengikuti latihan penguruan adalah menjadi tugas dan tanggungjawab setiap guru. Ini bermakna setiap pengajaran hendaklah dirancang supaya dapat memenuhi aspirasi pelajar-pelajar dan bukan dibuat sambil lewa tanpa persediaan. 

1.33 Semua latihan dan gerak kerja bertulis yang diberi mestilah diperiksa dan diulas. Buku Latihan, Buku Nota dan Buku Amali hendaklah dihantar ke pejabat secara bergilir-gilir mengikut jadual untuk semakan Pengetua. 



PERATURAN KHUSUS DAN HURAIAN 1.0 PAKAIAN GURU-GURU DI SEKOLAH – SPI Bil. 6/1985 

Pakaian yang bersesuaian melambangkan budi bahasa yang baik. Untuk meneruskan tradisi pakaian yang sopan dan memenuhi etika pakaian, sekurang-kurangnya perkara yang berikut hendaklah diambil perhatian oleh semua guru di sekolah : 

i) Mini skirt, pakaian yang terlampau mendedahkan bahagian tertentu, seluar pendek, seluar jeans yang ketat dan pakaian yang bahagian hadapan terbuka jauh ke bawah tidaklah diterima. 
ii) Perhiasan muka atau make-up yang melampau adalah tidak sesuai. 
iii) Baju-baju Hawai dan baju T yang beragam warna tidak sesuai. 
iv) Guru perlu memakai tanda nama setiap hari. 
v) Guru lelaki dikehendaki memakai tali leher / ‘blazer’ pada waktu perhimpunan setiap minggu dan untuk upacara rasmi sekolah (digalakkan untuk setiap hari). vi) Pakaian bengkel tidak dibenarkan kecuali semasa amali.
 vii) Semua guru dikehendaki memakai baju batik buatan Malaysia pada setiap hari Khamis. 


2.0 ACARA / MAJLIS RASMI SEKOLAH / MESYUARAT / KURSUS DALAMAN 

2.1 Semua guru dikehendaki hadir dalam semua acara / majlis rasmi sekolah dan juga kursus dalaman. 

2.2 Guru yang tidak hadir perlu mengemukakan surat pemberitahuan ketidakhadiran kepada Pengetua. Satu salinan akan di simpan dalam fail peribadi guru berkenaan. 


3.0 PERINTAH AM Bab D, 1993 Seksyen 19 

3.1 Seorang pegawai tidak boleh, samada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain . 

a) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan berhubungan dengan apa-apa dasar, program atau keputusan Kerajaan di atas apa-apa isu; 
b) memberi apa-apa maklumat fakta berhubung dengan jabatannya ; atau 
c) memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa insiden atau laporan berhubung dengan jabatannya, dan dia juga boleh mengedar / menyebar apa-apa pernyataan, maklumat atau penjelasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu, sama ada secara am atau khusus daripada Menteri yang bertanggungjawab bagi Kementerian atau jabatan di mana dia sedang berkhidmat. 

3.2 Selain daripada kebenaran Ketua Jabatan, seorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain, membuat apa-apa pernyataan awam yang memudharatkan mana-mana dasar, program atau keputusan Kerajaan atau yang boleh memalukan Kerajaan, atau membuat apa-apa ulasan mengenai kebaikan atau kelemahan mana-mana dasar, program atau keputusan Kerajaan atau mengedar/menyebar apa-apa pernyataan sedemikian, sama ada yang dibuat olehnya atau oleh mana-mana orang lain. 

3.3 Peraturan 4.2 tidaklah terpakai bagi apa-apa pernyataan awam yang dibuat atau yang diedarkan/sebarkan jika kandungan pernyataan itu telah diluluskan oleh Menteri. 

3.4 Bagi maksud peraturan ini, “Pernyataan Awam” termasuklah apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada akhbar atau kepada orang ramai atau semasa memberi syarahan awam atau ucapan awam atau mana-mana penyiaran melalui bunyi atau penglihatan atau kedua-duanya. 

3.5 Melainkan kebenaran ketua Jabatan, seseorang pegawai tidak boleh membincang dengan terbuka kepada awam apa-apa langkah rasmi yang diambil oleh pegawainya dengan lisan atau bertulis. 



4.0 BUKU KEDATANGAN PELAJAR ( Attendance Registers ) 

 4.1 Buku ini adalah satu dokumen rasmi yang penting dan haruslah bebas daripada sebarang kesalahan. Sebarang kesilapan catatan dalam buku ini hendaklah dipotong dan ditandatangani oleh guru berkenaan. Guru dilarang menggunakan pemadam (liquid paper) bagi membetulkan sebarang kesilapan.. 

 4.2 Guru kelas bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesahihan maklumat di Buku Kedatangan. Butir-butir pelajar dan keterangan yang lain hendaklah dilengkapkan seperti:

 a) nama pelajar yang lengkap 
 b) no. pendaftaran pelajar 
 c) nama penjaga. pekerjaan, alamat dan no. telefon penjaga yang lengkap 
 d) analisis dan statistik pada setiap bulan 
 e) dan lain-lain yang diperlukan 

4.3 Kedatangan pelajar hendaklah diambil pada pagi setiap hari. Pelajar tidak dibenarkan mengambilnya bagi pihak guru. 

4.4 Buku ini hendaklah diserahkan kepada pejabat setiap hari sebelum pukul 10.00 pagi. Guru dilarang membawa buku balik ke rumah atau menyimpan di dalam bilik guru / bilik khas tanpa kebenaran Pengetua.

4.5 Bagi mengawal kedatangan pelajar. Guru kelas hendaklah mencatatkan kenyataan berikut di tempat yang sesuai di papan putih kelas. a) Tarikh b) Bilangan pelajar dalam kelas c) Bilangan pelajar yang hadir 

4.6 Segala maklumat dalam buku ini hendaklah lengkap dan ditutup pada setiap bulan oleh guru tingkatan dan guru juga perlu mengisi maklumat untuk bulan tersebut, bukannya pelajar. 

4.7 Menanda kedatangan dan mengisi butir-butir pelajar dalam buku ini adalah tanggungjawab guru tingkatan dan bukannya ketua kelas atau pun pelajar. Ketua kelas atau pelajar dilarang menanda kehadiran pelajar dalam buku kehadiran pelajar. 


5.0 WAKTU BERTUGAS DAN TIDAK HADIR KE SEKOLAH 

 5.1 Semua hari berikut dikira sebagai hari bertugas kepada guru-guru : 

i) Semua hari persekolahan termasuk persekolahan ganti kecuali dengan cuti yang sah. 
ii) Hari acara dan aktiviti rasmi sekolah. 
iii) Bila diarahkan hadir oleh Pengetua termasuk dalam cuti penggal persekolahan dengan syarat jumlah hari yang diminta hadir itu tidak melebihi sepertiga daripada jumlah hari cuti persekolahan. iv) Bila diminta hadir ke majlis-majlis tertentu oleh PPD / JPN / BPTV 

5.2 Jadual waktu belajar mesti dipatuhi seperti yang ditetapkan. 

5.3 Guru dikehendaki berada di sekolah 5 minit awal sebelum sesi persekolahan bermula. 

5.4 Guru hendaklah “thumb print” semasa sampai dan sewaktu pulang. 

5.5 Guru yang tidak hadir ke sekolah hendaklah memberitahu Pengetua secepat mungkin dan sebaik-baiknya sebelum waktu pertama bermula supaya urusan untuk menggantikan tugas guru itu dapat disediakan supaya kegiatan sekolah tidak terganggu. Surat doktor hendaklah diserahkan ke pejabat dengan segera. 

5.6 Semua urusan peribadi guru hendaklah dibuat di luar waktu persekolahan kecuali kes-kes kecemasan. 

 5.7 Guru-guru tidak dibenarkan menjalankan sebarang urusan perniagaan sewaktu persekolahan. 

5.8 Guru-guru tidak dibenarkan berurusan dengan individu-individu, kumpulan atau syarikat-syarikat tertentu tanpa kebenaran daripada Pengetua. 


6.0 TIDAK HADIR BERTUGAS/BERKURSUS/MENJALANKAN TUGAS RASMI DI LUAR 

6.1 Guru yang tidak dapat hadir untuk bekerja dikehendaki memberitahu Pengetua dalam kaedah berikut:- 
i) ketidakhadiran pada tarikh atau tarikh-tarikh diketahui terlebih dahulu, samada sebab-sebab persendirian atau pihak yang diluluskan, hendaklah dimaklumkan dengan segera sebelum hari yang terlibat itu. 
ii) ketidakhadiran cara tergempar, sekalipun mendapat Cuti Sakit hendaklah diberitahu seberapa segera pada hari itu juga dengan apa-apa cara yang sesuai. 

6.2 Guru yang tidak hadir bekerja bukan disebabkan Cuti Sakit atau diarahkan menghadiri sesuatu mesyuarat, kursus dan sebagainya oleh pihak yang diluluskan, diminta memohon cuti dengan Borang Cuti yang disediakan. 

6.3 Permohonan cuti hendaklah disempurnakan sebelum cuti diambil. Pengecualian boleh dibenarkan atas sebab-sebab tergempar sahaja di mana Borang Cuti boleh diuruskan kemudian pada hari pertama bertugas semula. 

6.4 Guru yang tidak hadir bekerja kerana sakit dan mendapat Sijil Sakit hendaklah dihabiskan cutinya di hospital atau di rumah, melainkan jika ditetapkan oleh Pegawai Perubatan sebaliknya (Perintah Am Bab C). 

6.5 Guru-guru yang akan menghadiri mesyuarat, kursus, taklimat, mengawas peperiksaan dan tugas rasmi di luar sekolah pada waktu persekolahan dikehendaki mengisi borang tugasan luar sekolah dan menyerahkannya kepada GPK 1. 

6.6 Guru yang mengetahui ketidakhadiran ke sekolah lebih awal dikehendaki meninggalkan kerja bertulis untuk pelajar melalui Guru Penolong Kanan. 

6.7 Guru yang diberi cuti sakit kerana mendapat rawatan doktor perlu berehat. Oleh itu, guru tidak patut berada di tempat-tempat lain kecuali di rumah. 

6.8 Guru-guru yang memohon Cuti Rehat Khas perlu mengemukakan borang permohonan sekurang-kurangnya lima hari sebelum bercuti untuk mendapatkan kelulusan. Cuti Rehat Khas bukanlah mutlak tetapi keistimewaan. 


7.0 KELUAR WAKTU BERTUGAS 

7.1 Guru tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah dalam waktu persekolahan kecuali jika ada sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan atau arahan daripada Kementerian Pendidikan, JPN / PPD dan meminta kebenaran terlebih dahulu daripada Pengetua. 

7.2 Seseorang guru yang hendak meninggalkan kawasan sekolah dalam waktu persekolahan samada untuk sesuatu tempoh tertentu atau tidak akan kembali lagi ke sekolah pada hari berkenaan hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran Pengetua sebelum berbuat demikian. Kebenaran untuk maksud atau tujuan seperti itu hanya akan diberi atas sebab-sebab yang amat mustahak dan tidak dapat dielakkan sahaja. 

7.3 Seseorang guru yang hendak keluar dari kawasan sekolah semasa waktu persekolahan samada atas urusan persendirian mahupun rasmi, setelah menerima kebenaran dan diluluskan oleh Pengetua dikehendaki menyempurnakan butir-butir di dalam BUKU KELUAR DALAM WAKTU BEKERJA dan menyerahkan slip tersebut kepada pengawal keselamatan bertugas sebelum meninggalkan sekolah. 

7.4 Sebelum meninggalkan sekolah, guru dikehendaki meninggalkan kerja bertulis untuk pelajar melalui Guru Penolong Kanan. 

7.5 Semua urusan peribadi guru hendaklah dibuat di luar waktu persekolahan kecuali dalam keadaan kecemasan. 


8.0 UJIAN BULANAN DAN PEPERIKSAAN 

8.1 Sila lihat jadual ujian / peperiksaan sebagai panduan. Ujian setara perlu diberi pada tarikh yang ditetapkan dalam Takwim Sekolah. 

8.2 Tujuan ujian diadakan adalah untuk mengetahui pencapaian pelajar dalam mata pelajarannya dan keputusan ujian ini haruslah menjadi panduan kepada guru untuk mengatur pelajaran selanjutnya kepada kelas / pelajar masing-masing. Analisa apa yang telah diajar untuk menilai keberkesanan pengajaran guru. 

8.3 Guru hendaklah membantu dan mengatasi kelemahan pelajar dalam mata pelajarannya dan sebarang usaha hendaklah diikhtiarkan bagi mengatasi kelemahan itu. Kelas tambahan khas perlu diadakan. 

8.4 Guru mata pelajaran dikehendaki menyediakan soalan ujian yang bermutu berdasarkan JPU dan memeriksa kertas jawapan pelajar bagi kelas yang diajar. Panitia-panitia mata pelajaran akan menentukan penyediaan soalan. Ketua Bidang / Ketua Panitia akan menyemak dan mengesahkan soalan yang disediakan sebelum soalan-soalan diperbanyakkan. 

8.5 Guru mata pelajaran hendaklah berhati-hati apabila menyediakan soalan-soalan ujian supaya soalan itu benar-benar menguji kebolehan pelajar. 

8.6 Setiap kertas soalan ujian / peperiksaan hendaklah disemak dan ditandatangan oleh Ketua Bidang / Ketua Panitia. 

8.7 Keputusan ujian hendaklah dicatat dalam ruang tertentu di dalam buku rekod mengajar. 

8.8 Setiap keputusan ujian hendaklah diserahkan satu salinan kepda Pengetua, Penolong Kanan Akademik dan Unit Peperiksaan. 

8.9 Guru mata pelajaran hendaklah membuat post-mortem setiap ujian/peperiksaan untuk mengetahui kelemahan yang dihadapi oleh pelajar dan guru. 

8.10 Guru perlulah mahir dengan peraturan Peperiksaan SPM terutama perkara-perkara bersabit dengan syarat pemberian sijil supaya pengetahuan ini dapat disampaikan kepada pelajar. Jika ada keraguan, guru hendaklah bertanya kepada Guru Penyelia Peperiksaan / Setiausaha Peperiksaan. 

8.11 Pelajar yang tidak hadir untuk ujian / peperiksaan tanpa sebab yang dibenarkan oleh pentadbir sekolah, ditanda TH dan diberi markah 0. 


9.0 SUKATAN PELAJARAN DAN RANCANGAN PELAJARAN 

9.1 Setiap guru di sekolah mestilah mempunyai sukatan pelajaran yang sah yang dikeluarkan oleh Pendaftar (atau sebarang pegawai yang diwakili oleh Pengarah Pendidikan Negeri) bagi mata pelajaran yang mana yang beliau bertanggungjawab. 

9.2 Sukatan pelajaran yang sah hendaklah diikuti dengan serapi-rapinya oleh semua guru. 

9.3 Guru hendaklah mahir dengan syarat terkini mengenai peraturan peperiksaan, sukatan pelajaran dan sebagainya bagi mencapai matlamat pengajaran yang maksimum. Guru-guru yang mempunyai sebarang keraguan hendaklah mendapat nasihat daripada Guru Kanan Mata Pelajaran masing-masing.  

9.4 Rancangan kerja hendaklah dibahagikan dalam 2 penggal dan disediakan secara mingguan untuk sepanjang tempoh sesi persekolahan. 

9.5 Sukatan pelajaran perlu disertakan dalam Buku Rekod Mengajar. 

9.6 Rancangan kerja bagi setiap mata pelajaran yang diajar hendaklah ditunjukkan di ruang tertentu dalam Buku Rekod Mengajar. 

9.7 Guru Kanan Mata Pelajaran dengan kerjasama guru-guru lain yang mengajar mata pelajaran berkenaan akan menyusun rancangan pelajaran ini bagi semua tingkatan/kursus. 


10.0 BUKU REKOD DAN CATATAN PERSEDIAAN MENGAJAR 

10.1 Setiap guru di sekolah diwajibkan mempunyai Buku Rancangan Kerja Harian (Buku Rekod Mengajar) yang selaras dengan kehendak Kementerian Pelajaran dan buku ini dijaga dengan baik serta diserahkan kepada Pengetua setiap minggu untuk pemeriksaan dan ditandatangani oleh Pengetua atau wakilnya pada hari Jumaat. 

10.2 Setiap guru bertanggungjawab terhadap keselamatan buku rekod mengajar. Semua butiran hendaklah disempurnakan dengan teliti, kemas dan lengkap. 

 10.3 Buku Rekod Mengajar adalah hak milik sekolah dan hendaklah diserahkan ke pejabat pada akhir tahun persekolahan atau apabila guru berkenaan berhenti bertugas di sekolah ini. 

10.4 Guru hendaklah membaca Pekeliling KP. 256 di muka hadapan Buku Rekod Mengajar yang diberi keterangan dan panduan mengenai tujuan buku tersebut. 

10.5 Guru diingatkan supaya membuat persediaan mengajar dengan lancar supaya pelajaran dapat disampaikan kepada pelajar dengan berkesan. 

10.6 Buku Rekod Mengajar hendaklah diserahkan ke bilik Pengetua pada setiap hari Jumaat sebelum pukul 12.20 tengah hari. Rancangan kerja hari Isnin minggu berikutnya hendaklah ditulis pada hari Jumaat minggu sebelumnya. 

10.7 Perkara-perkara dalam rancangan kerja mingguan yang tidak dapat disempurnakan dalam minggu tersebut hendaklah dicatat dalam ruang harian. 

10.8 Buku Rekod Mengajar hendaklah selalu dijaga dengan baik dan bersih. Semua kertas kenyataan lain hendaklah dikepilkan dengan kemas atau disimpan berasingan. 

10.9 Rancangan dan huraian kerja hendaklah ditulis selengkapnya supaya jelas pelajaran yang hendak disampaikan kepada pelajar. Elakkan daripada menulis rancangan kerja yang terlalu ringkas dan sukar difahami. 

 10.10 Guru yang bercuti, buku rekodnya hendaklah diserahkan kepada Guru Penolong Kanan untuk urusan guru pengganti. 

 10.11 Setiap akhir tahun persekolahan Buku Rekod Mengajar hendaklah diserahkan ke pejabat sekolah. 


11.0 GERAK KERJA LUAR / KOKURIKULUM 

11.1 Kokurikulum sekolah adalah sebahagian daripada kurikulum sekolah. Ianya wajib bagi semua guru dan pelajar. Guru dikehendaki mencatat kehadiran di dalam Buku Kehadiran Kokurikulum apabila menghadiri GKK. 

 11.2 Sila rujuk tugas-tugas guru dalam Buku Panduan dan Tugas Guru 2007 dalam Gerak Kerja Kokurikulum. 

11.3 Guru hendaklah bersama-sama mengatur silibus/ rancangan bagi persatuan / kelab permainan masing-masing dan rancangan ini hendaklah melibatkan semua pelajar. 

11.4 Kokurikulum Gerak Kerja Luar ini memberi bimbingan dan latihan kepada pelajar-pelajar dalam bidang kepimpinan, tatatertib memegang tanggungjawab, taat setia kepada sekolah dan negara serta galakan dalam bidang pengajian tertentu seperti mengadakan ceramah, bahas, lawatan, membuat projek tertentu dan sebagainya. Perkara ini memerlukan kebijaksanaan dan inisiatif guru-guru berkaitan ( berhasrat untuk mewujudkan ‘ School With Character’ ). 

11.5 Semua aktiviti yang dijalankan pada setiap perjumpaan hendaklah direkodkan dan dihantar kepada Guru Penolong Kanan Kokurikulum untuk semakan. 

11.6 Guru yang terlibat hendaklah hadir semasa GKK. Perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kepada pelajar semasa GKK apabila ketidakhadiran guru merupakan kes yang berat. 


12.0 TATATERTIB 

12.1 Menjaga dan mengekalkan tatatertib yang tinggi di kalangan pelajar semasa di dalam atau di luar kelas adalah tanggungjawab semua guru. 

12.2 Guru janganlah takut memberi teguran, nasihat atau mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelajar yang melanggar peraturan sekolah. 

12.3 Guru hendaklah melaporkan kepada Penolong Kanan HEM, pelajar-pelajar yang kerap kali tidak mengikut arahan, tidak membuat kerja yang diberikan dan cuai dalam pelajarannya. 


13.0 LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN 

13.1 Guru Kanan Mata Pelajaran bagi mata pelajaran Sains dan PJK serta Ketua Bengkel dengan kerjasama guru-guru lain yang mengajar mata pelajaran berkenaan hendaklah mempamerkan di bilik / tempat yang sesuai tentang langkah-langkah keselamatan yang mesti dipatuhi oleh semua pelajar. 

13.2 Guru hendaklah mengawasi pelajar semasa : 

13.2.1 Mengambil peralatan sukan dan permainan 
13.2.2 Melatih sukan dan permainan di padang 
13.2.3 Menjalankan kerja-kerja amali / pratikal 
13.2.4 Kerja-kerja lain yang mana pengawasan rapi diperlukan 
13.2.5 Peraturan dan langkah-langkah keselamatan hendaklan dipamerkan di pintu masuk bengkel, makmal dan seumpamanya. 
13.2.6 Faktor keselamatan mesti diutamakan oleh setiap guru sepanjang berada di sekolah. 


14.0 KEHADIRAN KE KELAS 

14.1 Guru dikehendaki mematuhi Jadual Waktu Pengajaran yang ditetapkan dan hadir ke kelas serta mengajar tanpa berlengah-lengah. Kelewatan hadir ke kelas lebih dari 5 minit boleh dibenarkan untuk maksud perjalanan sekiranya sebelum ini seseorang guru terlibat dengan pengajaran di kelas lain. 

14.2 Guru tidak dibenarkan meninggalkan kelas lebih awal sebelum loceng berbunyi. 

14.3 Guru tidak dibenarkan meninggalkan kelas untuk sesuatu tempoh tertentu dalam masa pengajarannya walaupun pelajar-pelajarnya telah diarahkan membuat kerja bagi mata pelajarannya. 

14.4 Guru dikehendaki menggunakan waktu sepenuhnya sewaktu di dalam bilik darjah untuk menyampaikan pengajaran dan mengendalikan gerak kerja pengajaran dan pembelajaran. Setiap guru hendaklah melibatkan diri bersama-sama pelajar sehingga ke akhir waktu pelajarannya. 


15.0 JADUAL WAKTU DAN PENGAJARAN DI KELAS 

15.1 Guru tingkatan hendaklah menyediakan satu salinan Jadual Waktu untuk dipamerkan dalam kelas. 

15.2 Semua guru dikehendaki menyerahkan satu salinan Jadual Waktu kepada Penolong Kanan Akademik untuk fail sekolah dan rujukan. 

15.3 Guru tidak dibenarkan mengubah Jadual Waktu yang telah ditetapkan tanpa kebenaran. 

15.4 Memulakan pengajaran mengikut masa seperti di dalam Jadual Waktu. 

15.5 Pengajaran hendaklah berdasarkan persediaan yang ditulis. 

15.6 Bahan-bahan atau alatan bantuan mengajar (ABM) hendaklah sentiasa digunakan semasa pengajaran. 

15.7 Semasa berada di kelas fokus adalah kepada aktiviti P & P. 

15.8 Pengajaran di dalam kelas hendaklah berfokus dan mengaplikasikan kemahiran KBKK dengan berkesan. 

15.9 Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan sempurna adalah mengikut peruntukan masa yang ditetapkan. 


16.0 BUKU REKOD MENGAJAR 

16.1 Ia adalah DOKUMEN RASMI dan hendaklah sentiasa lengkap, kemaskini dan dijaga dengan baik. 

16.2 Catatan di dalamnya hendaklah dibuat lebih awal dari waktu pengajaran. 

16.3 Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, guru-guru yang tidak menulis Buku Rekod Mengajar boleh didenda hingga RM5000.00. 

16.4 Setiap guru hendaklah menyempurnakan Buku Persediaan Mengajar dan buku tersebut hendaklah ada bersama guru semasa mengajar. 

16.5 Buku Persediaan Mengajar hendaklah diserahkan kepada Pengetua pada setiap hari Jumaat atau hari sebelum sekiranya hari Jumaat diisytiharkan sebagai hari kelepasan am pada waktu akhir persekolahan sebelum balik. Rancangan Pelajaran harian serta butir-butir pengajaran untuk hari pertama minggu berikutnya hendaklah disempurnakan sebelum penyerahan itu. 

16.6 Buku Persediaan Mengajar yang telah lengkap dengan Rancangan Pengajaran Tahunan hendaklah dihantar buat pertama kalinya pada MINGGU PERTAMA BULAN JANUARI atau mengikut arahan dari pihak pentadbir. 

16.7 Jika seseorang guru bercuti/kursus, buku tersebut hendaklah diserahkan kepada Penolong Kanan Akademik. 

16.8 Buku Rekod Mengajar hendaklah diserahkan ke pejabat pada hari terakhir tahun persekolahan. 

16.9 Semua maklumat hendaklah lengkap berdasarkan Pekeliling Ikhtisas Bil 3/99. 

16.10 Maklumat markah pelajar hendaklah diisi dengan lengkap. 


17.0 TUGAS GURU DALAM KELAS 

17.1 Elakkan diri daripada duduk ketika mengajar. Waktu pelajar menjalankan urusan kerja bertulis guru seharusnya berjalan di sekeliling kelas atau mengawasi dan memberi bantuan secara individu kepada pelajar-pelajar yang lemah yang memerlukan bantuan rapi. Guru Sains atau Guru Bengkel yang mengajar di makmal atau bengkel janganlah meninggalkan makmal atau bengkel ketika pelajaran atau kelas sedang dijalankan. 

17.2 Guru Masa Ganti ( Relief Period ) hendaklah memulakan pengajaran sebaik-baik sahaja berada di dalam kelas. Apabila seseorang guru dijadualkan mengambil alih guru yang tidak hadir ke sekolah atau sesuatu sebab lain, guru itu hendaklah melaporkan diri di kelas yang dijadualkan dan menyampaikan pengajaran dan bukan waktu bebas. 

17.3 Memeriksa Buku Latihan, Buku Nota, Kertas Jawapan Peperiksaan / Ujian jangandilakukan di dalam kelas kecuali bertujuan untuk memberi pertolongan kepada pelajar-pelajar. Pemeriksaan buku-buku itu hendaklah dilakukan di dalam bilik guru / ketika waktu tiada kelas. Kertas jawapan peperiksaan SPM tidak dibenarkan diperiksa dalam waktu masa sekolah. 

17.4 Kerja Bertulis – Guru hendaklah selalu memberi kerja-kerja bertulis kepada pelajar-pelajar, sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kerja bertulis yang secukupnya patut diberi dalam mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Teknologi, Sejarah, Agama Islam dan Sains. Soalan-soalan yang memerlukan jawapan yang lebih panjang patut diberi bagi mata pelajaran ini. 

17.5 Pemeriksaan - Merupakan tanggungjawab guru untuk memeriksa semua kerja bertulis dan tugasan yang diberi kepada pelajar-pelajar. Guru juga hendaklah menandatangani semua ringkasan atau nota yang diberi kepada pelajar-pelajar. 

17.6 Mengulangkaji – Aktiviti ulangkaji pelajaran sebelum bermulanya sesuatu peperiksaan hendaklah dirancang dengan rapi dan dicatat dalam Buku Rekod Mengajar. Guru tidak digalakkan untuk membenarkan pelajar mengadakan ‘self study’ dalam kelas. Mengulangkaji adalah satu aspek penting untuk menyediakan diri pelajar bagi menghadapi peperiksaan. Dengan itu ia perlu untuk menyediakan diri pelajar bagi menghadapi peperiksaan dan perlu dirancang serta disampaikan dengan bersistematik. Komik dan majalah hiburan yang lain serta sebarang permainan seperti catur dan sebagainya dilarang. 

17.7 Membaca Buku Teks – Membaca buku-buku teks bukanlah satu proses pengajaran yang baik. Guru jangan membiasakan pelajar membaca daripada buku teks ketika mengajar kecuali mata pelajaran bacaan. Pemberian nota hendaklah dikekalkan pada peringkat minima sahaja. Gunakanlah kaedah lain seperti peta minda @ nota ringkas yang lebih berkesan. 

17.8 Langkah Keselamatan – Kemasukan orang luar ke kawasan sekolah patutlah diawasi dengan rapi oleh semua guru. Pelawat-pelawat dilarang masuk ke kelas kecuali pelawat yang hadir bersama Pengetua atau Penolong Kanan. Minta pelawat pergi ke pejabat dan berurusan di pejabat sekolah. 

17.9 Kelas Bersurai – Guru yang mengajar pada waktu akhir bertanggungjawab untuk menyuraikan pelajar-pelajar dengan teratur dan tertib tepat pada waktunya. Jangan lepaskan pelajar sebelum loceng berbunyi. 

17.10 Denda – Guru-guru dilarang mengenakan sebarang denda berat ( Corporal Punishment ) ke atas pelajar-pelajar. Seseorang pelajar yang memerlukan tindakan tatatertib hendaklah dibawa ke pengetahuan Pengetua / Guru Disiplin. 


18.0 GURU BERTUGAS HARIAN / MINGGUAN (Sila rujuk jadual tugas guru harian /mingguan) 

18.1 Setiap hari sekolah ada sekumpulan guru yang bertugas. Senarai guru bertugas terdapat dalam buku panduan dan tugas guru. Ketua kumpulan dikehendaki mencatat nama guru bertugas di papan putih di hadapan pejabat Penolong Kanan HEM. 

18.2 Ketua guru bertugas hendaklah mengadakan perbincangan bagi menentukan tugas ahli kumpulannya. 

18.3 Memastikan pelajar berada pada tapak perhimpunan tepat pada masanya. 

18.4 Membantu guru disiplin untuk memastikan wujudnya disiplin yang baik di kalangan pelajar. 

18.4.1 Memastikan peraturan sekolah dipatuhi 
18.4.2 Pelajar-pelajar mematuhi peraturan di kantin 
18.4.3 Pelajar-pelajar tiba di sekolah pada waktunya 
18.4.4 Tiada pelajar yang merayau tanpa tujuan 

18.5 Mengurus masalah pelajar yang sakit dan merekodkannya ke dalam buku Laporan Bertugas. 

18.6 Melakukan “Spot Check” sekurang-kurangnya dua kelas setiap minggu. 

18.7 Berada di tempat perhimpunan pelajar bagi mengawasi dan memantau pelajar agar tidak membuat bisang semasa perhimpuan berjalan. 


19.0 PERHIMPUNAN RASMI DAN HARIAN 

19.1 Perhimpunan Rasmi Mingguan 

19.1.1 Perhimpunan Rasmi Mingguan akan diadakan pada setiap hari Isnin bermula jam 7.20 pagi. 

19.1.2 Semua guru diwajibkan hadir dan berada di atas pentas kecuali beberapa orang guru disiplin dan guru bertugas mingguan untuk mengawal pelajar. Kehadiran guru akan diambil. 

19.1.3 Semua guru lelaki hendaklah memakai tali leher dan baju kemeja berlenggan panjang ( pemakaian kot/blazer adalah digalakkan ) 

19.1.4 Sila padamkan telefon bimbit. 

19.1.5 Sila beri tumpuan sepenuhnya semasa perhimpunan dan jangan berbual-bual. 


20.0 MELAKUKAN KERJA LUAR 

20.1 Penjawat Awam dibolehkan melakukan kerja luar dengan mematuhi Perintah Am Bab D seperti berikut: 

20.1.1 Memohon kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatan 

20.1.2 Dibenarkan dengan syarat : 

20.1.2.1 Tidak dilakukan semasa waktu bekerja/pejabat 
20.1.2.2 Tidak menjejaskan tugas sebagai penjawat awam 
20.1.2.3 Tidak dengan apa-apa cara berkecenderungan bercanggah dengan kepentingan jabatan 

20.2 Berhubung dengan menjalankan tuisyen di rumah, guru-guru diingatkan bahawa tindakan tersebut adalah melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) subseksyen 79 (1) dan subseksyen 132 (g) di mana boleh didenda tidak melebehi RM 50,000 (Ringgit Malaysia : Lima Puluh Ribu) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. 


21.0 KEAHLIAN KELAB GURU DAN STAF 21.1 Semua guru dan staf secara automatik menjadi ahli Kelab Guru dan Staf. 

21.2 Semua guru dan staf dikehendaki bersama-sama menyokong dan memberi kerjasama yang padu kepada semua aktiviti kelab. 


22.0 KES PONTENG SEKOLAH 

22.1 Guru Tingkatan dan Guru Mata Pelajaran hendaklah menentukan semua pelajar (kecuali yang sakit dan yang mendapat kebenaran khas) berada dalam kelas pada waktu belajar. Pelajar-pelajar yang ponteng sekolah hendaklah dilaporkan kepada Penolong Kanan HEM / Guru Disiplin. 

22.2 Semua guru hendaklah memberikan kerjasama kepada guru tingkatan dalam menangani perkara di atas. 

22.3 Pelajar-pelajar yang tidak hadir ke sekolah tanpa surat doktor / surat daripada penjaga hendaklah dimaklumkan kepada penjaga. 

22.4 Jika pelajar-pelajar tidak hadir ke sekolah satu atau dua hari, guru tingkatan hendaklah mengambil tahu sebab tidak hadir ke sekolah. Jika sebab yang diberi oleh pelajar itu menimbulkan keraguan, laporkan perkara ini guru disiplin untuk direkodkan. 

22.5 Apabila pelajar-pelajar mengikuti mata pelajaran Amali, Sains, Lukisan, PJ dan Perpustakaan, guru berkenaan hendaklah memastikan pelajar-pelajar berjalan dengan tertib semasa menuju ke tempat itu. 

22.6 Setiap guru mata pelajaran yang masuk ke kelas hendaklah menentukan yang tiada seorang pelajar pun yang meninggalkan kelas. Pelajar yang meninggalkan kelas / masuk lewat hendaklah dilaporkan kepada Guru Disiplin. 

22.7 Guru mata pelajaran yang masuk ke kelas boleh menghantar pelajar yang sakit ke hospital / balik ke rumah jika perlu. Bagi pelajar perempuan, seorang teman harus ikut bersama. Pengetua / PK HEM harus diberitahu tentang pelajar yang dihantar balik. 


23.0 ARAHAN DAN PEKELILING 

23.1 Setiap arahan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Pengetua hendaklah dibaca dengan teliti dan dipatuhi serta ditandatangani selepas membacanya. 

23.2 Sekiranya arahan dan pekeliling itu diberi terus, guru hendaklah menyimpannya di dalam fail khas. 


24.0 KUNCI 

24.1 Semua kunci mesti disimpan di pejabat. Guru yang mengambil kunci hendaklah merekodkannya ke dalam Buku Rekod Pergerakan Kunci di pejabat. 

24.2 Guru-guru yang hendak menyimpan kunci bilik-bilik khas mesti mendapat kebenaran daripada Pengetua dan mendaftarkan nama di dalam buku khas di pejabat sekolah. 


25.0 TELEFON 

25.1 Penggunaan telefon sekolah hanyalah untuk urusan rasmi sahaja. Guru atau staf sekolah tidak dibenarkan menggunakan telefon sekolah untuk urusan peribadi. 

25.2 Guru dilarang menggunakan telefon bimbit semasa P&P di dalam bililik darjah dan semasa Mesyuarat. 


26.0 BUKU STOK / INVENTORI 

26.1 Ketua Panitia, Ketua Bengkel dan Ketua Unit bertanggungjawab menguruskan buku stok/inventori dan memastikan maklumat dalam buku stok atau inventori adalah tepat, lengkap dan sentiasa dikemaskini, (setiap pembelian dan keluar masuk barang hendaklah direkodkan dengan serta merta). 

26.2 Guru Kanan Mata Pelajaran, Ketua Pembantu Tadbir dan Juruteknik akan menyemak buku stok/inventori ini dari masa ke semasa dan dihantar ke pejabat pada hujung tahun untuk disahkan oleh Pengetua. 


27.0 URUSAN DENGAN BPTV / JPN / PPD 

27.1 Guru dan staf sokongan tidak digalakkan pergi ke Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk urusan peribadi kecuali jika diarahkan berbuat demikian. 


28.0 TUGAS GURU 

28.1 Tugas guru diberikan dalam bidang kurikulum, kokurikulum, HEM dan juga pentadbiran. Tugas tersebut hendaklah dilaksanakan dengan dedikasi dan bertanggunjawab. 

28.2 Sekiranya guru dikehendaki menghadiri mesyuarat, di BPTV, JPN, PPD atau sekolah lain hendaklah dipatuhi. Guru yang ditugaskan tidak boleh mengarahkan guru lain melaksanakannya tanpa pengetahuan Pengetua. 

28.3 Guru yang mewakili sekolah dalam mana-mana mesyuarat atau taklimat di luar, minit curai hendaklah dikemukakan kepada Pengetua dengan menggunakan borang khas yang boleh diperolehi di pejabat sekolah. 

28.4 Guru yang mewakili sekolah ke sesuatu kursus, seminar atau seupamanya, apabila balik ke sekolah, hendaklah menjalankan ”In House Training ” kepada guru dan memaklumkan kepada Pengetua / GPK tarikh dan masa pelaksanaannya. 

28.5 Guru yang melaksanakan tugas rasmi di luar, hendaklah menyediakan bahan tugasan bertulis untuk pelajar dan memaklumkannya kepada Guru Kanan Mata Pelajaran masing-masing. 


29.0 JADUAL WAKTU MENGAJAR 

29.1 Guru hendaklah mematuhi jadual waktu yang disediakan. 

29.2 Guru tidak dibenarkan mengubahkan jadual waktu yang telah ditetapkan tanpa kebenaran. 

29.3 Guru Tingkatan hendaklah menyediakan satu salinan jadual waktu untuk dipamerkan di dalam kelas masing-masing. 


30.0 KEBERSIHAN 

30.1 Semua guru bertanggungjawab menjaga kebersihan sekolah. Jadual giliran bertugas pelajar hendaklah disediakan oleh guru tingkatan untuk kelas masing-masing. Alat-alat membersihkan kelas hendaklah digunakan dengan cermat dan disimpan dengan baik. 

30.2 Guru Kanan Mata Pelajaran / Ketua Panitia dan mana-mana guru yang mempunyai bilik khas / tempat khas (bengkel, bilik kaunseling, makmal sains dan lain-lain) bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan keceriaan bilik masing-masing. 

30.3 Semua guru, staf sokongan dan pelajar bersama-sama bertanggungjawab terhadap kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah. 


31.0 BILIK GURU 

31.1 Guru hendaklah berada di bilik guru / bilik guru bengkel semasa tidak mengajar di kelas. Masa tersebut hendaklah dianggap ’non-teaching period’ dan bukannya ’ free period ’. Masa tersebut sepatutnya digunakan untuk perkara-perkara berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran atau berkaitan dengan tugasan sekolah sahaja. Sebarang aktiviti berunsur perniagaan peribadi tidak dibenarkan dijalankan di bilik guru. 

31.2 Guru yang berada di bilik guru hendaklah sama-sama bertanggungjawab memastikan suasana yang harmoni dan tidak mengganggu ketenteraman guru lain. 

31.3 Guru tidak digalakkan membenarkan pelajar berada di bilik guru. 

31.4 Kebersihan dan keselamatan bilik guru adalah menjadi tanggungjawab semua guru termasuk keselamatan harta benda yang terdapat di dalam bilik guru. 

31.5 Guru yang terakhir meninggalkan bilik guru hendaklah memastikan semua komputer, lampu dan ‘air-cond’ telah ditutup. 32.0 CUTI Mengikut Surat Pekeliling Kementerian KP (PP) 0046.SJ/a (30) bertarikh 24 Disember 1993, guru berkelayakan mendapatkan cuti penggal sekolah untuk menggantikan cuti rehat. Tetapi guru boleh dipanggil bertugas oleh Pengetua tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah cuti sesuatu tahun untuk menjalankan tugas-tugas selain daripada tugas mengajar biasa. 


32.1 CUTI REHAT KHAS (CRK) 

32.1.1 Cuti Sambilan tidak lebih daripada tujuh (7) hari yang diberi kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di perenggan 8, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 1977 diganti dengan Cuti Rehat Khas sebanyak tujuh (7) hari dalam satu tahun kalender; dan 

32.1.2 Cuti Rehat Khas yang tidak dapat dihabiskan tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya tetapi dibenarkan untuk dikumpul bagi tujuan Pemberian Wang Tunai Gantian Rehat bagi pegawai yang layak. 

32.1.3 Cuti ini layak kepada semua guru termasuk Guru Sandaran Terlatih dan Guru Kontrak. 

32.1.4 Kelulusan diberikan oleh Pengetua dengan syarat tidak menjejaskan keberkesanan pengurusan pengajaran dan pembelajaran. 

32.1.5 Bilangan hari CRK yang layak diambil adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan yang melayakkan dalam tahun berkenaan (Rujuk Perintah Am 1 (Bab C ) 


32.2 CUTI SAKIT 

32.2.1 Sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta melebihi dua hari berturut-turut hendaklah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan. 

32.2.2 Cuti sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta tidak boleh melebihi 14 hari dalam setahun. 

32.2.3 Cuti sakit yang melebihi 90 hari setahun sama ada berterusan atau putus-putus akan dilaporkan ke JPN dan Kementerian Pelajaran 


32.3 CUTI KELUAR NEGARA 

32.3.1 Semua guru yang bercuti keluar negara mestilah mendapat kelulusan. Sila isikan borang permohonan yang ada di pejabat sekolah selewat-lewatnya 4 minggu sebelum tarikh bercuti 


32.4 CUTI KHAS ISTERI BERSALIN 

32.4.1 Diberikan selama tujuh (7) hari sebagai cuti tanpa rekod kepada anggota perkhidmatan awam lelaki. Pengiraannya termasuk semua hari rehat dan kelepasan am. Kemudahan ini dihadkan kepada lima (5) kali dan tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan 


32.5 CUTI TANPA REKOD 

32.5.1 Cuti tanpa rekod yang dibenarkan adalah cuti ganti kerana bekerja lebih masa, cuti latihan pasukan sukarela, menghadiri latihan atau khemah tahunan pertubuhan/persatuan, latihan syarikat kerjasama, menduduki peperiksaan , mesyuarat persatuan ikhtisas, mengambil bahagian dalam sukan atau tugas khas perubatan. 


32.6 CUTI URUSAN KEMATIAN KELUARGA TERDEKAT 

32.6.1 Diberikan kepada pegawai yang kematian ahli keluarga terdekat selama tiga hari sebagai cuti tanpa rekod. Ahli keluarga yang diambil kira ialah: suami atau isteri, anak-anak, ibu dan bapa kandung. Pengiraan cuti termasuk hari rehat dan kelepasan am. Kelulusannya tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan. 

KREDIT pada fadzilmahasiswa.blogspot.com