BATU GAJAH - Usaha Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan, di Lahat menarik golongan pelajar untuk mencintai alam dengan pembuatan bebola lumpur ‘Effective Microorganism’ (EM) seharusnya disambut dengan sokongan lebih padu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman berkata, usaha itu adalah bagi memastikan kita tidak lagi terkejut dengan fenomena alam yang mampu memusnahkan harta benda dan nyawa manusia.
Menurutnya, usaha warga SMK Pengkalan dalam mengadakan kempen kesedaran alam sekitar wajar dipuji apatah lagi ia adalah sekolah pertama dalam negara yang menjayakan program seumpama itu.
“Tahniah kepada SMK Pengkalan kerana menjadi pelopor kepada sekolah lain dalam usaha mewujudkan kesedaran pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong apa jua aktiviti yang mampu memberi kesedaran dalam menjaga alam sekitar malah kita berharap mesej pemuliharaan ini dapat diterapkan dalam kalangan peserta khususnya pelajar,” katanya pada majlis Pembuatan Bebola Lumpur EM SMK Pengkalan.
Hamidah berkata, pihaknya mahukan usaha ke arah itu diteruskan.
“Diharap usaha ini menjadi contoh kepada agensi dan jabatan dalam kerajaan untuk menjalankan aktiviti kesedaran pemeliharaan alam sekitar.
“Melalui inisiatif pelajar itu, kita menggalakkan agar mana-mana pihak dalam komuniti akan turut serta bersama kerajaan negeri menjaga alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Pengkalan, Norhayati Saad berkata, program itu dimulakan pada 23 Julai lalu dan berakhir 1 Ogos depan.
“Pada hari ini kita sasarkan 2,500 biji bebola lumpur dapat dibuat dan sehingga 1 Ogos nanti kita sasarkan kepada 5,500 biji.
“Kesemua bebola lumpur akan dilepaskan di Kinta Riverfront Park bagi tujuan pembersihan malah kami berharap keseluruhan ekosistem sungai ini akan menjadi lebih baik dan bermanfaat untuk semua hidupan yang ada di sekitarnya,” katanya.
Sumber : Sinar
No comments:
Post a Comment