Sunday, November 1, 2015

JDT cipta sejarah pasukan Malaysia pertama juarai Piala AFC (1-0)





Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar sejarah baharu bola sepak tanah air selepas muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Jaringan tunggal perancang tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22 sudah cukup bagi skuad Harimau Selatan menundukkan juara bertahanLiga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan, malam ini.

Pencapaian itu sekali gus, mengubat kekecewaan mereka yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam penampilan sulung pada 2009, yang ketika itu dikenali sebagai Johor FC.

Selaku juara, JDT membawa pulang trofi piala AFC yang disampaikan sendiri Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, selain wang tunai berjumlah AS$350,000 (RM1.502 juta), manakala Istiklol FC meraih AS$250,000 (RM1.072 juta) selaku naib juara.

Lebih manis, kapten JDT Safiq Rahim dinobatkan sebagai pemain paling bernilai, manakala kapten Istiklol FC, Vasiev Dilshod dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Kejayaan berkenaan merupakan trofi ketiga yang diraih JDT musim ini, selepas muncul juara Piala Sumbangsih (Piala Sultan Ahmad Shah) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 31 Januari lepas, selain menjuarai Liga Super 2015.

Beraksi di atas padang tiruan malam ini, nyata memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah yang menguasai babak awal perlawanan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol JDT, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan mereka gagal meraih sebarang gol.

Nasib sebaliknya menyebelahi skuad Harimau Selatan yang berjaya mengejutkan pasukan tuan rumah apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-22 menerusi Velazquez, sekali gus menggembirakan hampir 500 penyokong skuad Harimau Selatan yang turut hadir memberikan sokongan.

Gol berkenaan berpunca daripada sepakan penjuru Safiq yang ditampan keluar penjaga gol tuan rumah, Nikola Stosic sebelum Velazquez meluru sebelum melepaskan rembatan kaki kiri daripada luar kotak penalti.

Tersentak dengan gol itu, Istiklol FC kembali memperkemaskan permainan untuk memburu gol penyamaan namun kekebalan benteng pertahanan JDT diketuai Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Marcos Antonio menyaksikan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan tuan rumah meneruskan serangan ke arah kubu JDT, dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 menerusi Dzhalilov Manuchehr Jalilov, namun jaringannya dibatalkan pengadil, Minoru Tojo dari Jepun selepas Dilshod berada pada kedudukan ofsaid.

Jalilov sekali lagi, berjaya menjaringkan gol penyamaan pada penghujung perlawanan, namun Minoru tidak membenarkan gol berkenaan kerana pemain itu berada pada kedudukan ofsaid, dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat. 

SUMBER :  Bernama, 31 Oktober, 2015.



No comments:

Post a Comment