Friday, January 22, 2010

Elaun Cola

Sumber : Utusan Malaysia
21/1/2010

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menafikan khabar angin kononnya elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan elaun perumahan akan ditarik balik oleh kerajaan.Presidennya, Omar Osman berkata, sekiranya ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta kakitangan awam.
''Perkara baru yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan perlu mempunyai surat dan tarikh kuat kuasa dan ia tidak akan sah tanpanya,'' ujar beliau ketika dihubungi malam ini.Omar mengulas berita yang tersebar dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun tersebut akan ditarik balik oleh kerajaan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.
"Semalam saya ada bertemu dengan pegawai tertinggi Perbendaharaan dan Pegawai Akauntan Negara mengenai perkara itu dan mereka tidak tahu mengenai pemotongan tersebut," katanya.Katanya, jika benar elaun itu ditarik balik, ia akan menjadi masalah besar kepada kakitangan awam kerana bonus tahun 2009 juga tidak diberi kepada mereka.

Wednesday, January 20, 2010

Calon mohon KPLI kini perlu ada ijazah pengkhususan

Sumber : Utusan Malaysia
19/01/2010 6:46pm

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Syarat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kini diperketatkan termasuk mewajibkan calon memiliki ijazah dalam subjek yang ingin diajar, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Meor Sharuddin.

Beliau berkata, syarat itu yang bertujuan menghasilkan tenaga pengajar berkualiti dan guru pakar telah dilaksana sejak pengambilan tahun lepas."Kalau dahulu kita tak tekankan pada bidang pengkhususan pelajar semasa mereka di universiti kerana bagi kita memadai sekiranya mereka ada ijazah pertama. Tetapi sekarang mereka perlu ada ijazah dalam sesuatu subjek yang ingin diajar.

"Contohnya kalau mereka ingin mengajar subjek Matematik, mereka perlu ada ijazah dalam subjek itu bagi membolehkan mereka diterima mengikuti kursus ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Pengurusan Pelajar Baru KPLI pengambilan Januari 2010, di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ilmu Khas di sini, hari ini.

Mengenai jumlah pengambilan pelajar pada tahun ini, beliau berkata, seramai 1,473 orang daripada 60,000 pemohon dipilih untuk mengikuti 17 bidang pengajian di 27 buah kampus institut pendidikan guru yang pendaftarannya bermula semalam. - Bernama

Monday, January 18, 2010

Jom Berhenti Merokok



Terdapat beberapa kaedah untuk membuang tabiat buruk merokok dan ianya bergantung kepada pilihan perokok itu sendiri. Caranya adalah:

1. Berhenti mendadak.
Perokok berhenti daripada mengambil rokok sama sekali seperti yang dilakukan semasa berpuasa. Kaedah ini memerlukan motivasi, ketahanan diri dan kesungguhan yang tinggi.

2. Berhenti beransur-ansur.
Perokok mengurangkan jumlah batang rokok yang dihisap dalam sehari secara beransur-ansur sehingga ketahap tanpa rokok. Namun begitu, disebabkan faktor-faktor persekitaran dan emosi kaedah ini sering mengalami kegagalan.

3. Menangguh pengambilan.
Perokok menangguhkan pengambilan rokok. Sebagai contoh jika kebiasaannya menghisap sebatang rokok setiap jam, kurangkan kekerapannya kepada sebatang rokok bagi setiap dua jam. Kaedah penangguhan ini disyorkan agar tidak melebihi tempoh dua minggu untuk memberhentikan tabiat buruk merokok sepenuhnya.

4. Penggantian nikotin.
Nikotin merupakan bahan aktif penyebab ketagihan dalam rokok. Bagi mengurangkan kesan gian, perokok boleh mengambil nikotin dalam bentuk lain seperti koyok atau getah kunyah dan sebagainya.

Kesimpulannya...perlu azam yang kuat untuk berhenti merokok. Tepuk dada, tanya selera.

Sunday, January 17, 2010

Tayar Oh Tayar




Selalunya bila kita menaiki sebuah kereta, jarang sekali kita mengambil berat pasal tayar. Asal boleh jalan cukup. Ingat...tayar yang kurang angin akan cepat haus dan membahayakan keselamatan pemandu. Berapa tips yang ingin dikongsi oleh penulis.

Cuba lihat tayar anda. Cukup angin atau tidak. Tiada benda pelik melekat di bahagian tayar atau mana-mana bahagian kereta. Jika tayar anda selalu kehilangan tekanan angin bermakna kemungkinan besar paku telah tertembus pada tayar anda.

Tayar kereta tidak pancit terus dan hanya hilang angin sedikit demi sedikit. Ini disebabkan tayar kereta menggunakan teknologi tubeless iaitu tanpa tiub dan angin akan masih berada di dalam tayar walaupun tertusuk paku.


Seminggu sekali, pergi ke pam minyak dan periksa tekanan tayar. Tekanan yang sesuai ada di catatkan di bahagian dalam tiang B sebelah pemandu. Periksa juga tekanan tayar simpanan. Setiap 3 bulan pergi ke kedai tayar dan rotate tayar mengikut aturan yang sesuai.

Jika tayar anda sudah hampir botak, pergi ke kedai tayar dan tukar secepat mungkin. Tayar depan lebih penting kerana kawalan kereta bergantung padanya. Untuk periksa harga tayar, buat survey dulu baru tukar. Jangan beli tayar celup.

Friday, January 15, 2010

Keluarga AF


Keluarga AF.
Sudah lama penulis tidak menggunakan photoshop. Sudah lupa....Dulu mahir juga. Bila lama tinggal sudah rasa kekok menggunakannya. Jadi amatur balik lah kiranya penulis ini.
Tidak mengapa...penulis akan cuba lagi. Berusaha sehingga dapat balik skill yang hilang itu.

Kitar Semula

Pelajar SMK Pengkalan sedang mengumpul bahan bahan terbuang seperti suratkhabar lama, kertas-kertas lama, kotak dan sebagainya untuk dikitar semula.
Tauke Azizul menerima barang terbuang daripada pelajar sekolah untuk dikitar semula. Diperhatikan bahawa tauke Azizul sedang sibuk membuat kerja. Syabas..teruskan usaha anda.


APA ITU KITAR SEMULA?
Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah.

KENAPA KITAR SEMULA?

- Kitar semula untuk persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih
- Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran.
- Kitar semula untuk menjimatkan kos
- Kitar semula untuk menjimatkan sumber kita.
- Kitar semula untuk menjimatkan tenaga
- Kitar semula untuk menyelamatkan hutan


Marilahlah...jadikan amalan kitar semula sebagai sebahagian kehidupan kita.

Thursday, January 14, 2010

Gerhana Matahari Separa di Malaysia pada 15.1.2010



Esok hari Jumaat, 15.1.2010, sebuah lagi kejadian gerhana matahari akan berlaku. Gerhana Matahari Cincin yang akan dapat dilihat disepanjang laluan sejauh 300km yang merentasi benua Afrika, kemudian melalui Lautan Hindi di mana gerhana akan berada pada fasa paling lama iaitu 11 m 8 saat.

Pada ketika berlakunya ijtimak di antara Bulan dan Matahari, Bulan akan bergerak betul-betul di hadapan Matahari, lalu mengakibatkan cahaya matahari dihalang daripada sampai ke sesebuah kawasan di Bumi.

Gerhana Matahari Cincin terjadi disebabkan saiz bulatan Bulan kelihatan kecil sedikit berbanding saiz bulatan Matahari. Pada waktu puncak gerhana, Bulan akan berada di tengah-tengah, manakala saki baki bulatan matahari akan kelihatan di sekeliling Bulan membentuk seolah-olah sebuah cincin.

Di Malaysia, kita hanya berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa sahaja, iaitu hanya sebahagian matahari sahaja yang akan terlindung oleh Bulan.

Kesimpulannya, suasana tidak akan kelihatan gelap seperti Gerhana Penuh, tetapi kita mungkin akan dapat merasa keadaan seperti redup sedikit, walaupun ketika itu Matahari kelihatan seperti memancar macam biasa di langit.

Jangkaan berlaku Gerhana ini sekitar jam 2.00 petang hingga 6.00 petang .Jangan lepaskan peluang ini. Saksikan kebesaran ciptaan Allah s.w.t.