Saturday, April 9, 2011

Pukul Cikgu

SAKIT...Mariati menutup hidungnya yang patah akibat ditumbuk pelajar sendiri.

KANGAR: Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan, di sini, bertindak kurang ajar apabila menumbuk muka seorang guru perempuan sehingga mangsa patah hidung, tengah hari semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, guru berkenaan dipercayai baru saja selesai mengajar subjek Sejarah sebelum keluar menuju ke bilik guru.

Difahamkan, suspek berang selepas guru terbabit Mariati Mat Ail, 37, ingin membawanya ke bilik guru disiplin selepas suspek didapati bergaduh di koridor sekolah itu.Jurucakap Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNPs) berkata, mangsa terserempak dengan satu pergaduhan di mana suspek sedang membelasah seorang pelajar tingkatan satu di kaki lima sekolah itu sebelum cuba menyuraikannya.

“Mangsa menarik suspek yang pernah dibuang sekolah untuk dibawa ke bilik guru disiplin kerana membelasah pelajar berkenaan.“Suspek yang enggan dibawa ke bilik itu tiba-tiba melepaskan satu tumbukan kuat tepat ke muka guru itu yang mengenai hidung mangsa,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.Katanya, hidung mangsa patah akibat tumbukan berkenaan menyebabkan mangsa pening sebelum terjatuh.

“Sambil menekup hidungya dengan kain, mangsa mengagahkan dirinya untuk bangun dan pergi meminta bantuan daripada rakannya yang berada di bilik guru sekolah itu.“Suspek yang menumbuk mangsa kemudian melarikan diri sebelum mangsa pergi mendapatkan rawatan kecemasan di HTF dan membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang, semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi berkata, suspek berusia 14 tahun ditahan kira-kira jam 5 petang semalam sebaik saja menerima laporan mangsa.Katanya, suspek sebelum itu membelasah seorang pelajar tingkatan satu sekolah berkenaan kerana tidak berpuas hati masalah peribadi sebelum disuraikan mangsa.

“Mangsa cuba menyelamatkan pelajar tingkatan satu terbabit sebelum dia ditumbuk suspek di muka.“Polis memandang serius perkara ini kerana membabitkan kawasan sekolah dan akan menyiasat punca kejadian,” katanya.

Menurutnya, polis menerima dua laporan kejadian itu, daripada guru terbabit dan pelajar tingkatan satu yang dibelasah suspek.



Sumber : myMetro: 8 April 2011

Thursday, April 7, 2011

Hari Keluarga SMK Pengkalan





HARI KELUARGA 2011

TEMA : KELUARGA BAHAGIA, WARGA CERIA


TEMPAT : ULU CHEPOR PERAK


Sambutan Hari Keluarga SMK Pengkalan pada 2.4.2011 bertempat di Ulu Chepor Perak telah mencatat sejarah kerana buat julung kalinya Kelab Keluarga SMK Pengkalan berjaya menganjurkannya. Program anjuran Kelab Keluarga ini pertama kali dalam tempoh 10 tahun penubuhan Kelab Keluarga.


Saya sebagai Pengerusi Kelab Keluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli Kelab kerana menjayakan program ini.

Wednesday, April 6, 2011

Guru lambat terima tuntutan perjalanan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan ada Jabatan Pelajaran Negeri belum membayar tuntutan perjalanan pegawai pendidik walaupun selepas lebih setahun tuntutan dibuat. Ia membabitkan tuntutan perjalanan ke program dan kursus anjuran Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sejak Februari serta Mac tah un lalu.

Berikutan itu, NUTP meminta jabatan dan pejabat yang berkenaan supaya menyegerakan bayaran balik tuntutan kerana ia dikenal pasti menjadi tekanan kepada guru. Presidennya, Hashim Adnan, berkata kelewatan itu berpunca daripada peruntukan disediakan tidak mencukupi. “Keadaan ini menyebabkan ramai guru terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menghadiri program dan kursus yang diadakan jabatan, selain menanggung bayaran lain seperti rumah dan kereta.

“Di Johor, hanya 50 peratus tuntutan perjalanan diberi surat makluman pada minggu lalu bahawa mereka akan dibayar selepas perbincangan diadakan dengan Kementerian Pelajaran. “Kita sudah mengadakan perjumpaan dengan pegawai Kementerian Pelajaran yang memberi jaminan akan menyiasat dan menyegerakan pembayaran terbabit,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata masalah kelewatan pembayaran tuntutan perjalanan membabitkan hampir semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak. “Saya dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail pembayaran lewat disebabkan peruntukkan tidak mencukupi.

“Kita berharap kementerian akan menambah peruntukan kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk menyegerakan pembayaran berdasarkan tuntutan semasa,” katanya. “Peruntukan tambahan juga diperlukan untuk elaun keraian guru besar dan pengetua, selain guru ganti bagi mereka yang bersalin,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online: 5 April 2011

Monday, April 4, 2011

......................................

//Beginikah sikap seorang Ustaz. Pukul murid sehingga koma. Seorang bergelar ustaz sepatutnya mempunyai sifat kesabaran yang tinggi. Bukan mengikut emosi.



Ustaz minta maaf atas perbuatannya


KANGAR 4 April - Bapa angkat kepada murid yang dipukul sehingga meninggal dunia tidak menyangka individu yang menjemputnya untuk melihat keadaan anak angkatnya itu di hospital merupakan indivdu yang melakukan perbuatan tersebut.

Mohd Zamri Shafie, 40, seorang pekerja kilang simen berkata, ustaz tersebut yang menelefonnya sendiri pada pukul 1.40 pagi Jumaat lalu untuk memaklumkan bahawa anak angkatnya Saiful Syazani Saiful Sopfidee 7, telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah akibat mengalami sawan dan mengajaknya untuk melihat kanak-kanak tersebut.

"Pada mulanya saya tidak menyangka ustaz itu yang memukul anak saya sehinggalah beliau sendiri datang jumpa saya pada pagi hari Jumaat dan meminta maaf atas perbuatannya,” kata Mohd Zamri kepada pemberita di rumahnya di Jejawi dekat sini hari ini. Saiful Syani, seorang anak yatim pada mulanya koma setelah dikatakan dipukul hampir dua jam oleh seorang ustaz yang berumur 26 tahun yang juga penyelia asrama di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan di Jejawi.

Kanak-kanak tersebut kemudianya meninggal dunia di hospital pada 8.50 pagi semalam.

Sunday, April 3, 2011

Anak yatim koma dibelasah guru

Jangan Bertindak Mengikut Perasaan. Guru diamanahkan untuk mendidik dan bukan mendera.


ARAU: Seorang murid sekolah agama di sini yang juga anak yatim dipercayai dibelasah seorang guru tanpa belas kasihan dalam keadaan dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga mangsa koma dalam kejadian tiga hari lalu.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, diperlakukan guru lelaki berusia 26 tahun yang juga warden asrama sekolah agama itu selepas dituduh terbabit dalam beberapa kes kecurian wang. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 7 malam Khamis lalu selepas mangsa dibawa guru berkenaan ke bilik sebelum dua tangannya diikat dan disoal siasat berhubung insiden kecurian.

Mangsa dikatakan merayu dilepaskan tetapi tidak diendah dengan guru terbabit didakwa terus memukul dan menyoal siasat sehingga kanak-kanak itu diserang sawan dan terus pengsan. Guru itu yang panik kemudian mendapatkan bantuan rakan setugasnya sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar kira-kira jam 1.40 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika dihubungi, berkata Saiful Syazani yang tidak sedarkan diri akibat masalah jantung dan pendarahan otak kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik.

“Sebaik menerima laporan bapa mangsa, polis menggerakkan usaha memburu suspek sebelum lelaki itu menyerah diri di Balai Polis Arau, petang semalam (kelmarin) dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8 malam kelmarin, dia bergegas ke HSB dan terkejut melihat tubuh anaknya penuh kesan lebam dengan muka bengkak dan lebam pada mata kiri serta pipi selain melecet pada tangan kiri.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku dan mahu mereka yang terbabit dihadapkan ke muka pengadilan," katanya yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Jitra. Katanya, Saiful Syazani yang tinggal bersama keluarga angkat di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006, seorang yang pendiam. -BH

Friday, April 1, 2011

Minyak RON97 naik 20 sen esok menjadi RM2.70 seliter

Harga minyak petrol RON97 akan naik sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa tengah malam ini. Harga baru = RM2.70. Minyak Ron 95 dan diesel masih kekal dengan harga asal.

Permohonan Kemasukan Politeknik Julai 2011


Permohonan kemasukan Politeknik KPT Sesi Julai 2011 dibuka mulai hari Isnin, 10 Januari 2011 untuk pemohon daripada kategori lulusan SPM dan setaraf , manakala bagi Lulusan Sijil Politeknik KPT, Lulusan Sijil Kolej Komuniti KPT, Lulusan Diploma Politeknik KPT dan lulusan Kolej Matrikulasi KPM , permohonan mulai dibuka pada 4 Mac 2011 yang lalu.

Bagi pemohon lulusan SPM, anda perlu memohon Permohonan Kemasukan Politeknik Sesi Julai 2011 melalui kaedah dalam talian (ON-LINE) dengan melayari laman web : http://upu.mohe.gov.my/

Manakala, bagi lepasan Lulusan Sijil Politeknik KPT, Lulusan Sijil Kolej Komuniti KPT, Lulusan Diploma Politeknik KPT dan lulusan Kolej Matrikulasi KPM, permohonan kemasukan hendaklah dibuat di laman web: http://www.politeknik.edu.my/

Untuk mengakses e-Borang pemohon mesti menggunakan kombinasi nombor kad pengenalan dan nombor PIN. Pemohon diminta membeli nombor PIN di kaunter atau Mesin ATM Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan harga RM6.00 (Ringgit Malaysia: Enam sahaja) untuk permohonan lepasan Lulusan Sijil Politeknik KPT, Lulusan Sijil Kolej Komuniti KPT, Lulusan Diploma Politeknik KPT dan lulusan Kolej Matrikulasi KPM, manakala bagi lulusan SPM, RM 10.60 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ringgit dan Enam Puluh Sen).

Pemohon perlu mengemukakan Kad Pengenalan atau MyKad semasa membeli nombor PIN di kaunter BSN. Jika pemohon mewakilkan seseorang untuk membeli nombor PIN, salinan Kad Pengenalan atau MyKad pemohon mesti dikemukakan oleh wakil tersebut kepada pihak BSN.

Maklumkan dengan jelas kepada pihak BSN bahawa nombor PIN yang hendak dibeli adalah untuk permohonan kemasukan ke Politeknik KPT. Pastikan slip pembayaran BSN dicetak nombor Kad Pengenalan atau MyKad pemohon dengan betul serta terdapat nombor PIN enam (6) digit bermula dengan “40? dan diikuti empat angka yang lain sebelum meninggalkan kaunter BSN. Contoh No PIN : 401051 Nombor PIN ini hanya boleh digunakan bagi kemasukan Sesi Julai 2011 dan Disember 2011 sahaja.

Pemohon perlu membeli semula nombor PIN sekiranya lupa.

NOTA:

Setelah mengisi e-Borang, pemohon dikehendaki melaksanakan langkah-langkah berikut: Menghantar maklumat e-Borang dengan menekan butang “HANTAR MAKLUMAT PERMOHONAN” sehingga arahan mencetak butiran permohonan dipaparkan.

Cetak butiran permohonan sebagai dokumen pengesahan penghantaran. Sila simpan untuk rujukan. Pindaan maklumat pada e-Borang boleh dibuat sebelum tarikh tutup dan ulangi langkah di atas.

Pemohon berkeperluan khas (masalah pendengaran) ialah pelajar lepasan tingkatan lima dari Sekolah Pendidikan Khas kelolaan Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau Program Pencantuman Pendidikan Khas di bawah KPM. Permohonan hendaklah dibuat melalui Bahagian Pendidikan Khas KPM, di alamat : Pengarah,Bahagian Pendidikan Khas,Kementerian Pelajaran Malaysia,Aras 2, Blok E2, Parcel E,Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,62604 PUTRAJAYATelefon : 03-88849190

Borang permohonan boleh didapati dari Jabatan Pelajaran Negeri atau Bahagian Pendidikan Khas Tarikh tutup Permohonan kemasukan ke program pengajian Politeknik KPT Sesi Julai 2011 ditutup pada 04 April 2011 (Isnin) .