ARAU: Seorang murid sekolah agama di sini yang juga anak yatim dipercayai dibelasah seorang guru tanpa belas kasihan dalam keadaan dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga mangsa koma dalam kejadian tiga hari lalu.
Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, diperlakukan guru lelaki berusia 26 tahun yang juga warden asrama sekolah agama itu selepas dituduh terbabit dalam beberapa kes kecurian wang. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 7 malam Khamis lalu selepas mangsa dibawa guru berkenaan ke bilik sebelum dua tangannya diikat dan disoal siasat berhubung insiden kecurian.
Mangsa dikatakan merayu dilepaskan tetapi tidak diendah dengan guru terbabit didakwa terus memukul dan menyoal siasat sehingga kanak-kanak itu diserang sawan dan terus pengsan. Guru itu yang panik kemudian mendapatkan bantuan rakan setugasnya sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar kira-kira jam 1.40 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika dihubungi, berkata Saiful Syazani yang tidak sedarkan diri akibat masalah jantung dan pendarahan otak kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik.
“Sebaik menerima laporan bapa mangsa, polis menggerakkan usaha memburu suspek sebelum lelaki itu menyerah diri di Balai Polis Arau, petang semalam (kelmarin) dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.
Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8 malam kelmarin, dia bergegas ke HSB dan terkejut melihat tubuh anaknya penuh kesan lebam dengan muka bengkak dan lebam pada mata kiri serta pipi selain melecet pada tangan kiri.
"Saya kesal dengan apa yang berlaku dan mahu mereka yang terbabit dihadapkan ke muka pengadilan," katanya yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Jitra. Katanya, Saiful Syazani yang tinggal bersama keluarga angkat di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006, seorang yang pendiam. -BH
No comments:
Post a Comment