Monday, June 7, 2010

Murid cedera dilempang Ustaz

Sumber : Sinar

DAMANSARA – Seorang murid di sebuah sekolah rendah agama di sini cedera dilempang seorang ustaz gara-gara dituduh membuat bising.

Dalam kejadian Jumaat lalu, murid yang juga pengawas sekolah, Azeef Hamdan 12, mengalami pendarahan dalam hidung berikutan dilempang dengan kuat ustaz.

Menceritakan detik itu, Azeef berkata, dia terkejut apabila ustaz yang juga penolong kanan sekolah itu memanggilnya ke hadapan ketika perhimpunan dan tidak semena-mena melempangnya.

Pada ketika itu, katanya, dia sedang mengarahkan seorang murid yang bercakap supaya senyap berikutan perhimpunan sedang berlangsung.

“Ustaz panggil tanpa memberitahu kesalahan saya terus lempang sekuat hati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Akibat tindakan ustaz itu, telinganya berdengung dan dia tidak dapat mendengar dengan jelas selama beberapa minit.

“Seorang Ustazah kemudian panggil saya ke bilik guru dan melihat kecederaan saya dan cuba menyembuhkannya melalui bacaan ayat suci al-Quran,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Jamilah Mohd Hassan, 45, menyifatkan tindakan ustaz terbabit tanpa usul periksa sebagai melampau.

“Kalau anak saya salah sekalipun, ustaz itu perlu tanya dulu anak saya sebelum ambil tindakan. Ini tidak, dia lempang anak saya sambil disaksikan murid dan guru sekolah itu,” katanya.


1 comment:

  1. buat polis repot.. sengaja menyebabkan kecederaan. biar ustaz tu dok ngajar banduan dlm penjara

    ReplyDelete