Saturday, September 11, 2010

PENJAWAT AWAM HARAP TUNTUTAN PEMBERIAN BONUS DIPENUHI KERAJAAN

Sumber : Berita Harian

SEPERTI biasa tuntutan bonus untuk kakitangan awam sudah mula kedengaran terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada pertengahan bulan September nanti.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman baru-baru ini dilaporkan memohon kepada Perdana Menteri agar kakitangan awam diberikan bonus awal ataupun bonus raya antara RM1,000 hingga RM1,500 sempena Hari Raya kelak. Fenomena meminta bonus ini bukan saja sudah menjadi agenda tetap di pihak CUEPACS tetapi juga menjadi harapan tetap setiap individu penjawat awam itu sendiri. Setiap tahun mereka meletakkan harapan yang sangat tinggi agar kerajaan akan menghadiahkan mereka dengan bonus tahunan.

Sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang pengguna, penulis melihat tuntutan ini adalah sesuatu yang normal dan wajar apatah lagi mengambil kira situasi ekonomi semasa yang menggamit pengguna dengan kenaikan harga barang keperluan terutama menjelang musim perayaan serta kos hidup yang tinggi secara keseluruhannya.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan baik melalui Kementerian Kewangan mahupun Bank Negara pula secara berterusan mengeluarkan pelbagai kenyataan dan statistik yang cuba meyakinkan rakyat bahawa Malaysia tidak terjejas teruk angkara kemelesetan ekonomi global dan diunjurkan kita masih mampu bertahan dan menikmati pertumbuhan walaupun pada kadar yang minimum atau perlahan.

Malah baru-baru ini Bank Negara sudah pun mengumumkan bahawa ekonomi negara berkembang pada kadar 9.5 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang boleh ditafsirkan sebagai satu pencapaian yang cukup memberangsangkan.
Dalam hal ini kita percaya pihak kerajaan mempunyai fakta yang kukuh dan jelas yang membolehkan mereka meyakinkan rakyat kerana pengumuman ini amat melegakan kita semua. Kita juga yakin dengan pelbagai langkah dan inisiatif yang sudah dan sedang diambil oleh kerajaan untuk terus merangsang dan memacu kembali ekonomi negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti yang diidam-idamkan.

Justeru, selepas mengambil kira tahap kelemahan yang ketara dalam kuasa beli pengguna dewasa ini serta pengumuman kadar pertumbuhan KDNK yang cukup meyakinkan itu, adalah wajar pihak kerajaan mempertimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan pemberian bonus yang diharapkan ataupun dengan mengambil kira keadaan semasa kita boleh katakan rayuan penjawat awam untuk mendapatkan bonus agar sambutan Hari Raya Puasa tahun ini dapat dirayakan dengan meriah.

Apapun kita berharap agar pihak kerajaan akan menimbang dengan adil dan saksama dengan mengambil kira semua aspek dan persekitaran sebelum membuat keputusan tentang tuntutan bonus raya pada tahun ini. Bagi penjawat awam pemberian bonus adalah suatu yang amat wajar dan sangat diperlukan terutama untuk perbelanjaan Hari Raya yang bakal disambut, namun bagaimana pula dengan kewajaran di pihak kerajaan?

No comments:

Post a Comment