Tuesday, August 24, 2010

Bebola lumpur EM dilontar ke sungai


IPOH 19 Ogos - Meskipun Sungai Kinta memainkan peranan utama sebagai sumber bekalan air kepada penduduk setempat, namun tidak dapat dinafikan, ia antara yang mengalami pencemaran kritikal di Malaysia.

Sungai yang mampu untuk menyediakan bekalan sebanyak 639 juta liter air sehari itu perlu dirawat daripada terus dicemari.

Menyedari hakikat itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan, Taman Pinji Mewah, Lahat, Perak mengambil inisiatif untuk memelihara Sungai Kinta dengan menggunakan kaedah bebola lumpur mikro organisma efektif (EM) untuk penjagaan kebersihan sungai.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Pengkalan, Amran Ahmad berkata, langkah tersebut dilihat sangat wajar memandangkan ia mengaplikasikan teknik bioteknologi berkos rendah yang mampu bertindak pantas dan sangat berkesan dalam memulihkan kualiti sumber air di Malaysia.

"Sebanyak 13,000 bebola lumpur dihasilkan daripada tanah liat dan dicampur dengan ekstrak bakteria asid laktik, bakteria fototrofik sertayis, dilontar ke dalam sungai Kinta yang tercemar.

"Ia bertindak secara perlahan-lahan dari dalam dasar air dengan memecahkan molekul-molekul organik seperti sisa sampah, logam dan lumpur," katanya pada majlis majlis penutupan program kelestarian alam sekitar, Greenton di Kinta River Front di sini semalam.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Hadir sama Pengarah Urusan Morubina Sdn. Bhd. yang menyumbangkan sebanyak RM5,000 bagi menjayakan program tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memastikan supaya satu sekatan dibina bagi memisahkan air kotoran daripada mengalir terus ke dalam sungai.

Beliau berkata, kesedaran menjaga kebersihan sungai perlu dipupuk sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

"Program yang dianjurkan sebegini bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan sungai sebagai produk pelancongan," katanya.

Dalam pada itu, Hamidah berkata, pihaknya bercadang untuk mewujudkan bot pelancongan di sekitar Sungai Kinta yang akan mula menyusuri Taman Dr. Seenivasagam sehingga ke Empangan Sungai Kinta selepas perayaan Aidilfitri ini.

Menurut beliau, kerja-kerja mendalamkan air sungai tersebut sedang dirancang dan kemungkinan besar pertandingan kayak turut akan diadakan di situ.

"Lagipun, kawasan ini mempunyai tempat letak kenderaan, pusat informasi pelancongan dan menjadi laluan bas," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment