Thursday, August 11, 2011

Bajet 2012 tumpu kos hidup

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bajet 2012 yang akan dibentangkan nanti akan memberi tumpuan kepada pengurusan kos hidup rakyat.

Kata Perdana Menteri, kerajaan akan merangka strategi terbaik untuk mengurangkan beban kos hidup rakyat menerusi bajet itu serta dalam masa sama menguruskan pembangunan ekonomi negara.

Najib menambah, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melakukan apa sahaja dalam menguruskan peningkatan kos hidup dan mencari jalan memperlahankan kesannya kepada rakyat.

Kata beliau, kerajaan juga akan terus menyediakan subsidi bagi mengurangkan beban rakyat antaranya seperti pemberian subsidi minyak, makanan, bil perubatan dan sebagainya.

Kerajaan juga, kata beliau, akan meneruskan sistem kawalan harga barang dan menguruskan subsidi dengan bijak yang mana merupakan antara subsidi tertinggi diberikan di sesebuah negara.

“Di samping itu, kerajaan akan memperluaskan lagi inisiatif berfokuskan rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan yang terbaru, Menu Rakyat 1Malaysia iaitu program yang menggalakkan syarikat pengeluar makanan memperkenalkan pakej menu sarapan pagi serendah RM2 dan makanan tengah hari RM4 di restoran-restoran yang mengambil bahagian,” katanya.

Tambah Najib, peningkatan kos hidup tidak hanya dialami oleh rakyat negara ini memandangkan ia merupakan fenomena global yang disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah dunia terutama pada 2007 dan 2008.

Keadaan itu, kata beliau, diburukkan lagi dengan perubahan iklim dunia yang tidak menentu menyebabkan berlakunya banjir dan kemarau termasuk di negara-negara pengeluar makanan utama dunia.


No comments:

Post a Comment