Monday, January 11, 2016

Muallim rasmi menjadi daerah ke-11 di Perak

Daerah Muallim hari ini secara rasmi diisytiharkan sebagai daerah baharu, menjadikannya daerah ke-11 di Perak. Pengisytiharannya disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Dewan Seri Tanjong Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), pagi ini. Daerah ke-11 itu diwartakan pada 1 Oktober tahun lalu selepas mendapat kelulusan Kabinet pada 10 April 2015 manakala Sultan Nazrin memberi perkenan Muallim sebagai nama daerah baharu berkenaan. 

Pengwujudan daerah baharu itu adalah susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kira-kira tiga tahun lalu untuk menaik taraf daerah kecil Slim River/Tanjung Malim kepada daerah penuh. Kawasan berkeluasan 93,434.65 hektar itu meliputi tiga mukim iaitu Slim, Ulu Bernam Barat dan Ulu Bernam Timur dengan antara kawasan terbabit seperti Tanjung Malim, Trolak, Slim, Proton City dan sebahagian Behrang yang sebelum ini berada dalam pentadbiran daerah Batang Padang. Daerah yang berkepadatan penduduk 69,639 orang itu berada dalam Parlimen Tanjung Malim dengan dua Dewan Undangan Negeri iaitu Slim dan Behrang. 

Sultan Nazrin bertitah, perkataan Muallim diambil daripada perkataan Arab berkaitan ilmu dan ilmuwan yang bermaksud orang yang ahli dalam bidang agama. Ia bertepatan dengan nama Muallim sebagai nama daerah ini berdasarkan sejarah penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di sini pada 29 November 1922. "SITC menjadi pusat ilmu dan pengajian tinggi tempatan untuk anak Melayu era pra-merdeka. "Di sinilah lahir cerdik pandai Melayu yang meniupkan nasionalisme bangsa dan perjuangan menuntut kemerdekaan," titah baginda. 



Sumber: Berita Harian



No comments:

Post a Comment