Sunday, March 27, 2011

Kenaikan gaji guru biar ikut kejujuran diri

Sumber: Berita Harian Online: 26 Mac 2011

SAYA ingin memberi pandangan berkenaan perubahan skim gaji yang dicadangkan Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), iaitu penilaian kenaikan gaji bergantung kepada pembabitan guru di luar waktu sekolah dalam bidang kemasyarakatan, sukan, kebudayaan dan badan bukan kerajaan (NGO). Apabila guru aktif di luar, 70 peratus pengajaran dan pembelajaran akan terabai.


Guru tidak dapat menumpukan perhatian kepada kedua-dua bidang, tambahan lagi dengan pelbagai perkara yang perlu dibereskan di sekolah. Tugas guru yang aktif di luar terpaksa diambil alih oleh guru lain yang tidak banyak kerenah. Apabila skim baru ini terlaksana, guru aktif di luar diberi ganjaran kenaikan gaji dan ganjaran khas, manakala guru lain hanya melihat rakan mereka menerima ganjaran.


Kesannya, timbul tanggapan ketidakadilan dan rasa tidak puas hati dari setiap tahun. Justeru, saya mencadangkan pelaksanaan Sistem Kenaikan Gaji berdasarkan kejujuran guru menilai diri mereka sendiri. Pihak berkuasa hendaklah mengeluarkan Pekeliling setiap tahun bagi guru yang ingin mendapatkan kenaikan gaji tahunan. Guru berminat yang berasakan mereka sudah melaksanakan tugas dengan baik di sekolah boleh mengisi borang dan mendapat pengesahan guru besar dan pengetua tetapi bukan untuk mendapatkan sokongan. Selepas borang diproses, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Nazir boleh memantau guru berkenaan seperti permohonan Guru Cemerlang.


Apalah salahnya prosedur ini digunakan untuk kenaikan gaji guru? Dengan cara ini pihak penilai dapat mengenalpasti adakah guru yang aktif di luar ini tidak mengabaikan kerja di sekolah.


GURU JUJUR,

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment