Wednesday, April 6, 2011

Guru lambat terima tuntutan perjalanan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan ada Jabatan Pelajaran Negeri belum membayar tuntutan perjalanan pegawai pendidik walaupun selepas lebih setahun tuntutan dibuat. Ia membabitkan tuntutan perjalanan ke program dan kursus anjuran Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sejak Februari serta Mac tah un lalu.

Berikutan itu, NUTP meminta jabatan dan pejabat yang berkenaan supaya menyegerakan bayaran balik tuntutan kerana ia dikenal pasti menjadi tekanan kepada guru. Presidennya, Hashim Adnan, berkata kelewatan itu berpunca daripada peruntukan disediakan tidak mencukupi. “Keadaan ini menyebabkan ramai guru terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menghadiri program dan kursus yang diadakan jabatan, selain menanggung bayaran lain seperti rumah dan kereta.

“Di Johor, hanya 50 peratus tuntutan perjalanan diberi surat makluman pada minggu lalu bahawa mereka akan dibayar selepas perbincangan diadakan dengan Kementerian Pelajaran. “Kita sudah mengadakan perjumpaan dengan pegawai Kementerian Pelajaran yang memberi jaminan akan menyiasat dan menyegerakan pembayaran terbabit,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata masalah kelewatan pembayaran tuntutan perjalanan membabitkan hampir semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak. “Saya dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail pembayaran lewat disebabkan peruntukkan tidak mencukupi.

“Kita berharap kementerian akan menambah peruntukan kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk menyegerakan pembayaran berdasarkan tuntutan semasa,” katanya. “Peruntukan tambahan juga diperlukan untuk elaun keraian guru besar dan pengetua, selain guru ganti bagi mereka yang bersalin,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online: 5 April 2011

No comments:

Post a Comment