Tuesday, April 19, 2011

Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah

Sumber: Utusan

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengetuai senarai 927 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini, esok.

Sultan Muhammad V dianugerahkan Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati (DK).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pula menerima anugerah Darjah Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Amat Dimulia (SPSA) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Gabenor wilayah Lampung, Indonesia, Komisaris Jeneral Polis, Drs. H. Sjachroedin pula menerima anugerah Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) membawa gelaran Datuk Seri.

Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia, Datuk Ahmad Johan Raslan; Pengerusi The New Straits Times Press (NSTP) Malaysia, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Dr. Anthony Francis Fernandes dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP), juga membawa gelaran Datuk Seri.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin menerima Darjah Seri Panglima yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datuk Zalekha Hassan menjadi penerima tunggal Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, seramai 54 individu dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) membawa gelaran Datuk.

Antaranya, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat; Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Timbalan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak, Dr. Naran Singh dan Pengarah Pelajaran Perak, Mohd. Rauhi Mohd. Isa serta Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Ismail Saffian.

Turut menerima DPMP, Pengurus Besar Yayasan Perak, Abdul Jamil Mat Kasa dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abu Hassan Mohd. Isa; Pegawai Daerah Manjung, Ahmad Shafiee; Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Syed Mokhtar Syed Iddris dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Perak, Ir. Muhammad Hafni Ibrahim.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharuddin; Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan) Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kementerian Kesihatan, Jagjit Singh; Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir; bekas ADUN Kuala Sepetang, See Tean Seng dan Pengetua Sekolah Agama Maahad Al-Maarif Al-Islamiah, Changkat Jering, Abdul Majid Zainal Abidin turut dikurniakan DPMP.

Sementara itu, tiga pegawai tinggi pasukan keselamatan iaitu Panglima 8 Briged, Abdul Rahim Abdul Mutalib; Mohd. Nuar Rijaldin dari Cawangan Sumber Manusia Markas Tentera Darat dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof dianugerahkan Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) membawa gelaran Datuk Pahlawan.

Sempena sambutan Hari Keputeraan kali ini, Sultan Azlan Shah turut mengurniakan 14 Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 65 Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 25 Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 192 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 274 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 280 Pingat Jasa Kebaktian dan 10 Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Wartawan Kumpulan Utusan Biro Perak, Ani Awang merupakan antara penerima PJK.

No comments:

Post a Comment