Tuesday, March 30, 2010

22 lepasan SPM SMK Yan dakwa dianiaya pengetua

Sumber : Berita Harian


Catatan sijil berhenti sekolah labelkan pelajar tak berdisiplin

YAN: Seramai 22 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan, menghadapi masa depan yang gelap kerana dilabel sebagai murid tidak berdisiplin dalam sijil berhenti sekolah walaupun tidak melakukan kesalahan serius sepanjang tempoh persekolahan.

Malah, ada antara mereka menyertai acara sukan hingga berjaya mewakili negeri, tetapi sumbangan itu tidak diiktiraf kerana tidak dicatat dalam sijil berkenaan.

Seorang pelajar, Ahmad Ikram Rasli, 18, berkata tindakan pengetua sekolah itu amat keterlaluan dan penganiayaan kerana tidak mengambil kira kesannya terhadap masa depan pelajar.

"Saya bukan pelajar bermasalah. Jika bermasalah sudah pasti saya dikenakan tindakan lebih awal. Tindakan pengetua sekolah membuat catatan buruk dalam sijil berhenti seolah-olah mahu menyekat peluang kami mencari kerja atau menyambung pelajaran. "Kami rasakan masa depan sudah gelap," katanya yang kini bimbang tidak diterima melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Bapanya, Rasli Mohd Zain, 55, berkata, beliau tidak pernah dipanggil oleh pihak sekolah, termasuk ketika pertemuan penjaga dengan guru bagi membincangkan masalah disiplin anaknya sepanjang belajar di sekolah itu.

"Saya bukan mahu menyebelahi anak, tetapi berharap pengetua lebih bertimbang rasa dan mengambil kira sumbangan anak saya yang aktif dalam sukan dan pernah mengharumkan nama sekolah apabila mewakili negeri dalam sukan bola tampar," katanya, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu minggu lalu dan mengarahkan pengetua sekolah membetulkan catatan berkenaan.

“Saya minta penjaga dan pelajar terbabit pergi semula ke sekolah untuk membetulkan catatan dalam sijil berhenti itu," katanya.

No comments:

Post a Comment