Saturday, October 23, 2010

KPKK mohon kementerian teliti isu guru bekerja Sabtu

KANGAR 23 Okt. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPKK) hari ini meminta Kementerian Pelajaran agar meneliti isu guru yang terpaksa bekerja pada hari Sabtu dengan menghadiri pelbagai kegiatan termasuk kelas tambahan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, buat masa ini semakin ramai guru terpaksa mengorbankan hari rehat tersebut yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga kerana tugas-tugas berkenaan.

"Sewajarnya perkara ini diteliti kerana ia juga menjadikan beban tugas guru semakin bertambah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco KPKK di sini.

Selain itu, Hashim berkata, KPKK juga meminta kementerian agar memberi pendedahan secukupnya mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) kepada kira-kira 10,000 guru sekolah rendah di negara ini sebelum dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata, perkara itu perlu memandangkan rata-rata guru belum memahami KSSR yang akan menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) tersebut.

"Bagi memastikan pelaksanaan KSSR berkesan, para guru harus diberi pendedahan yang secukupnya kerana kurikulum tersebut menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran,” kata beliau.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment